Wednesday

Bersuluk


Perkataan suluk itu datangnya dari perkataan Indonesia seperti rujukan dalam Kamus Besar
Indonesia iaitu :
1su·luk n 1 jalan ke arah kesempurnaan batin; tasawuf; tarekat
2 pengasingan diri; khalwat;
ber·su·luk v mengasingkan diri; berkhalwat.

Bersuluk itu adalah kombinasi perbuatan beruzlah dan berkhalwah dalam istilah Ilmu Tasawuf.
Ia dipanggil iktikaf di dalam ilmu Feqah.Iktikaf itu tertentu di dalam masjid.

Beruzlah itu meninggalkan kampong halaman atau rumah menuju ke suatu tempat kemudian duduk di tempat itu tidak keluar-keluar 10 hari 10 malam atau 40 hari 40 malam itu dinamakan khalwah.Ia juga dipanggil khalwah fil uzlah manakala khalwah fil jalwah pula , walaupun si salik itu berjalan,hatinya nampak Allah.
Ia adalah satu praktis secara intensif melakukan zikrullah bermula dengan berbilang-bilang hinggalah berzikir sampai tidak terbilang seperti air yang mengalir.Maka mudah dan cepatlah hati sanubari itu menerima tarqiyah dari Allah, dibukakan hijab dan tutupan hati untuk melangkah dari alam nasut ( alam sifat kemanusiaan ) ke alam malakut ( alam lakaran ) kemudian ke alam jabarut ( alam sifat ) seterusnya ke alam lahut ( kesedaran sifat ketuhanan ).Salik akan dapat memerhatikan Allah dengan Allah , basrahu bi basrihi.

Ia suatu bentuk beribadat yang terasing daripada manusia lain atau orang lain yang bukan dari kalangan jamaah supaya tiada gangguan ketika bersuluk itu.Ia suatu cara atau kaedah untuk tabattal ilaihi tabtiila , memutuskan hubungan dengan yang lain selain dari ingat Allah.Salik atau orang yang bersuluk itu dipimpin taubat dan zikirnya oleh Guru Mursyid.Salik melakukan taubat dan berzikir berterusan sepanjang suluk itu berjalan.Jika duduk seorang diri didalam bilik di rumah itu tidak dipanggil bersuluk kerana tiada pengawasan guru.Orang yang bersuluk itu akan dikurniakan pelbagai hikmah dan ilmu laduni sekiranya mereka itu benar-benar ikhlas dan segala kejadian itu lalui dengan mata kepala samada dengan penglihatan,dengan bau atau rasa.Ketika itu murid tidak boleh mengendalikan dirinya sendiri kecuali ada bimbingan guru yang faham akan setiap situasi yang berlaku kepada murid ketika itu kerana mengenal Allah itu mesti dengan wasitah.
Syeikh atau Guru Mursyid itulah yang menjadi wasitah yang boleh menyampaikan salik kepada Allah.

Ahli-Ahli Sufi sepakat mengatakan bahawa jikalau hendak menemui Allah mestilah melalui jalan fana'dan jalan fana' itu didapati melalui cara bersuluk.

Imam Ghazali menerangkan mengenai Ilmu Suluk ini dengan katanya sangat jauh perbezaan antara
mengetahui makna sihat atau kenyang dengan mengalamai sendiri makna sihat dan kenyang itu.Beliau menerangkanya dalam sebuah kitab karangannya diberi nama Suluk as-Sultanah.

Kita pergi menunaikan haji dengan tubuh yang zahir menziarahi Kaabah manakala bersuluk pula pergi menemui Tuan Kaabah secara rohaniah.Salik akan berzikir dengan zikir Ismu Dzat , yakni zikir yang membolehkan salik itu mendapat tarikan  (jazbah ) kepada Allah.Apabila salik telah mendapat tarikan yang kuat kepada Allah , si salik ini akan dapat memulakan semula kata-kata yang pernah manusia ucapkan suatu ketika dahulu di alam roh iaitu " alastu birobbikum ; qooluu balaa syahidna "- Al A'raf ayat 172.Bayi yang baru lahir ke dunia akan menanggis kerana sedih untuk meninggalkan Allah dan apabila seseorang itu bersuluk dan sampai ke peringkat makrifatullah ,Tuhan ibaratnya berkata; 'dah lama hati engkau tidak memandang Aku.Jadi. silakan...silakan..masuklah engkau dengan musyahadah'..Ya aiyatuhannafsul muttmainnah irjie..irjie..ila robbikiriroodhiatammardhiah'.

Hati itu tempat simpan iman, wadah berbagai rahsia ghaib dan juga punca terpancarnya berbagai nur.Hati itu perlu digilap,perlu dihidupkan agar tidak ia menjadi ais ; gelap dan tidak telus.Cara mengasuhnya adalah dengan berzikrullah secara khusus dan istiqamah

Zikrullah dan khalwat ini adalah sunah Nabi yang paling awal,sejak di Gua Hira' lagi.
Nabi Muhammad S.A.W juga telah pergi berkhalwah di Jabal Thur bahkan Nabi Musa a.s juga berkhalwah di Bukit Tursina seperti Firman Allah : “ dan telah Kami janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam.. ".Surah al-A’raaf ayat 142.

