Friday

Tokoh Mujaddid : Shah Waliyullah ad-Dahlavi




RIWAYAT

Imam Al-Kabir Sheikh Ahmad Abdur Rahim Ibn As-Shahid Wajihuddin Ibn Mu’azzam
Ibn Mansur Ibn Ahmad Ibn Mahmud Dahlawi adalah nama sebenarnya tetapi beliau 
lebih dikenali dengan gelaran Shah Waliyullah.Shah Waliyullah adalah tokoh ulama’ 
yang mahir dalam ilmu failosof,pujangga,seorang sufi ,Muhaddis dan juga Guru Tariqat. 
Digelar juga sebagai seorang mujaddid ( reformis atau pembawa pembaharuan ) oleh Syeikh 
Rashid Redha.
Lahirnya pada 21 Febuari di sebuah kampong kecil bernama Pulth,daerah Muzaffaragh,
dekat Delhi,India bersamaan, 4hb.Syawal 1114 H / 1702 Masihi 4 tahun sebelum 
kematian Sultan Aurangzeb.Salasilah keturunannya di sebelah ayahnya sampai kepada 
Sayyidina Umar Al-Faruq dan di sebelah ibunya sampaikepada Imam Musa Khazim r.a.
Datuknya,Syeikh Wajihuddin al-Amri as-syahid adalah cucu kepada Sayyid Nur al-Mashadi,
keturunan Sayyid Nasaruddin as-syahid bersambung dengan keturunan Al-Imam Musa al-Khazim.

Bapanya Syeikh Abdul Rahim merupakan seorang Pegawai penting dalam angkatan tentera Shah Jahan.Bapanya juga dikenali sebagai seorang yang wara’,tawaddu’,terhormat dan alim yang 
menjadi tempat ruju’ kepada orang Islam di India.Malah dia salah seorang yang menyumbang 
kepada penghasilan Fatawaa Alamgiriyah iaitu satu kod hukum syara’.Shah Waliyullah telah dapat menghafaz al-Quran ketika berumur 7 tahun lagi. Semasa umurnya 15 tahun,beliau telah dapat
menguasai banyak cabang ilmu seperti ilmu bahasa ( Arab dan Parsi),Tafsir,Hadis,Feqah,
Usul Fiqh,Tauhid,Tasauf,Hisab,Perubatan dan Falsafah.Beliau belajar dibawah asuhan ayahnya 
kemudian menjelang umurnya 17 tahun,ayahnya meninggal dunia pada Tahun 1131 H / 1719 M 
dan beliau mengambil alih Madrasah Rahimiyah dan mengajar di situ selama 12 tahun.

India suatu masa dulu merupakan Negara yang melahirkan beberapa ugama besar dunia seperti Hindu,
Budha,Jai dan Sikh.Pada permulaan kurun ke 16, sebuah empayar besar dikenali sebagai Empayar Moghul 
telah menguasai India tetapi pada kurun ke 18,India mula dikuasai oleh Kompeni Hindia Timur Inggeris.
Shah Abdur Rahim,bapanya hidup di zaman puncakkegemilangan pemerintahan Aurangzeb Alamghir.Maharaja itu sendiri seorang yang alim dan wara’.Empayar ini sangat kuat tetapi orang-orang Hindu dan Syiah selalu membuat kacau dan huru-hara.

Dasar kerajaan selepas itu menjadi sebab kejatuhan kerajaan Moghul sehinggalah itu Aurangzeb meninggal 
dunia,keadaan empayar itu bertambah hancur.Shah Waliyullah seorang tokoh yang hidup berlatar 
belakangkan keruntuhan empayar Islam dan permulaan pendudukan Inggeris.Zaman itu adalah zaman kejatuhanpolitik.Kejatuhan politik adalah gejala keruntuhan akhlak yang membawa kepada keruntuhan ekonomi dan keruntuhan moral.

