Monday

Almarhum Ustaz Hj Mokhtar Yaakob


Allahyarham adalah orang kuat No.2 Al-Arqam pada suatu ketika dulu kemudian beliau diarahkan
meninggalkan Al-Arqam oleh Tuan Guru beliau, Syeikh Imam Ishak.

Saya sempat menimba ilmu dengan almarhum ketika beliau mengadakan kuliah bulanan setiap hari Sabtu
( kalau tak silap ) di Beserah,Kuantan sekitar tahun 1980/81.Ketika itu saya tinggal di asrama yang tidak beberapa jauh dari situ.Disamping mendengar kuliah, kami akan membeli barang-barang keluaran Al-Arqam seperti kicap dan membawanya pulang ke asrama.Kami masa tu dalam batch yang condong ke arah keagamaan dan bersedia menghapuskan aktiviti ragging oleh senior yang sudah menjadi adat tahun bertahun.

Kami ke sana dengan menyewa bas dan mengumpulkan duit tambang sesama sendiri setiap bulan.Malah di minggu yang lain pula,beberapa pelajar lelaki termasuk saya akan mengikuti program Jamaah Tabligh di sebuah markas berhampiran kawasan yang sama.

Saya masih menyimpan beberapa catatan ilmu yang saya catit ketika mendengar kuliah almarhum sebagai satu ilmu yang tidak pernah padam.Malahan,ketika cuti sekolah hujung tahun,saya dan beberapa orang kawan telah pergi mengikuti program Al-Arqam di Sg Penchala kalau tak silap selama seminggu.Masa tu,Ustaz Ashaari masih ada dan saya diletakkan dalam grup Laksamana Abdul Aziz.Saya masih ingat lagi ;cita-cita besar saya ingin menjadi tentera, amat berkobar-kobar.Tatkala saya mendengar kuliah dari Laksamana Abd Aziz; dia menceritakan kehidupan tentera yang banyak bergelumang dengan minuman keras; satu letupan nukliar bagai meletupkan hasrat dan cita-cita saya..Boooommm !! Habis..hilang lenyap..tengelam terus segala-galanya..tiada lagi terlintas..tiada lagi terdetik untuk memasuki alam ketenteraan..saya ingat ; itu jasa Laksamana pada saya.
Saya pernah jumpa beliau sekali selepas itu dalam tahun 2002 atau 2003 ( tak beberapa ingat ) di rumah beliau di Batu Pahat,pertemuan singkat sahaja diluar rumah kebetulan kami dibawa melalui jalan ke rumahnya..dimaklumkan dia juga mengajar tariqat.

Ketika di Sg Penchala juga,saya mencatit beberapa catatan dari kuliah Almarhum Ustaz Mokhtar.Saya akan berkongsi di sini sebagai arkib peribadi saya yang saya akan ulangbaca beberapa kali.

PETIKAN KULIAH ALMARHUM USTAZ HJ MOKHTAR.

Bagaimana nak tundukkan hati ? Kata Ustaz Mokhtar; Anggota manusia itu tentera hati;khadam hati;berbuat mengikut kehendak hati;terhenti berbuat sesuatu apabila hati tidak mahu.

Buang segala sampah kekotoran itu dengan Zikir Maut, zikir yang menjadi pendahuluan zikir yang dinamakan Rabitah Kubur.

Kata beliau ketika mengupas Kitab Tanwirul Qulub :

"Jangan kamu tinggalkan zikrullah ketika kamu tidak dapat hadir berserta Allah Taala".

"Mudah-mudahan Allah memberi kamu bahagia dengan taufik dan kemanisan dengan tasrif Tariqat Naqsyabandiah adalah semudah-mudah jalan dan sehampir-hampir pada pelajar untuk ke darjat tauhid".
                ( Petikan Muqaddimah dari salinan Kupasan Tanwirul Qulub – armarhum Ustaz Mokhtar )

"Sama sahaja limpahan Tariqat ini kepada orang-orang tua, kanak-kanak, orang hidup dan orang mati. Hendaklah kamu ambil dan hisap baunya yang harum itu, mudah-mudahan kamu berjaya menjadi salah seorang dari golongan mereka. Hingga kamu memperoleh permata yang berharga dan mencium bau jalan yang tidak pernah terlintas di hatimu dan boleh menghilangkan kesamaran dan keraguan di dalam hati. mereka itu adalah orang-orang yang suci dari kekerohan".

' Tidak boleh seseorang itu sampai kepada maqam yang tinggi ini dengan diri sendiri. Bahkan mesti ada pemandu yang sempurna yang telah sampai kepada maqam musyahadah dan tahkik dengan sifat Tuhan '

      (Kupasan Tanwirul Qulub – almarhum Ustaz Mokhtar )

Saya diberi kesempatan menziarahi maqam beliau ( dengan izin anakanda beliau ) setelah mengetahui beliau dikebumikan di Pekan..itu pun setelah beberapa lama baru tahu.Apa yang mengejut pabila melihat maqamnya buat pertama kali yang ditunjukkan oeh anakanda beliau; ia tidaklah seperti apa yang dibayangkan didalam kepala; kubur atau saya suka gunakan perkataan maqam bagi orang -orang 'alim itu hanya berdindingkan papan yang usang..tidak ada dapur atau binaan batu diatasnya (ketika itu) walau pun almarhum seorang yang dikenali ramai.Mungkin itu kehendak arwah ataupun mungkin itu kehendak keluarganya.Walau apapun; almarhum menampakkan kerendahan diri hingga akhir hayatnya...Al-Fatihah..

Subhanallah !

QS : Ad-Dukhan 56 : " Mereka tidak akan merasakan mati di sana kecuali mati di dunia.Dan Allah memelihara mereka dari azab neraka ".

Allah SWT telah tunjukkan kelebihan kepada mereka yang berzikir walaupun mereka telah kembali lebih awal daripada kita.Ia adalah sebaik-baik pengajaran bagi yang masih hidup; yakni JANGAN TINGGALKAN ZIKRULLAH !

Wallahu a'lam.




Perbezaan Tauhid Usuluddin dan Tauhid Mukasyafah

Apa perbezaan Tauhid Ussuluddin dengan Tauhid Mukasyafah.Ussuluddin itu suatu ilmu  pengetahuan
yang dipelajari dengan mendengar dan menjadi murid/tholib sedangkan Mukasyafah itu bukan dari
kumpulan Ilmu Tauhid tetapi ia adalah Ilmu tasauf.


Mukasyafah itu didapati hanya oleh seorang salik dengan cara dzauqi.Selagi tidak melalui jalan dzauqi ini,seseorang itu akan gagal untuk mencapai maqam mukasyafah dan gagal mengenali Allah Azzawajalla dengan rasa yang Allah itu ada.Malah penerangannya juga telah banyak cuma atas tajuk yang berlainan.Walau bagaimana pun saya menyantuni persoalan ini yang dilihat dari sudut yang lain walaupun
pada dasarnya ia adalah cerita yang sama.

Kita semak semula hadis ini : 
“Anil ehsaanu anta’budallaaha ka annaka taroohu faillam takunn tarohu fainnahu yarooka” .

Hadis yang terkenal dengan panggilan Hadis Jibrail ini amat jelas meminta setiap orang Islam
mempertingkatkan amalan bukan sekadar menjadi mukmin tetapi berusaha sehingga ke
darjat mukhsin malah mukhlis.Peringkat inilah yang dinamakan peringkat ehsan.


Di dalam hadis ini kalau kita telitikan ada 3 asas utama iaitu ISLAM , IMAN dan EHSAN.

Islam itu diasaskan kepada 5 Rukun sepertimana yang kita pelajari dalam ILMU FEQAH dan IMAN
itu ada 6 Rukun yang wajib kita imami dalam pelajaran Ilmu Tauhid. Manakala EHSAN
itu pula mengandungi 1 Rukun dalam Ilmu Tasauf.


Ilmu Feqah dan Ilmu Tauhid itu mengajar kita perkara-perkara mengenai solat,halal,haram,haji dan
seumpamanya.Ilmu ini tertentu pada waktu-waktunya sahaja seperti pelajaran haji,digunakan ia apabila
mengerjakan haji.Begitu juga dengan solat,ia dipelajari bagaimana untuk kita mendirikan solat.

Manakala Ilmu Tasauf itu mengajar kita untuk berzikrullah,siang malam,duduk ,baring malah ia dikatakan
“ilmu orang yang nak mati”,kerana apa ; kerana apabila orang sudah nazak,dia dah tak mampu solat lagi,
puasa pun dah tak boleh tetapi ia masih mampu berzikrullah di dalam hati, secara sirr.

Ilmu Tasauf ini dengan jalan zikrullah yang istiqamah dan dipimpin akan membawa seorang salik ke hadrat
Allah dengan cara dzauqi,kenal Allah dengan Allah.Maka berlakulah semasa didalam perjalanan ini makrifatullah dan mukasyafah.Dengan itu,sampailah salik ini kepada sasaaran hadis Jibrail ini iaitu ke darjat ehsan.

Bagaimana jalan ini ( Ilmu Tasauf ) boleh membawa seseorang itu kenal Allah begini cepat ?
Ya , jalan ini yang dikenali sebagai tariqat itu adalah jalan rentas ( ekspres ) untuk sampai ke hadratullah tetapi ia bukanlah laluan yang payah ; tak payah tetapi susah.Macam kita nak makan ; tak payah tapi kena juga suap,kunyah dan telan.

Susah yang macamana ; iaitu susah kena meninggalkan segala kesukaan dunia untuk pergi beruzlah dan tinggal di suatu tempat itu untuk berkhalwat ( terpisah dari orang awam ) untuk beberapa tempoh waktu.Yang inilah yang dikatakan susahnya ; kena tinggalkan anak isteri ( kalau pergi berkhalwat sekeluarga lagi bagus ) ,kena tinggalkan FB , kena tinggalkan kerja,perniagaan,kena tinggalkan nonton bola , kena tinggalkan main futsal,jahit menjahit,masak memasak,kena tinggalkan teh tarik ,tinggalkan wasap,
telegram,dan pelbagai kesukaan nafsu…tinggalkan sekejap sahaja untuk pergi beruzlah.

Orang yang belajar Ilmu Tauhid tu tak boleh ke sampai pada peringkat mukasyafah ini ?
Boleh tetapi jarang-jarang , seperti jarang-jarang orang yang menjadi kaya dengan sebab terjumpa harta qorun.
Malah Ilmu ini dikatakan perjalanan menuju Allah itu ibarat mengesot-ensot sedangkan perjalanan melalui jalan Ilmu Tasauf itu seolah-olah berlari atau terbang.


Inilah apa yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali , bukannya Imam Ghazali sahaja yang tahu maksud kata-kata beliau tetapi beliau pada masa sebelum mendalami pengajian Tasauf ; beliau adalah seorang ulama’ tersohor dan dijoloki dengan panggilan Hujjatul Islam.Beliau berkata mengikut pengalaman kerohanian beliau semasa berkhalwat ( bersuluk ).

Setelah Imam Ghazali pergi mengasingkan diri untuk berkhalwat selama hampir sebelas tahun ,barulah Allah
Taala kurniakan kefahaman dan Ilmu untuk menulis Kitab Ihya’ Ulumuddin. Kitab Ihya' ini adalah syarah bagi Al-Quran.Sebab itu lah,sekembalinya beliau dari berkhalwat , beliau nukilkan bahawa hampir-hampir ilmu kalam itu menjadi hijab untuk mengenal Allah kerana selama ini ( sebelum pergi berkhalwat ) , sangkaan dengan segala keilmuan yang ada padanya beliau rasa sudah cukup mengenali Allah Taala sedangkan ia berbeza dengan pengalaman mengenali Allah secara dzauqi.

Jadi apa yang dikatakan oleh para ulama’ yang ariffbillah mengenai agama adalah melalui pengalaman rohani
mereka sendiri.Begitu jugalah kalau kita rujuk balik kepada pemahaman atau doktrin wahdatul wujud Ibn Arabi dengan fahaman wahdatul syuhud Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi.Ibn Arabi berpegang kepada dalil-dalil aqli sedangkan Syeikh Sirhindi memahami ketuhanan itu melalui pengalaman dzauqi.

Perhatikan contoh pada Nabi kita yang berzikrullah dan berkhalwat selama 12 tahun, selepas itulah baru
Baginda di israkkan ( inilah yang dalam Ilmu Tasauf itu dikata perjalanan menuju Allah ) .

Kesimpulannya,letaklah sesuatu benda itu pada tempatnya.Itulah yang dipraktiskan oleh para syeikh dan guru kita seperti diibaratkan pisau jilid kita buat bercukur ; bukannya pisau jilid itu kita buat tebang pokok kelapa atau pun gunakan kapak untuk bercukur .

Sebenarnya , terpulanglah kepada kita sendiri samada mahu terus bercerita-bercerita atau ghalib pada
perkara-perkara yang pelik dan ajaib malah kebanyakan dari kita masih asyik dan khayal pada perkara-perkara yang maknawi serta  istilah-istilah ketuhanan seperti mukasyafah,makrifah,haqiqat,kenal Allah,Tahu Allah,Diri Terperi,Diri Terdiri dan pelbagai istilah lagi kesukaan pengamal Ilmu Batin sehinggalah saat kematian menghampiri sedangkan kita tidak pernah pun memulakan langkah pertama ke arah itu ! Masih asyik dengan diri punya diri sampai tak sedar diri..

Ibarat kita bertanya mengenai perkahwinan pada Ustaz yang belum pernah berkahwin ; kita tidak akan dapat suatu jawapan jitu dan pasti.Begitu juga kalau kita menitip Kitab Hikam yang banyak menerangkan mengenai Ilmu Ketuhanan nescaya kita tidak akan dapat kefahaman sebenar apa yang disampaikan oleh Syeikh Atho’illah jika kita sendiri belum sampai ke peringkat itu atau orang yang mengajar atau mensyarahkannya juga belum terjun ke dalam dunia ketuhanan itu sendiri.

Maka jadilah ia seperti satu sketsa mengenai dua orang kawan ; Seorang kita namakan Mat Jawa dan seorang lagi adalah budak dari Kelantan yang kita namakan dia sebagai Awea .Melintaslah seekur ular berhampiran mereka,lalu kata Mat Jawa ,” Jaga Awea ULAR tuuu ?.Terkejutlah budak Kelantan si Awea dan berkata, “ Mano ? Katok ! Katok !.Terpingga-pinggalah si Mat Jawa ; “Bukan KATAK , Uulaar !. Balas si Awea , “ Doh katoklah ! “. ( 'Katok' dalam loghat Kelantan adalah pukul ).

Begitulah jugalah situasi begini akan berlaku jika kita tidak serius memahami dan menyelami dan mendalami ilmu ketuhanan kerana sebenarnya memberi impak yang besar kepada diri kita sendiri dari pelbagai segi zahir dan rohaniah..banyak kita akan temui nanti salah faham dan salah tanggapan.

Alangkah baiknya kalau kita terjah masuk menyelami dengan hati sanubari ke dunia ketuhanan itu sendiri ;
merasai dan menyaksikan.Kita terjun ke dalam rahsia ketuhanan itu agar ia tidak lagi menjadi rahsia bagi kita
sebab Allah itu mahu dikenali.

Imam Ghazali mengatakan  bahawa Ilmu Mantiq atau ilmu logik akal adalah pengenalan kepada ilmu Sains dan tidak  ia mencangkupi kepercayaan kepada  maklumat atau pengetahuan yang lebih awal.Menurut Imam Ghazali dalam Kitabnya ‘al-Mustafa min ‘ilm al-usul’ ,ilmu mantiq   atau ilmu logik akal ini diletakkan dalam dua katagori iaitu teologi atau teori ilmu itu sendiri dan ilmu ketuhanan.

Kata beliau lagi,’Sekiranya salah satu syarat seorang alim yang mujtahid,haruslah mendalami ilmu mantiq,perlu membawa bukti dan menampilkan qias atau perbandingan.

Ia bertujuan untuk menilai dan mempertimbangkan bahawa ilmu logik itu diterima akal atau tidak.

Ulama’ tasauf menyebutkan,” an aqlu lil maqkuulat “ , yakni  akal itu untuk menerima perkara yang masuk akal.Maqkuulat itu pada syariat dan memberi kefahaman seperti pemahaman dalam pembacaan.Kitab Tauhid,Kitab Tafsir dan seumpamanya.Jadi penerimaan akal itu kita beriman dan kita dapat kefahaman.Ia lebih kepada perkara yang zahir.

Apabila sampai bab hakikat dan makrifat,akal tidak boleh memainkan peranannya.Masa itulah gunanya hati,roh dan sirr.Tetapi kita masih tidak dapat membezakan antara  peranan akal,hati, roh dan sirr itu.Kita hanya tahu dan fikir tentang akal sahaja kerana hati,roh dan sirr itu sangat rahsia dalam tubuh kita.

Anggota jasad kita seperti mata itu untuk melihat, telinga itu untuk mendengar, kaki itu untuk berjalan atau lidah itu untuk bertutur ; kita boleh terima dengan mudah.

Berbeza dengan anggota yang batin itu kerana diri kita mempunyai dua lapisan iaitu ruhhun dan jasadun.Kata ulama’ tasauf,”Hati itu lil maqluumat”; yang akal tidak boleh masuk akal itu tetapi hati boleh terima.Contohnya seperti peristiwa Israk dan Mikraj;dari segi akalnya tidak boleh terima Nabi S.A.W naik ke langit tetapi peristiwa itu hanya boleh difahami oleh hati.Orang-orang yang beriman sahaja yang gunakan hati boleh menerima dan faham.

Roh itu pula ”Lil Musyahadah”, untuk menyaksikan perkara-perkara yang maknawi.Kisah Imam Abu Hanifah ketika mahu menyelesaikan satu permasaalahan mengenai jenis air basuhan pertama dari wudu’ seseorang itu samada ia dikatagorikan sebagai air mutannajis atau sebagainya.Dibukakan hijab oleh Allah Ta’ala ,beliau dapat melihat ketika seorang sedang mengambil wudu’; ia nampak kotornya air itu dan berbau busuk.Maka dia terus tuliskan bahawa air itu mutannajis.Begitulah roh beliau dapat memandang perkara yang maknawi.

Sirr itu pula adalah lubuk hati,”wa sirr lil tajalliyat”.Tempat simpanan ilmu,kefahaman,iman dan apa yang di
musyahadahkan.Terbit niat itu dari sirr,sampai ke otak (akal) kemudian barulah ke hati.Hatilah yang membuat keputusannya.Semua itu adalah roh sepertimana tangan,kaki,mata itu sebagai jasad.

Kata Imam Ghazali,”nurrun latifatun robbaniyyun”, inilah roh yang mana akal itu menerima, hati itu memahami,roh itu menyaksikan perkara yang maknawi dan sirrun itu menyimpan rahsia.

Bagaimana jasad itu ada berbagai nama berdasarkan kegunaannya, maka begitu jugalah dengan roh yang dinamakan dengan pelbagai nama berdasarkan kegunaannya.

Jadi,Imam Ghazali memang sebenar-benar layak bergelar Hujjatul Islam kerana beliau mendalami kedua-dua aliran ilmu iaitu usul fikh dan tasawuf walaupun beberapa orang telah memberi kritikan kepada pegangan dan tulisan dari kitabnya.

Khalifah : Masih adakah di zaman ini ?

Orang yang menjadi Khalifah Rasulullah S.A.W itu masih ada mereka itu sampai
bila-bila selagi berkekalan syariat Nabi Muhammad S.A.W.Khalifah itu bererti ganti,
maka Khalifah Rasulullah itu adalah sebagai ganti bagi Rasulullah S.A.W menyampaikan
dan menunjuki apa-apa ajaran yang di dalam syariat Nabi samada syariat zahir ataupun
syariat batin.

Maka kita patut view skop khalifah ini dari sudut yang lebih luas,bukan tertumpu kepada
empat orang khulafa ar-rasyidin itu sahaja.Selagi masih ada orang Islam yang menyebut
kalimah Allah di atas muka bumi ini,selagi itu bumi tidak akan kiamat.

Maka sesiapa juga di kalangan orang Islam yang mengajar dan menunjuki apa-apa
perkara syariat Nabi kepada manusia,dia adalah sebagai Khalifah Rasulullah S.A.W selagi
dia kekal berpegang atas syariat walaupun dia tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W
walaupun dia hanya menerima khabar atau mendapat bimbingan perantara sehingga 70 bilangan
perantara daripada Khalifah-khalifah Rasulullah S.A.W sebagaimana Sabda Baginda :
" Tidak masuk neraka orang Islam yang memandang aku dan tidak masuk neraka orang Islam
yang memandang ia akan orang yang TELAH memandang aku walaupun dengan tujoh puloh
wasithoh ( yakni 70 perhubungan pandang memandang kepada mereka yang TELAH memandang)
sekalipun  " HR Khatib Bin Abdul Rahman Bin Uqbah Bin Abih.Ini lah juga yang dikatakan salsilah
Masyaeikh.

Sabda Nabi lagi:
" Wahai Tuhanku,berilah rahmat olehMu akan segala khalifahku yang datang ia kemudian daripadaku
yang meriwayatkan ia hadisku dan sunnahku dan mengajar ia akan manusia" HR Thibrani dan Ali.

Sabda Nabi :
"Barangsiapa menyuruh-nyuruh ia akan kebajikan dan menegah ia daripada mungkar,maka adalah orang itu khalifah Allah pada buminya dan khalifah bagi RasulNya dan juga khalifah bagi KitabNya"

Firman Allah,Surah An-Nur ayat 55 :
" Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman yang beramal dengan amal soleh,maka nescaya dijadikan Allah akan mereka khalifah di muka bumi sebagaimana Allah telah menjadikan khalifah mereka
yang terdahulu daripada mereka itu".

Ini adalah penjelasan dan keterangan mengenai fungsi dan status khalifah bagi Allah,khalifah bagi Rasulullah
dan khalifah bagi kitab Allah.Maka dapatlah kita faham dari ayat dan hadis ini, mereka yang dikatakan khalifah itu masih ada dan masih wujud hingga sekarang.

Fidyah dan Kifarah


Kaedah membuat fidyah dan Kifarah mengikut Mazhab Imam Hanafi rahimahullahu Taalamerujuk kepada sebuah Kitab yang bernama ‘Irsyadul ‘ibaadi ila sabilirrasyad”yang disusun oleh
As-Syeikh Zainal Abidin Al-Fatani pada mukasurat 18 dan diambil dari Kitab ‘Royatuttaqrib’
yang disusun oleh As-Syeikh Muhamad Daud Al-Fatani padamukasurat 21.


Termuat juga pada susunan yang dikasihi Tuan Guru Imam Hj Ishak Bin Muhammad Arif yang bernama ‘Tanbihul Muriidiin’ pada mukasurat 15.Bayaran fidyah itu dengan harga beras.


Fidyah dan Kifarah ini dilaksanakan merangkumi :
1. Fidyah bagi Solat Fardu
2. Fidyah Bagi Puasa Fardu
3. Fidyah Nazar
4. Kifarah Puasa Fardu
5. Kifarah Zihar
6. Kifarah Sumpah
7. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap Allah SWT.
8. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap sesama manusia.
9. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap binatang-binatang.
10.Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap segala tumbuhan dan segala makhluk.

Kaedah ini dilakukan dengan merujuk kepada kepada Kitab " Irsyadul 'ibadi ila sabilirrasyad "
yang disusun oleh As-Syeikh Zainal Abidin Al-Fatani pada mukasurat 18.Juga diambil dari Kitab
' Qroyattutaqrib ' yang disusun oleh As-Syeikh Mohd Daud Al-Fatani pada mukasurat 21.
Kaedah ini juga termuat dalam Kitab susunan yang dikasihi TG Hj Imam Ishak Bin Muhammad Arif
An-Naqsyabandi Al-Khalidi yaitu ' Tunbihul muriidiin' . Kaedah ini dilakukan dengan taklik Imam Hanafi dan niat menghadiahkan pahala kepada si mati.

Kaedah ini perlu bilangan pelaku yang ramai dan memerlukan emas yang banyak bagi memudah dan mempercepatkan perjalanan.Kaedah ini dijalankan dan dilaksanakan oleh mereka yang telah mendapat
baiah sahaja.

Jenis-jenis Emas yang digunakan dalam menjalankan kaedah ini iaitu :

1. Emas 999 ( Emas Tulin 99.9% atau Emas 10 ( 24K )
2. Emas 950 ( Emas Kelantan atau Emas 9 1/2 )
3. Emas 916 ( Emas Singapura ( 22K )
4. Emas 875
5. Emas 835 ( Emas Paun )
6. Emas 750 ( 18K )
7. Emas 585 ( 14K)
8. Emas 375
9. Dinar Emas