Sabda Nabi S.A.W :
“ Wajiblah atas engkau sentiasa berzikrullah di tempat-tempat yang sunyi “ Syeikh Abdul Kadir Isa,
Haqaiq anittasawuf.

“ Orang yang ikhlas kepada Allah selama 40 hari akan timbul sumber hikmah dari hatinya pada lisannya ”.

“ Barangsiapa menambatkan akan dirinya satu malam pada jalan Allah adalah satu malam itu baginya seperti seribu malam sembahyang dan puasa “ HR Ibn Majah dan Usman.

“ Haqiqun bilmar’i inyyakuunalahu majaalisu yakhluu fiihaa wayazkuruu zunuubahu fayastaqfirullaha minha – sebenar-benar bagi seseorang itu mempunyai tempat duduk untuk ia berkhalwat didalamnya dan mengingati dosa-dosanya dan ia meminta ampunkepada Allah terhadap dosa-dosanya“

Darjat atau peringkat ehsan itu menurut Imam Ghazali tidak dapat dicapai dengan cara ta’alim atau mendengar kecuali dengan cara merasa atau dzauq.Bagi mencapai dzauq yang cepat perlulah mengikuti jalan bersuluk. ( Ihya’ Ulumuddin )

Dari ‘Aisyah r.h., dia berkata, “ Adalah Nabi SAW melaksanakan iktikaf dalam sepuluh hari akhir Ramadhan, lalu saya buatkan kelambu untuk beliau, lalu Rasulullah solat Subuh, kemudian memasukinya. (H.R. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah).Penggunaan kelambu bagi golongan ahli Tariqat memandang mereka itu seolah-olah berada dalam kuburan atau liang.

Tempat-tempat untuk bersuluk itu ada berbagai , ada yang di surau,ada yang dibuat di rumah Syeikh atau Guru jika murid yang bersuluk itu tidak ramai.Kalau dulunya Nabi S.A.W beriktikaf di Gua Hira’ dan sekarang ibadat itu kebanyakannya dibuat di surau khas atau lazimnya dipanggil rumah suluk.


Ada sesetengah rumah suluk itu menyediakan bilik-bilik kecil yang hanya muat seorang sahaja sebagai tempat berzikir tetapi ia menghadkan bilangan murid yang ingin bersuluk.


Ada syeikh yang menyediakan liang atau lubang sebagai tempat khusus seperti liang khalwat Tok Selehor di Tumpat,Kelantan dan liang Tuan Guru Hj Muhammad Noh,Sg Chincin,Gombak.

Liang Suluk TG Muhammad Noh terletak diluar Masjid Sg Chincin,Gombak.Tingginya lebih kurang 5’ dan lebarnya 7’.Malangnya tempat ini tidak terjaga,dibumbungi atau didindingkan agar bersih.Tempat ini berupa
sebuah taman ke hadrat Allah.



Oleh kerana murid yang bersuluk saban tahun makin bertambah,para syeikh memikirkan menyediakan kelambu kecil yang digantung di dalam surau atau rumah suluk sebagai tempat atau sempadan murid berzikir.

Contoh Kelambu ; ada pelbagai bentuk. 

Bersuluk itu bukan Bertapa.Bersuluk itu dipimpin oleh Guru Mursyid yang menyampaikan murid atau salik itu kepada Allah,zikirnya dipimpin,taubatnya dipimpin sedangkan bertapa itu seorang diri sahaja.

Solat jamaah adalah wajib bagi murid yang bersuluk yang jika dihitung selama 10 hari 10 malam,mereka akan solat jemaah selama 50 waktu.

Suluk selalunya bermula pada hari Isnin atau Khamis dan berlangsung selama 10 hari 10 malam dan ada yang melakukannya selama 40 hari 40 malam.Kekangan masa dengan kesibukan bekerja dan mencari rezeki membuatkan kebanyakan para Guru mengadakannya untuk tempoh pendek sahaja.

Nabi S.A.W bersabda,"Bahawa amalan hamba dibentang pada hari Isnin dan hari Khamis"-Hujjatullah al Balighah- Syah Waliyullah ad-Dahlavi.

Sabda Baginda lagi," Penghulu hari di sisi Allah adalah hari Jumaat,lagi besar dari Hari Raya Haji dan Hari Raya Fitri.Padanya 5 macam,Pertama : menjadikan Allah Nabi Adam.Kedua : diusirnya dari syurga ke bumi, Ketiga : dia diwafatkan. Keempat,tak adalah hamba Allah yang meminta pada hari itu akan diberi Allah selama ia tidak memperbuat dosa atau memutuskan saliturrahim.Kelima : padanya berdiri hari Kiamat.Dan tak adalah dari malaikat yang hampir dan tidak pula langit dan angin dan bukit dan batu melainkan semuanya sayang pada hari Jumaat " HR as-Syafie

Maka jamaah akan mula bersuluk pada petang Khamis untuk menanamkan bibit-bibit zikrullah dalam hati sanubari.