PENDIDIKAN

Shah Waliyullah memerhati dengan teliti keruntuhan empayar yang beransur-ansur itu dan memerhatikan 
perpecahan umat Islam di mana-mana.Ini menyebabkan beliau berfikir untuk melakukan sesuatu bagi 
menggelakkan kehancuran terus berlaku. Sebelum mempraktikkan renungan dan pendapat beliau,adalah
lebih baik baginya mendalami dan menyempurnakan ilmu hadis terlebih dahulu.

Oleh itu, pada Tahun 1143 H, Shah Waliyullah telah melanjutkan pelajaran ke Hijaz di Tanah Haram dan 
berguru dengan Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim Al-Kurdi Al-Madani,seorang ahli hadis dan beberapa orang lagi.Dalam masa 2 tahun sahaja,beliau telah dapat menguasai banyak cabang ilmu dan dapat bergaul dengan ulama’-ulama’ di Mekah dan Madinah serta menunaikan haji.Ketika di Mekah, beliau bermimpi bertemu Rasulullah yang berpesan agar beliau mendamaikan kelompok Ibnu Arabi 
yang berfahaman Wahdatul Wujud dan kelompok Ahmad Sirhindi yang berfahaman Wahdah al-Shuhud.

SUMBANGAN

Beliau kembali semula ke India dan meneruskan meneruskan kegiatan dan gerakannya di Madrasah Rahimiyyah.Apabila bertambah maju,beliau membuka pusat pengajian baru yang dikenali sebagai Darul Ulum.Shah Waliyullah berjuang memperkenalkan Islam sebagaimana sebenarnya dan menyerang bidaah dan 
pendapat yang menyeleweng yang dikemukakan oleh ulama’ yang sempit fikiran dan orang-orang sufi yang palsu.Shah Waliyullah membuktikan sesuatu pandangan dan pendapat itu bersesuaian dengan logik ddan akal fikiran tetapi tidak sesekali menundukkan ugama kepada akal sahaja sehingga agama tertakluk kepada akal semata-mata.

Shah Waliyullah berjasa besar kepada umat Islam dalam bidang pembaharuan ilmu dan pemikiran Islam.As-Sayyid Sabak menyifatkan beliau setanding dengan Imam Ghazali dan Ibn Taimiyyah.Ini adalah disebabkan beliau terkenal sebagai mujaddid yang gigih,tekun dan sabar dalam perjuangan.Di zaman Shah Waliyullah,bahasa resmi di Benua Indo-Pakistan ialah Bahasa Parsi.Sebilangan besar orang mengetahui bahasa ini dan ia lebih popular dari bahasa lain.Oleh itu beliau merasakan perlunya dibuat terjemahan 
Al-Quran dan tafsirannya ke dalam Bahasa Parsi itu.

Dalam bidang Ulum al-Quran,beliau telah memperkenalkan beberapa jenis ilmu yang diterangkan dalam nas-nas al-Quran dengan begitu jelas iaitu :

a. Ilmu al-Mukhaasamah
b. Ilmu al-Tazkir bi Aalillah
c. Ilmu al-Tazkir bi Ayyamillah
d. Ilmu a—Tazkir bi al-Maut wa Ba’dahu

Ada banyak kitab-kitab karangan beliau termasuklah beberapa Risalah yang mana Kitab Hujjatullah al-Balighah adalah antara yang masyhur sekali.Setakat yang dapat dikesan,karya Shah Waliyullah semuanya berjumlah 71 dan berikut ini adalah diantaranya :

1. Al-Fauzul Kabir – Tafsir Al-Quran
2. Fathurrahman fi tarjamtil Quran – Tafsir ( Parsi )
3. Az-Zahrawain – Tafsir Surah Al-Baqarah dan Ali-Imran
4. Takwilul Hadis – Tafsir yang menumpukan kepada kisah Nabi
5. Al-Musoffa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Parsi )
6. Al-Musawwa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Arab )
7. Syarhu tarjumil abwabi Bukhari – Hadis ( Arab )
8. An-nuwadiru min ahadithsi sayyidil awwali wal akhir –Hadis ( Arab )
9. Addurussaminu fi mubasyirotin nabiyyil amin –Hadis ( Arab )
10. Al-Irsyadu fi muhammatil istinad – Hadis ( Arab )
11. Insanu aini fi masyaeikhi haramain – Hadis ( Parsi )
12. Hujjatul al-Balighah – Hikmah-hikmah Syariat ( Arab )
13. Izalatul khafa i an khilafatil khulafa i – Akidah ( Parsi )
14. Qurrotulainaini fi tafdhi lis syaikhain – Akidah ( Parsi )
15. Husnul akidah – Akidah ( Arab )
16. Al-Insofu fi bayani asbabil ikhtilafi bainal fuqoha i wal mujtahidin – Syariat ( Arab )
17. Al-Budurul bazirah – Akidah ( Arab )
18. Al-Thoful qudsi fi lathoifin nafsi – Tasauf ( Parsi )
19. Al-Qaulu jamilu fi bayani sawa issabil – Tasauf ( Arab )
20. Al-Intibahu fi salasili aulia illah – Tasauf ( Parsi )
21. Suru rul mahzun – Tasauf ( Parsi )
22. Anfasul ‘ariffin – Sejarah Keturunannya ( Parsi )
23. Athyabunnaghom fi madhi sayyidil arabil wal ‘ajam – Syair memuji Rasulullah S.A.W ( Parsi )
24. Syifa’ul qulub – Tasauf
25. Muqaddimah dar fann i tarjimah I Quran –( Parsi )
26. Al-Khair ul kathir – ( Arab )
27. Al-Tafhimat ul ilahiyyah – ( Arab / Parsi )
28. Al-Fadlul mubin fil musalsa min hadis min naiyyil amin – ( Arab )
29. Arba’una hadisan musalsalatan bil israffi ghalib sanadiha - ( Arab )
30. Hama’at – ( Parsi )
31. Sata’at – ( Parsi )
32. Lamahat – ( Arab )
33. Altaful quds – ( Parsi )
34. Maktubat ma’hu manaqib Abi Abdullah Muhammad b. Ismail al-Bukhari wa fadhilat ibn Taimiyyah –
( Parsi )
35. Maktub-i-madani – ( Arab )
36. Maktubul ma’arif ma’damimah maktub thalathah – ( Parsi )
37. Kalimat-i-taiyyibat / Maktubat – ( Parsi )
38. Maktubat ( terkandung dalam “Hayat-i-wali” ) –( Arab )
39. Maktubat ( terkandung dalam “waliyullah dehlawi keysiyasi maktubat ) – ( Parsi )
40. Imdad fi ma’athir-il ajdad – ( Parsi )
41.‘Athiyat-us-Samadiyyahfil anfasil Muhammadiyyah – ( Parsi )
42. Hawami ( Syarh-i-hizb-ul Bahr ) – ( Parsi )
43. Al-Juz ul latif – ( Parsi )
44. Wasiyat Namah – ( Parsi )
45. Husnul ‘aqidah – ( Arab )
46. Risalah-i-Danishmandi – ( Parsi )
47. Kashful ghain fi syarh-ir-ruba’iyatain – ( Parsi )
48. Sarf-i-mir – ( Parsi )
49. As-Sirrul maktum fi asbab tadwinil ulum – ( Arab )
50. Al-Intibahu fi salasili aulia Illah wa asanid warithi Rasulillah– Tasauf ( Parsi )

PERANAN DALAM GERAKAN TAJDID WAL ISLAH

Pada awal abad ke 12 Hijrah,Shah Waliyullah telah mempelopori gerakan Tajdid wal Islah, iaitu gerakan 
pembaharuan dalam kesedaran dan pembangunan semula masyarakat Islam yang dipergiatkan lagi oleh Al-Sayyid Jamaluddin Afghani al Husaini dalam abad ke 13 Hijrah.Pada zaman permulaan abad ini,orang-orang yang dianggap ulama’ pada masa itu pula menjadi penganjur kepada amalan-amalan bidaah dan khurafat.

Perbincangan-perbincangan tentang masalah khilafiah baik yang berpunca dari Al-Quran atau Hadis atau Feqah seringkali berakhir dengan pergaduhan dan masam muka.Apa yang pasti, ulama’-ulama’ itu bersependapat di dalam mengekalkan orang-orang awam dalam kejahilan.Demikianlah keadaan umat Islam pada awal abad ke 12 Hijrah atau permulaan abad ke 18 Masihi.Keadaan seperti itulah selalunya menghendaki kedatangan seorang tokoh mujaddid seperti Shah Waliyullah.

Rasulullah pernah menyebutkan,
“Sesungguhnya Allah menghantar untuk umat ini dipermulaan 100 tahun orang-orang yang memperbaharui 
untuknya agamanya” ( HR Abu Daud ).

Beliau memperjuangkan pemikiran pembaharuan dalam beberapa aspek iaitu :

1.Akidah – Beliau menjelaskan betapa pentingnya akidah untuk membetulkan cara berfikir,beramal dan 
bertindak.Banyak kesilapan berlaku di kalangan umat Islam kerana salah faham dalam akidah.

2.Berpegang kepada Al-Quran dan Sunah – Beliau menganjurkan supaya ilmu Al-Quran dan Sunah dipelajari secara mendalam supaya umat Islam dapat memahami rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah dalam syariat Allah Ta’ala ,seperti yang difahami oleh umat Islam terdahulu.Orang Islam hendaklah mengutamakan Al-Quran dan Sunah sebagai panduan hidup,serta meninggalkan taklid kepada pendapat-pendapat fuqaha melainkan setelah dibahas,dihalusi dan difahami hujah-hujah mereka.

3.Siasah dan pemerintahan – Beliau mengajak umat Islam mencontohi khulafa ar-rasyidin dalam menegakkan syariat Allah melalui pemerintahan Negara Islam.Kitab beliau,”Khilafatul khafa-i-an tarikhil khulafa-i” antaranya menjelaskan tentang cirri-ciri Negara Islam,kewajipan dan tanggungjawab menegak dan memeliharanya.

4.Bahasa Arab – Kebanyakan orang Islam tidak memahami Bahasa Arab,ini menyebabkan mereka tidak 
memahami Al-Quran dan Sunah secara langsung.Setiap orang Islam sepatutnya tahu Bahasa Arab dan dapat memahami makna Al-Quran sekurang-kurangnya secara umum apabila membacanya.

5.Masa depan Dunia Islam – Dalam perjuangan gerakan Islam, Shah Waliyullah melihat umat Islam perlu bersedia dengan kemampuan akal yang tinggi bagi menghadapi kemajuan dunia.Mereka perlu dibekalkan dengan ilmu dan kefahaman tentang hikmah-hikmah ajaran Islam dan syariat Allah.Beliau menganjurkan, sekiranya sesebuah negara itu tidak dapat dibaiki lagi kerana terlalu rosak, satu angkatan jihad 
bagi menumbangkan pemerintahan itu hendaklah diujudkan supaya dapat dibentuk sebuah Negara Islam baru yang dapat melaksanakan syariat Allah.

KEJAYAAN SHAH WALIYULLAH

Usaha beliau dalam gerakan Tajdid wal Islah, penyebaran ilmu pengetahuan yang benar dan membentuk syakhsiah Islamiah telah melahirkan satu angkatan ulama’ yang dapat meneruskan perjuangannya.Begitu juga institusi pengajian yang terus berkembang.Boleh dikatakan seluruh umat Islam India terhutang budi kepada Shah Waliyullah kerana ilmu pengetahuan,gerakan dan contoh perjuangan yang ditunjukkan di abad 
ke 12 Hijrah.

