Saturday

Amalan PAGAR RUMAH


أَعُوذُ ِباللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَجِيْم

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Zukhruf Ayat 36-37 :

36. " dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya),lalu menjadilah Syaitan itu ( الْقَرِينُ ) temannya yang tidak renggang daripadanya
37. dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk "







Amalan " pagar rumah " adalah bertujuan menghindari gangguan hantu syaitan ,makhluk halus, perbuatan sihir dan pencerobohan rumah oleh pencuri atau orang-orang yang berniat jahat.

Ada pelbagai kaedah yang digunakan oleh masyarakat kita tanpa mengira mereka berlatar belakang agama atau pun tidak membuat amalan ini.Rata-ratanya masih kuat mempercayai bahawa amalan " pagar rumah " ini akan dapat melindungi mereka dari perkara-perkara yang disebutkan tadi.Secara tidak langsung meletakkan kedudukan Allah Ta'ala di tempat kedua..Nauzubillah minha.

Keadaan ini lebih diberatkan lagi apabila menggunakan khidmat pawang , bomoh , Bidan Kampung, Tukang Urut malah mereka mudah terkeliru pada mereka yang seolah-olah seperti orang yang kuat ibadah seperti ustaz-ustaz dan Pak Haji. Amatlah menyedihkan apabila golongan yang digelar ustaz dan Pak Haji ini menggunakan kaedah yang salah dan bertentangan dengan ugama ketika membuat " pagar rumah ini " malah lebih dahysat lagi mereka menggunakan barang-barang yang kotor dan haram. Lebih menghairankan , Tuan Rumah sendiri  itu dapat pula menerima segala perbuatan dan kaedah yang dilakukan.Tuan Rumah ini pula kekadangnya terdiri daripada mereka yang berpelajaran dan berkedudukan tinggi malah mereka yang ada pendidikan agama. Ada yang Jurutera,Arkitek,Pegawai Besar,Pengarah,Dato' Datin,Ustaz Ustazah malah ada juga Imam Besar Masjid.Penulis juga pernah menemui pesakit berjubah berserban yang datang berubat tetapi apabila didesak barulah dia menunjukkan tangkal yang dipakai dipinggangnya.

Ini menunjukkan keperluan 'pagar rumah' ini suatu perkara yang mereka rasa perlu dilakukan dan mendesak.

Ada beberapa kaedah amalan "pagar rumah" ini yang telah Acit temui iaitu diantaranya :

1.Menanam telor angsa di dalam pasu bunga.

Telor angsa ini dicucuk dengan paku dibahagian bawahnya supaya lendir telur itu keluar sedikit demi sedikit.Di dalam pasu itu ditanam dengan pokok bunga dan pasu-pasu itu akan diletakkan di empat
penjuru rumah.

Ini adalah amalan memberi makan hantu raya yang mungkin tidak diketahui oleh Tuan Rumah atau sengaja tidak ambil tahu atau pun sama-sama bersubahat dalam urusan ini.Hantu raya ini akan menghisap telur angsa itu sikit-sikit sehinggalah habis.Apabila telur ini telah habis,maka keluarga Tuan Rumah ini akan akan menjadi mangsa Hantu Raya ini yang akan menganggu keluarga ini dengan membuat gangguan secara terang atau halus atau mendatangkan penyakit-penyakit misteri.Orang yang membuat "pagar rumah" ini pula adalah orang yang berdamping bersahabat atau pun memelihara Hantu Raya.

2.Menabur bertih di keliling rumah.

Biasanya amalan ini dibuat apabila menduduki rumah baru.Orang yang mengamalkan amalan ini samada lelaki atau perempuan itu juga berdamping dengan pelesit atau hantu raya.Akibatnya pada
suatu masa nanti, mungkin setahun,mungkin 2 tahun,mungkin 10 tahun..salah seorang atau ada antara ahli keluarga rumah ini akan mengalami penyakit yang susah dirawat oleh kaedah perubatan
moden.Rumahnya mungkin berlaku gangguan , anak-anak atau tuan rumah rumah sendiri mungkin mengalami sakit yang pelik-pelik.

3.Memasang paku ( memaku ) pada empat penjuru rumah atau di tengah rumah.

Amalan memaku pada empat penjuru rumah malah ada juga yang memaku di bahagian pintu masuk dan di tengah rumah.Ada juga yang memaku pada pintu pagar atau penjuru pagar.

4.Menconteng , menanda dengan kapur makan.

Kaedah ini menggunakan kapur makan dengan membuat atau melukis rajah-rajah tertentu pada dinding , pada lantai,pada empat penjuru rumah dan di bahagian bawah rumah / bawah lantai.

5.Melapik tiang seri ( tiang utama rumah yang dibuat dari kayu ) .

Kaedah ini pula menggunakan kertas atau kain kuning yang dilukis dengan rajah-rajah tertentu dan diletakkan di atas hujung 4 tiang utama dan tiang tengah sesebuah rumah semasa mula pembinaannya
oleh Tukang Rumah atau dipanggil orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepandaian.

6.Menanam Tahi Besi

Menanam tahi besi ( istilah bagi bijih besi atau besi yang asal yang berbentuk padat ) di sekeling rumah atau di empat penjuru rumah atau dipenjuru pagar. Malah ada yang menanamnya dengan menebuk lantai simen.

7.Meletakkan limau nipis yang sudah dijampi.

Limau nipis diletakkan disetiap sudut rumah samada di bahagian atas atau di bahagian bawah atau di atas pintu utama.

8.Menabur garam dan pasir

Kaedah ini dibuat di bahagian luar kawasan rumah.Samada ia dilakukan oleh bomoh atau pun mereka yang arif dalam kaedah ini.

9.Menabur lada hitam

Menabur lada hitam di dalam rumah.

10.Beras Kunyit

Menabur beras kunyit di dalam dan dikeliling rumah.

11.Membaca ayat-ayat tertentu
Membaca Surah Yasin atau ayat-ayat tertentu di dalam rumah atau sambil mengelilingi rumah.

12.Meletakkan atau menyelitkan seberkas serai atas alang atau tempat yang tinggi. 

13. Ada Pawang,Dukun atau bomoh yang membayangkan wajah mereka sebagai penjaga disetiap sudut dalam rumah.

Ada banyak lagilah kaedah-kaedahnya yang dilakukan tetapi semua kaedah yang menggunakan khidmat bomoh atau mereka yang bersahabat dengan jin dan syaitan akan mengundang padah di masa akan datang.Malah ada yang bukan setakat memagar rumahnya sendiri tetapi pernah acit menemui orang yang memagarnya terus satu kampung.

Ingat ! Hantu dan jin ini tidak memberikan khidmatnya secara percuma.Mereka akan menuntut upahnya dari Tuan Rumah itu pada masa akan datang samada pada Tuan Rumah itu sendiri, isteri atau anak-anaknya ataupun tetamu.Lebih memburukkan keadaan ini apabila dirumah tersebut menyimpan barang-barang pusaka lama yang boleh menjadi daya kekuatan atau antena atau penarik bagi hantu dan jin-jin serta entiti jahat tersebut.

Ada yang mengantung dacing dan tangkal

                                                 Paku yang ditanam dipenjuru pagar rumah

Hantu syaitan ini akan menganggu isi rumah itu dengan berbagai bentuk gangguan seperti membuatkan anak kecil menanggis, demam yang lama,terlihat kelibat seperti orang atau ahli keluarga yang telah
mati,mendengar tapak kaki orang berjalan dalam rumah tetapi orangnya tiada , mendengar suara bercakap-cakap, ada yang dengar suara bagi salam dan sebagainya.Ingat juga yang bagi salam itu tak semestinya Islam,Ah Chong dan Ramasamy pun molek ada je boleh mengucap dan bagi salam macam orang Islam yang lain.
Wifiq atau wafaq yang digantong atas pintu utama

Malah ada yang terasa seolah-olah ada orang tidur di atas katil,dengan kesan dan bunyi.Ada juga yang menghisap darah di betis dan paha tanpa merasa sakit cuma meninggalkan tanda lebam kebiru-biruan bila bangun di sebelah pagi.Banyak lagilah gejala-gejala akibat perbuatan hantu syaitan ini.

Jadi....berhati-hatilah.Serahlah urusan perlindungan itu pada Allah Ta'ala.Perbanyakkan zikrullah kerana apabila kita menjaga hak-hak yang sepatut nya pada Allah Ta'ala, maka nanti Dia akan menjaga pula keselamatan dan memberi pertolongan serta perlindunganNya.Jikalau berhajat juga untuk melindungi rumah dan keluarga,panggillah Ustaz-ustaz atau Guru-guru Agama yang diyakini untuk membantu.InsyaAllah,berkat doa Ustaz atau Guru Agama tersebut,kita sekeluarga aman dari sebarang kejahatan yang dijadikan Allah, Wallahu a'lam.

** Pernah (OKT/2013) ada berita keluar TV dan masuk Youtube seorang MB menyertai upacara semahan dan pagar rumah ( tiang seri/tiang-tiang utama) bagi mendirikan sebuah rumah yang dibantu Kerajaan .Perkara sebeginilah para Agamawan dan Asatizah ambil peranan bagi memberi kefahaman dan pencerahan mengenai amalan dan budaya masyarakat Melayu yang tidak patuh syariah.

No comments: