Monday

RAHSIA HURUF MUQATTAAT Bhgn 1




7. Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, Berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berakal. ( QS Ali Imran : 7 )

Firman Allah :


" Alif, Laam, Raa'. ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan Bahasa Arab,supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." Surah Yusuf ayat 2 ( 12:1-2 )


Hadrat Hujjatul Islam Shah Waliyullah al-Dahlavi rh di dalam Kitabnya Al-Fauzul Kabir menerangkan bahawa tiap-tiap orang yang membaca Al-Quran akan bertemu dengan 2 jenis ayat yang dipanggil Ayat Muhkamat dan Ayat Mutasyabihat. Daripada ayat-ayat di atas jelaslah bahawa Allah dengan hikmahNya Yang Maha Tinggi telah menurunkan 2 jenis ayat di dalam Al-Quran untuk memberi pengajaran kepada manusia :

1.Undang-undang dasar millah hanifiah ( Muhkamat )

2.Falsafah Islam yang meliputi segala pengajaran dan dasar yang telah diwahyukan Allah kepada Nabi Muhamad S.A.W dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu,yang mencantumkan kesemua maksud-maksud yang terkandung di dalam kitab-kitab Allah itu dengan hakikat kebenaran yang sama.Dengan sebab itu,Ayat Mutasyabihat ini umum ertinya,iaitu tidak berupa khusus.

Dari 2 jenis ayat inilah manusia dapat menentukan dasar dan dan dapat menjalankan pentadbiran khilafah Allah.

Di antara Ayat-ayat Mutasyabihat itu termasuklah juga Huruf-huruf Muqatha'ah ( Huruf Ringkas) yang digunakan dalam Al-Quran bagi pembukaan surah-surah. Di dalam Al-Quran telah dimulai dengan Huruf-huruf Muqatha'ah pada pembukaan 29 surah kesemuanya.

Ada 5 jenis Huruf Ringkas atau dipanggil Huruf Potong yang terdapat didalam Al-Quran iaitu :

1. Huruf Sod : permulaan Surah Sod (38:1)

Huruf Nun : permulaan Surah Al-Qalam.(68:1)

Huruf Khaf : permulaan Surah Khaf (50:1)

2. Huruf Tho Ha : permulaan Surah Tho Ha (20:1)

Huruf Tho Sin : permulaan Surah Namlu (27:1)

Huruf Ya Sin : permulaan Surah Yasin (36:1)

Huruf Ha Mim :
a. permulaan Surah Ghafir/al-Mu'min (40:1)
b. permulaan Surah Fussilat (41:1)
c. permulaan Surah Al-Syu'ara (42:1)
d. permulaan Surah Al-Zukhruf (43:1)
e. permulaan Surah Ad-Dukhan (44:1)
f. permulaan Surah Al-Jathiyah (45:1)
g. permulaan Surah Al-Ahqaf (46:1)

3. Huruf Alif Lam Mim :
a. permulaan Surah Al-Baqarah (2:1)
b. permulaan Surah Ali Imran (3:1)
c. permulaan Surah Angkabut (29:1)
d. permulaan Surah Al-Rum (30:1)
e. permulaan Surah Luqman (31:1)
f. permulaan Surah As-Sajdah (32:1)

Huruf Alif Lam Ro :
a. permulaan Surah Yunus (10:1)
b. permulaan Surah Hud (11:1)
c. permulaan Surah Yusuf (12:1)
d. permulaan Surah Ibrahim (14:1)
e. permulaan Surah Al-Hijr (15:1)

Huruf Tho Sin Mim :
permulaan Surah Syu’ara (26:1)

4. Huruf Alif Lam Mim Sod :
permulaan Surah Al-A’raf (7:1)

Huruf Alif Lam Mim Ro :
permulaan Surah Ar-Roddu (13:1)

5. Huruf Khaf Ha Ya ‘Ain Sod :
permulaan Surah Maryam (19:1)

Ayat yang menjadi kesamaran kepada ulama’-ulama’ dalam penafsiran huruf rahsia ini ialah :

Ertinya “Dan pada hal tidak ada orang yang mengetahui takwilannya yang sebenar selain dari Allah dan ulama’ "yang mendalam dalam ilmunya”

Ada sesetengah orang yang membaca ayat di atas ini dengan berhenti atau waqaf pada Ha Allah.
Mengikut bacaan ini, huruf wau pada (wa rashikuna) itu, menjadi wau istiknaf ( permulaan jumlah yang lain ) maka berertilah Ayat-ayat Mutasyabihat itu tidak ada siapa pun, termasuklah Jibrail yang membawa wahyu kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang menerima wahyu boleh memahami ertinya kecuali Allah Ta’ala jua.Ada pun ulama’ al-rashikun, mereka hanya menerima dan beriman sahaja kepada kehendak Allah dengan taklid, meski pun mereka tidak ketahui apa-apa maksudnya sekali pun.

RASHIKUN FIL ILMI : Orang yang mendalam ilmunya.Menurut Abu Bakar Al-Washiti dalam Kitab Al-Luma’ ; orang yang keilmuannya kuat dan mendalam adalah mereka yang tertancap kuat jiwanya dalam hal yang ghaib.


Ulama’ Mufassirin yang memahami seumpama ini ialah dari golongan yang mementingkan qawa’id nahu dan tertib balaghah bahasa sahaja.Mereka tidak mengambil pedoman tafsiran mereka kepada zuk Quraish dan tafsiran yang dinaqalkan daripada al-immah Mufassirin pada zaman sahabat Nabi S.A.W seperti Sayidina Abdullah ibn Abbas menerusi riwayat yang sahih sebagaimana yang dicatit oleh Imam Bukhari dalam jame’nya daripada riwayat Mujahid dan lain-lain.

Murid Sayidina Abdullah ibn Abbas dengan sebab mereka kurang menghalusi dan cermat di dalam memahami selok belok tafsiran itu,mereka telah menyeleweng daripada maksud yang sebenar.Hasil dari kelemahan itu,mereka telah simpulkan bahawa Ayat-ayat Mutasyabihat termasuk Huruf-huruf Potong atau Huruf Ringkas itu ; “Wallahu a‘lam bi muroddih “.

Hadrat Imam Fakhruddin Al-Razi r.h di dalam tafsirnya telah menyangkal pendapat-pendapat ulama’ yang menyeleweng ini.Katanya,” Maka oleh sebab yang demikian, jikalau datang sesuatu ( dalam Al-Quran ) yang tidak ada jalan untuk mengetahui dengannya, nescaya tutur kata itu berlaku seperti tutur kata orang Arab dengan Bahasa Zinji manakala hal yang demikian tidak harus berlaku di dalam Al-Quran. Tujuan dari perkataan itu adalah untuk memberi faham, maka sekiranya perkataan dalam Al-Quran itu tidak boleh difaham nescaya tutur kata yang terkandung di dalamnya adalah sia-sia dan safih atau kurang bijak“

Allah Ta’ala telah menyuruh menghayati ( tadabbur ) kepada Al-Quran.Sekiranya Al-Quran itu sebuah Kitab yang tidak difaham,maka bagaimanakah Allah perintahkan supaya tadabbur kepada isi kandungannya ?.
Firman Allah, “ Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dari Tuhan Seru Sekalian Alam, menurunkannya oleh Ruhu Al-Amin ( Jibrail ) ke dalam hati engkau (Wahai Muhammad ) supaya engkau menjadi seorang munzir ( orang yang memberi peringatan ) kaumnya dengan bahasa Arab yang terang dan nyata “

Sekiranya Al-Quran itu sebuah kitab yang tidak boleh difaham, maka Nabi Muhammad S.A.W dengan sendirinya terbatal dan gugur daripada jawatannya sebagai munzir. Maka mustahillah boleh berlaku perintah-perintah ini jikalau di dalam Al-Quran itu bercampur aduk perkataan yang boleh difaham dan yang tidak boleh difaham.

( Rujuk juga Kitab Ibn Taimiyah : Al-Akil fi Al-Mutashabih wa ta’wil )

Menurut Imam Shah Waliyullah Al-Dahlavi r.h , dalam memahami maksud ayat Mutasyabihat ini, perlulah seseorang itu berpengetahuan di dalam 3 peringkat iaitu :
1.Ilmu Naqal
2.Ilmu Aqal
3.Ilmu Kasyaf.

Jika seseorang itu lemah mana-mana satu dari yang 3 itu, maka ia tercacat dalam usaha mengenalkan 3 perkara penting iaitu :

1.Syariat
2.Haqikat
3.Makrifat.

Firman Allah,
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan- keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”
An-Nahl ayat 44 (16:44)

Al-Quran itu diturunkan untuk kamu mendapat fahaman.Jika ia tidak difahami maka ia bertentangan akan kehendak Allah sendiri Malah jikalau Rasulullah S.A.W tidak dapat faham maksud Huruf Potong ( Huruf Ringkas ) tersebut; bagaimana Baginda S.A.W boleh berdakwah kerana ada terdapat kelemahan-kelemahan lain pada Baginda S.A.W itu !

Ajaran Nabi Muhammad S.A.W mengenai Al-Quran itu terbahagi kepada dua (2) iaitu :

1. Syariat – membicarakan tentang halal,haram,makruh,wajib, sunat dan sebagainya.

2.Hakikat – membicarakan mengenai rahsia Ihsan (Ketuhanan), roh,ubudiyyah dan taqarrub. Bab ini tidak dapat difahami oleh semua ulama’ kecuali ulama’ yang muhaqqiqi’ sahaja.

Oleh sebab itu tidaklah harus berpegang pada sesorang saja dalam mentafsirkan Al-Quran kecuali mereka yang berpengetahuan.

Shah Waliyullah Al-Dahlawi r.h (1114-1176 H) seorang mujaddid dan Guru Tareqat telah menerangkan
bagaimana pegangan tafsir yang dijadikan asas iaitu Kitabul Tafseer Imam Bukhari dengan Riwayat yang sahih dari Abdullah Ibn Abbas r.a dan ulama’-ulama’ yang terpilih.

Mereka telah sependapat bahawa rahsia Huruf Potong (Huruf Ringkas) ini dapat difahami malah tiada satu huruf pun dalam Al-Quran yang tidak dapat difahami oleh makhluk kerana Allah menurunkan Al-Quran mengikut apa yang difahami oleh hambaNya.

Ramai ulama’ tersilap dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat kerana mereka menganggap bahawa ayat-ayat mutasyabihat ini tidak dapat difahami selain daripada Allah.Pada hal di dalam ayat ini telah diterangkan bahawa ia hanya dapat difahami oleh Allah dan ulama’ rashikun phil ilmi yang memahaminya.

Firman Allah,
”Sebenarnya Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu “
Al-Ankabut ayat 49 (29:49)

Nabi Muhammad,para sahabat dan ulama’ kemudian daripadanya seperti Imam Bukhari itu tidak syak lagi mereka itu dari golongan rashikun phil ilmin yang boleh memahami rahsia huruf muqatha'ah (huruf ringkas) di dalam Al-Quran itu.

Maulana Ubaidillah As-Sindhi (1872-1944 H) berkata,bermula huruf-huruf yang digunakan dalam Al-Quran itu ialah bilangan yang diketahui di kalangan umat Yahudi dan Bangsa Arab pada
masa itu dengan kiraan abjad.

(bersambung Bahagian II)

Qasidah Istiqfar

Istiqfar Al Imam Abdullah Alawi Al Haddad












Lyric Qasidah Nasheed As Subhu Bada