Beliau ada 6 orang anak.Antara anaknya yang masyhur yang menuruti perjuangannya ialah Shah Abdul Aziz
( 1159-1239 H ),Shah Rafi’uddin ( 1163-1233 H ),Shah Abdul Kadir ( meninggal pada 1230 H ) dan Shah Abdul Ghani ( meninggal pada 1230 H ) serta cucu-cucunya Shah Muhammad Ishak ( meninggal pada 12227 H ) dan Shah Ismail Hunaid ( meninggal pada 1246 H ).

Mereka telah mengarang beberapa kitab dan meneruskan perjuangan Shah Waliyullah.Selepas beliau meninggaldunia,anaknya Shah Abdul Aziz mengantikan tempatnya.Cucu Shah Waliyullah iaitu Al-Imam Muslih Sheikh Ismail bin Shah Abdul Ghani telah memainkan perananbesar dalam perjuangan Islam di India.

SUMBANGAN SHAH WALIYULLAH DALAM ILMU KALAM

Ilmu Kalam sebenarnya dimaksudkan untuk membuktikan agama Islam itu benar-benar datang dari Allah.Agama Islam yang datangnya dari Allah itu pada umumnya terbahagi kepada 2 iaitu :
a. ‘Aqaid b. Ahkam

Kitab-kitab Ilmu Kalam yang ditulis sebelum Shah Waliyullah pada keseluruhannya hanya memperkatakan 
tentang ‘aqaid sahaja.Tidak ada sesiapa pun menyentuh bahagian keduanya.Shah Waliyullah lah orang yang mula-mula menulis di bahagian kedua untuk membuktikan Islam itu benar-benar datang dari Allah.

Satu perkara besar yang langsung tidak disentuh ahli-ahli Ilmu Kalam dahulu dan hanya diutarakan oleh 
Shah Waliyullah ialah mereka menonjolkan mukjizat Al-Quran disudut fashahah dan balaghahnya sahaja 
sedangkan mukjizat Al-Quran yang paling besar terletak pada prinsip-prinsip akhlak dan cara-cara 
tazkiatu an-nasf,konsep tauhid,risalah dan ma’ad yang tersebut di dalamnya.Semua perkara-perkara tersebut adalah terletak di luar kemampuan manusia.

Shah Waliyullah menjauhi diri dari berat sebelah dan beliau sentiasa menyembelahi kebenaran dan keadilan dalam membuat kesimpulan dan pendapat.Shah Waliyullah adalah seorang yang alim yang sebenarnya dalam bidang hadis dan feqah.Benarlah pendapat Maulana Ubaidillah Sindhi yang menyamakan peringkatnya sama taraf dengan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah.

Beliau mempelajari sistem kesufian dari bapanya dan mengamalkan Tariqat Naqsyabandi.Beliau diberi gelaran Waliullah bersempena gambaran daripada nama Allah, Al-Wali.

Shah Waliyullah juga adalah orang yang menerangkan mengenai Rahsia Huruf Muqattaat ( Ayat-ayat 
Mutasyabihat ) atau juga dikenali sebagai Huruf Potong / Huruf Ringkas .

Beliau meninggal dunia pada 29hb.Muharram 1176 H / 1763 M iaitu ketika berumur 61 tahun 4 bulan.
Dalam tahun 1383 H/1963 M, Akademi Shah Waliyullah telah didirikan secara resmi di Hyderabad oleh Jabatan Auqaf,Pakistan.

Bibliografi : Buku Ajaran Shah Waliyullah
Buku Pendidikan Islam Ting. 5 DBP
Tokoh Mujaddid Islam,prosiding seminar BPPI
Kitab Iktisar Hujjatullah Al-Balighah
Risalah Pengajian Almarhum Ust.Nik Salleh
Jurnal KIPSAS,As-Sirat Jilid III,bil.7
Seminar IKIM

1 comment:

Acit said...

Baru-baru ini iaitu pada 27hb April,2010 telah diadakan Seminar Sehari di IKIM bertajuk "Gagasan Islah dan Tajdid Shah Waliullah al-Dihlavi".Sebanyak 8 kertas kerja dibentangkan pada hari tersebut.