Nabi kata,khairul umuur ausotuha yakni sebaik-baik perkara itu sederhana atau pertengahan.Tapi berSuluk ni nampak macam berat jer !

Nabi S.A.W amat bijaksana,kata-kata Baginda adalah wahyu Allah cuma umatnya tak faham dan buat-buat tak faham pada perkara yang dianggap menyusahkan. Nabi S.A.W kata sebaik-baik perkara buat yang sederhana tapi Nabi solat sampai bengkak-bengkak kaki Baginda.. ni bukan sederhana namanya.

Sayidina Abu Bakar r.a menyedekahkan semua hartanya untuk Islam,yang ada hanya Allah dan Rasulnya sahaja; ni pun bukan perbuatan yang sederhana !

Kaedah bersuluk itu ialah duduk berzikir siang malam beribu ribu berjuta-juta.Firman Allah,” dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak,Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar “ Surah al-Ahzab : 35.

Berzikir secara intensif. Bertaubat dan berzikir . Berzikir bertaubat berzikir bertaubat berzikir sehinggalah Allah kurniakan warid dan tarqiyah kepada murid itu dalam bentuk pandangan atau rasa atau bau atau seumpamanya.

Barulah masa itu keadaan murid itu membetuli panggilan dari Allah  ,”   Ya aiyatuhannafsul muttmainnah”.Rasa seperti baru dilahirkan semula.Barulah RASA Allah itu ada bukan setakat tahu Allah itu ada sahaja. Maka cairlah hati kita pada masa itu dalam mujahadah dengan zikrullah secara berterusan.

Bersuluk tertakluk kepada adab-adab sebelum suluk,adab ketika bersuluk dan adab selepas bersuluk.Bersuluk ini seperti suatu jihad dimana salik akan meninggalkan segala kelaziman dalam kehidupannya,tinggalkan keseronokan,tinggalkan kemewahan dan segala perbuatan rutin seharian semata-mata untuk berzikir kepada Allah dalam satu jangkamasa yang tertentu.

Boleh ke kita buat di rumah,di surau atau di masjid lain seperti ini ? Tak boleh..kerana apa ; kerana banyak gangguan;bunyi call hanset,bunyi TV drama best,bunyi radio lagu best,bau kueh,anak panggil,kawan panggil, jiran panggil,Bos panggil,isteri panggil,mak ayah panggil..ingat chatting FB..jadi tak boleh nak tekun dan istiqamah.Kalau zikir sikit-sikit,hati akan lambat caj..Bila lambat caj , maka lambatlah peluang atau tiada peluang langsung untuk hati itu menerima tajalli Allah.

Bagaimana nak cepatkan caj hati , kenalah bersuluk dan beramal dengan amalan tariqat iaitu satu amalan yang boleh diistilahkan sebagai amalan tertentu,dengan bilangan tertentu dan di tempat-tempat tertentu.

Apa yang kita dapat selepas bersuluk itu ? Setiap mereka yang bersuluk itu yang datang dengan niat yang ikhlas semata kerana Allah ; mudah-mudahan mereka akan :

1.   Bertambah keyakinan mereka tentang wujud Allah , lebih kenal dan lebih tahu tentangNya.
2.   Merasai atau melalui pengalaman dzauki dan fana'fillah, faham apa yang dinamakan makrifah , tahu
      dimana berlakunya musyahadah , faham apa itu baqobillah dan istilah-istilah seumpamanya.
3.   Bertambah kefahaman tentang Martabat 7.
4.   Menyakini kepentingan bertawassul dan berabitah.
5.   Mempraktikkan adab-adab berzikir dan adab-adab bersama Guru atau orang yang alim.
6.   Istiqamah dalam solat taubat.
7.   Lebih memahami apa yang dikatakan oleh Ibn Atho'illah dalam Kitab Hikam.
8.   Memahami kepenting ilmu tasawuf ( ilmu tariqat ) dan kepentingan beramal dengannya.
9.   Rasa rendah diri ; tidak lagi mudah menilai orang lain berdasarkan kepada pakaian atau pangkat.
10. Faham apa yang dikatakan ilmu Laduni dan mudah mendapat natijah-natijah zikir.
11. Mantap pegangan kepada tauhid uluhiyyah dan rububiyyah.
12. Menyembah Allah yang sudah kenal seperti umpama bercakap dengan orang yang kita kenal dengan
      orang yang tidak kita kenal.
13. Hatinya benar-benar yakin apa yang wajib diimani.
14. Dengan bersuluk,kita dapat sebahgian walaupun tidak sepenuhnya sifat-sifat orang
Ulul albab.


Pekerjaan khalwat atau bersuluk ini ada 2 perkara utama yakni ZIKIR dan FIKIR.

Wallahua’lam.
Perbincangan lanjut boleh diikuti di :
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=20350.msg298523#msg298523

Posting yang berkaitan :

Apa itu Tariqat
Apa itu Zikir Khusus
Kepentingan Salasilah
Rabitah
Peranan Hati ,Akal dan Roh
Prinsip dalam Ilmu Tariqat YMTG Hj Jahid
Kepentingan Beramal dengan Ilmu Tasawuf - YMTG Hj Jahid


No comments: