Monday

Istiqamah dalam Taubat - Mandi Taubat - Solat Taubat

Taubat itu pakaian rohani kita.Jikalau bertariqat, taubat itu boleh jadi pakaian kita sebab kita sentiasa bertaubat.Pakaian itu tidak pernah kita buka sampai mati.Bila sentiasa bertaubat, mudahlah dapat hidayah. Kebanyakan ibadah adalah sunat tetapi taubat adalah fardhu.Tidak diterima yang sunat sebelum yang fardhu dilakukan.

Apabila berlaku kekeliruan seperti dosa besar disangka dosa kecil begitu juga dosa kecil disangka dosa besar.Dosa besar biasanya disenaraikan dalam kitab-kitab.Biasanya disebut ada ancamannya ( siksaan ).

Allah Ta'ala tidak kumpulkan seseorang itu dalam 2 keamanan , 2 ketakutan.Kalau di dunia rasa takut, di akhirat akan aman.Jikalau di dunia rasa aman, di akhirat tidak selamat; sebab itu kita orang mukmin kenalah selalu bertaubat.Siapa rasa takut didunia akan azab Allah, maka akan selamat diakhirat.

Taubat kita itu bukan untuk kita saja tetapi untuk keluarga dan anak cucu kita.Tiap-tiap sesuatu ada pengilapnya, pengilap hati ialah zikrullah.Berkilat itu lain daripada bersih.Taubat itu baru bersih, belum lagi berkilat.Baru bersih dari dosa, dari kegelapan hati.Dengan zikrullah, yang bersih jadi berkilat sehingga berkilat itu mengeluarkan cahaya.Dari cahaya itu Allah datangkan Nur Intibah yang merubah hati yang tak sedar kepada sedar, dari tidur kepada jaga dan dari hati mati kepada hidup hati.



Surah Al-Hadiid ayat 28

57:28 Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Taubat itu bila Allah kurniakan, merupakan suatu nikmat pada hati tetapi yang paling susah, kita tidak sedar yang kita ini berdosa.Bila tak sedar, kita tak bertaubat.

Orang yang berzikir ada peluang Allah hidupkan hati dan diberi cahaya.Dari segi syariat,sebabnya adalah kerana berzikir.Selepas Nur Intibah, datang pula Nur Iqbal Iqbalun .Dengan Nur ini kita sentiasa mahu saja pada Allah; cahayanya lebih terang.

Walaupun berbuat dosa sebesar manapun,jangan prasangka pada Allah,jangan putus asa pada mengharapkan keampunan Allah.Jikalau dosa-dosa kecil dibuat terus terusan, ia akan jadi dosa besar.

Allah akan terima taubat dari seseorang itu selagi ia belum sampai maut atau nyawanya sampai halkum dan sebaik-baik taubat itu semasa sihat dan gagah.

Ramai orang beristiqfar tetapi ramai juga yang tidak bertaubat.Istiqfarnya tidak
ada dalam hati.Ulama Sufi berkata, " Taubatlah di dalam taubatmu ".

Taubat itu ada 2 peringkat iaitu peringkat awal; taubat ini baru dikurniakan Allah.Taubat permulaan, iaitu rasa ingin bertaubat.Ini dinamakan HAL yangmana keadaannya boleh berubah,terumbang-ambing, turun naik ( sekejap ada sekejap tak ada ).

Kewajipan orang itu sentiasa ingin bertaubat sehingga taubat itu menjadi Maqam Hati ( Maqomat wal ahwal / Sifat Hati ), kekal istiqomah. Bila dah ada taubat, Allah kurniakan sabar.Bila dijaga dengan zikir barulah datang berbagai sifat lain.Allah Ta'ala tidak mengambil taubat itu selagi mana kita jaga.

Kita kerap beristiqfar mohon pada Allah, tapi Allah itu tidak ada dalam fikiran kita pada masa kita bertaubat itu...
Kita selalu bertaubat berlinangan air mata tetapi selepas itu kita lakukan lagi kesalahan dan dosa yang sama...
Kita kerap beristiqfar..sampai terasa tersusuk pada hati tetapi perbuatan kita masih sama; tidak berubah..maknanya istiqfar dan taubat kita itu tidak diterima kerana hati kita masih ghaflah / lalai...Taubat kita masih diperingkat main-main.Lafaz taubat itu sendiri tidak menunjukkan kita benar-benar mahu bertaubat...Inilah sebabnya ulama Sufi itu berkata, bertaubatlah dalam taubat kamu !

Di dalam Hadis Qudsi,Allah berfirman kepada Nabi Muhamad :
" Wahai Muhamad, sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang berdosa kerana Aku mengampuninya.Aku Maha Pengampun dan berilah peringatan kepada orang-orang yang benar bahawa Aku sangat waspada "


Mulakan dengan Tawasul, maknanya kita mohon Taubat kita ini di aminkan dan dibawa Rasulullah,oleh para malaikat,oleh para solihin ke hadrat Allah Ta'ala.

Taubat itu satu adalah satu KURNIA.Bukan setakat kita mengharap kurniaan taubat itu tetapi inabahNya ; Allah menerima taubat kita itu juga.Kaedah taubat yang khusus diajar hanya pada mereka yang telah mengambil bai'ah ( Talqin zikir ).Inikan jelas lafaz taubat yang bersungguh-sungguh.Walau bagaimana pun masih ada lagi tambahan bagi memohon keampunan itu iaitu dengan Solat Taubat yang khusus.Jamaah Tariqat mempunyai set taubat atau kaedah taubat yang lengkap disusun oleh para Masyaeikh terdahulu.Setiap kali memulakan zikir harian,pendahuluannya adalah memohon kurniaan taubat kepada Allah dari dosa besar,dosa kecil,dosa zahir,dosa batin,dosa yang diketahui,dosa yang tak diketahui,dosa yang lepas dan dosa yang akan datang..banyak sangat dosa kita ni..dosa ambil nyawa/cabut rumput,tebang pokok,bunuh lalat,bunuh lipas,bunuh semut,bunuh cacing ( bagi kaki pancing ),bunuh ikan,bunuh nyamuk, sedangkan nyawa itu milik Allah.Belum lagi campur dosa memperli atau menyakitkan hati suami,hati ibu bapa,dosa percikan najis kencing pada pakaian kemudian kita gunakan untuk solat,dosa syirik khafi dan pelbagai dosa lagi.

Setiap hari kita mandi,kadang-kadang sampai tiga kali sehari,adang-kadang lebih terutama dalam bulan puasa atau dalam keadaan cuaca yang panas.Kadang-kadang kita mandi hadas besar dan kadang-kadang atau jarang-jarang kita mandi sunat hari Jumaat.Bagaimana dengan mandian kita yang lain itu?Ibarat ia mencurah air ke daun keladi ke dengan sekadar mandi sahaja atau mungkin kita boleh menjadikan mandian kita itu sebagai mandiah ibadah.Apa salahnya kita luangkan beberapa saat untuk berniat mandi taubat setiap kali mandi agar mandi kita itu menjadi mandi ibadah dan kita dapat melazimkan diri kita dalam keadaan sentiasa bertaubat.Niatkan sahaja aku mandi taubat dari dosa besar,dosa kecil,dosa zahir,dosa batin,dosa yang diketahui,dosa yang tidak diketahui,dosa yang disengajakan,dosa yang tidak disengajakan,dosa yang lepas dan dosa yang akan datang.Sambil mandi,beristiqfar.



Mandi Taubat ini ada disebut oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin yang diulas oleh Tuan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathoni.

Kemudian kita lazimkan Solat Taubat 2 Rakaat,"Usolli solata taubatin roka'ataini sunnatan 'alaiya lilahi Ta'ala" sahaja aku solat taubat dua rakaat sunnat atasku kerana Allah Ta'ala:



Sabda Rasulullah S.A.W : Daripada Abu Bakar As-Siddiq katanya,Telah aku dengar akan Rasulullah S.A.W bersabda, “ Tiada seseorang yang melakukan sesuatu dosa maka ia bangun dan bersuci,kemudian ia sembahyang kemudian ia beristiqfar kepada Allah melainkan Allah mengampunkannya.Kemudian Nabi membaca ayat, wallazi na iza fa’alu fa hisatan auzolamu anfusahum zakarulla – ila akhiri aayah.”HR Tarmizi,Ibn Mas’ud,Abi Darda’,Abi Umamah,Muaz dll.

Sesudah solat itu : Beristiqfarlah 10 x atau lebih Kemudian bacalah tasbih “Subhanallah hil ‘azim , subhanallahi wa bihamdih “ sebanyak 100x. Akhirinya dengan menyebut “La ilahaillallahu wahdahula syarikalah lahulmulku walahuhamdu yuhyi wa yumit” sebanyak 10 kali dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh : Ya Allah,aku bermohon pada Mu dengan rahmat Mu, dengan Kebesaran Mu , dengan keAgongan Mu,dengan Pengampunan Mu , dengan Kasih Sayang..Ya Allah ; terimalah taubatku dan ampunilah dosa-dosaku,dosa besar,dosa kecil,dosa zahir, dosa batin,dosa yang diketahui,dosa yang tidak diketahui,dosa yang disengajakan,dosa yang tidak disengajakan, dosa yang lepas dan dosa yang akan datang…dan disambunglah dengan mana-mana doa dengan ihklas.

 Adalah disebut dalam Kitab Kifayatul Ghulam karangan Syeikh Ismail Minangkabau,Sabda Nabi S.A.W : “ Barangsiapa menyembahyangkan akan Sembahyang Taubat daripada umatku dua rakaat pada antara Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isyak atau barangmana kuasanya,mudah-mudahan diampun Allah Ta’ala akan sekalian dosanya dan dosa kedua ibubapanya dan dosa sekalian saudaranya dan jika ada mereka itu ke atas dan terkebawah sekali pun dan dosa orang yang sekampung dengannya dan enam puloh rumah pada kanannya dan enam puloh rumah pada kirinya dan enam puloh rumah pada belakangnya dan enam puloh rumah pada hadapannya sekali pun.Nescaya diampun Allah Ta’ala jua sekalian dosa itu dan jikalau syak ia perkataan ini,jadilah ia kafir ”.Na’uzubillahuminha.

 Sabda Rasulullah S.A.W : Dua kalimah, adalah ringan pada lisan,berat pada timbangan dan dicintai Allah sifat Rahman “Subhanallah hil ‘azim , subhanallahi wa bihamdih” Sabda Baginda lagi : Barangsiapa membaca “Subhanallah hil ‘azim , subhanallahi wa bihamdih” dalam 100 x, maka dihapuskan semua dosanya walaupun dosanya bagaikan buih di laut.HR Bukhari & Muslim. Adalah sebaik-baiknya jikalau kita ingin memohon taubat dan memohon ampun dari Allah S.W.T,kita carikan tempat yang sunyi agar dapat kita memberikan fokus pada taubat kita. Sabda Nabi S.A.W,”Haqiqun bil mar-i innyakunalahu majalisu fii ha wayzkuru zunubahu fayastaqfirullaha minha’.HR Baihaqi.Sebenar-benar sayugia seseorang itu mempunyai tempat duduk ia berkhalwat didalamnya dan ia mengingati dosa-dosanya dan ia meminta ampun kepada Allah terhadap dosa-dosanya itu. Wallahu a'lam.


Pautan ke link Istiqfar

YMTG Ust Dr Hj Jahid - Taubat


4 comments:

Kak Ina said...

terimakasih ustaz atas penerangan tambahan itu.

Assiddiq said...

Alhamdulillah.. Tiadalah daya membuat semua ini melainkan IzinNya,PentadbiranNya,KehendakNya,AturanNya,KekuasaanNya,KeagunganNya dan KesempurnaanNya. Buat satu perkara sentiasa berkait dengan ALLAH. Tiada lain dipinta kecuali RedhaNya~

Unknown said...

Sangat bermanfaat, mudah difahami.. Terima kasih ustaz. Doakan saya istiqamah dalam ibadah.

Acit said...

MasyaAllah Tabarakallah - Allahummainna nas aluka taubata wal inabata wal istiqomata 'ala syariati qorro' wa toriqotil baidho'.Mudah mudahan kita semua berpanjangan mendapat keampunan dari Allah SWT.