Tuesday

Pengertian Syuhud di dalam Ma'rifatullah

Makrifah itu adalah keadaan dimana Allah itu dekat dan hati sanubari melihat Zat Allah yang 
“Laisa kamislihi syai’un ”. Pintu masuknya adalah melalui fana’.

Saidina Ali bin Abi Tholib dalam syairnya berkata :“ Ku lihat Tuhanku dengan mata hatiku; 
dan aku pun berkata...tidak syak lagi yang Engkau itu ; adalah Engkau Tuhan “.

Sabda Rasulullah S.A.W :
“ Ilmu itu ada dua, ilmu yang ada dalam hati iaitulah ilmu yang memberi manafaat dan
ilmu yang ada pada lidah iaitu lah menjadi hujjah keterangan Allah atas anak Adam “

Sabda Baginda lagi :
“ Bermula ilmu batin yakni ilmu hakikat dan makrifah itu ialah suatu rahsia daripada beberapa 
rahsia Allah Taala dan satu hukum daripada beberapa hukum Allah.Allah Ta’ala mencampakkan 
( mengurniakan ) ilmu batin itu di dalam hati sesiapa yang dikehendakiNya daripada hambaNya “

Hati yang telah melihat ajaib alam malakut tandanya hati itu telah hidup sepertimana
Sabda Rasulullah :“ Manusia itu tidur, maka apabila mati mereka itu barulah mereka itu terjaga “

Adapun yang dimaksudkan tidur dalam hadis ini ialah tidur hati, iaitu hati itu tertutup oleh
awan aghyar atau hati itu diselimuti oleh hawa nafsu dan syaitan.Maknanya hati itu telah buta,
telah hitam,ditutup oleh macam-macam dosa.

Apa yang dimaksudkan mati dalam hadis ini ialah mati nafsu.Kalau nafsu yang jahat sudah mati
dan sudah hilang ia, maka hati itu bangun atau hidup dan dapat pula melihat kealam malakut 
kerana dinding penghalangnya sudah tidak ada lagi.

Kuliah Tuan Guru ada menyebut,
” Manusia Tak kenal Allah sekiranya tak lahir dua kali” 
  Tuan Guru Hj Jahid Al-Khalidi  4  November 2007.

 Kalau hati telah dapat melihat kepada Allah dengan penglihatan iman dan yaqin; sudah tentulah
seseorang itu tidak ragu-ragu lagi selama hidupnya untuk mempercayai Allah Taa’ala tanpa
berkehendakkan dalil dan burhan kerana mereka yang berkehendakkan dalil dan burhan itu adalah
orang-orang yang masih buta hatinya.Ibarat orang buta berjalan,tentulah berkehendakkan tongkat
dengan pimpinan orang yang celik sedangkan orang yang celik tidak berkehendakkan kepada
tongkat dan pimpinan.

Jika hati telah dapat melihat ke alam malakut atau melihat Zat Allah yang “Laisa Kamislihi syai’un”
ketika dalam makrifatullah; penglihatan hati itu tidak dapat didustakan.

Firman Allah :
“ Hati tidak mendustakan apa yang dilihatnya” Surah Al-Najm ayat 11

Tetapi kebanyakan manusia ( orang awam ) ragu-ragu dan syak akan perkara itu.
Firman Allah :“ Ingatlah bahawa sesungguhnya mereka adalah di dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka.Ingatlah, bahawasanya Allah Maha Meliputi ( Ilmu dan kuasaNya) segala sesuatu ” Surah Fussilat ayat 54.

Maka maknanya melihat di sini ialah melihat kepada Allah Ta’ala dengan penglihatan iman dan yaqin. Syaratnya dua perkara iaitu takut kepada Allah dan berkekalan zikrullah,InsyaAllah.

Firman Allah dalam Hadis Qudsi :
“ Aku sediakan bagi hambaKu yang soleh-soleh itu akan barang yang tiada pernah dilihat oleh mata dan tiada pernah didengar oleh telinga dan tiada pernah terlintas dalam hati manusia “

Tetapi tidak dapat semua perkara diceritakan kerana menjaga adab dan rahsia Allah Ta’ala.



Teori syuhud dalam alam makrifah itu adalah sama tetapi tidak lah serupa tetapi ia
merupakan satu pengalaman,satu perjalanan yang perlu dilalui.Perjalanan dan pengalaman ini
tidak akan sampai pada matlamatnya kalau ia tidak dipimpin.Bukannya tidak ada yang mencapainya tanpa pimpinan tetapi kadang-kadang;jarang-jarang saja.

Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W mikraj ke langit hendak bertemu Robbil ‘Alamin, Baginda berwasilah kepada Malaikat Jibrail a.s.Maka setelah sampai Nabi Muhammad ke Sidratul Muntaha, Malaikat Jibrail meninggalkannya di situ kerana Baginda S.A.W hendak masuk ke lautan Makrifatullah,musyahadah akan Allah yang bersifat “Laisa kamishlihi syai’un “.

“ Tuntutlah olehmu kepadaNya akan wasilah ‘ Surah Maidah ayat  35

Kalau Nabi S.A.W berwasilah dengan Malaikat Jibrail sewaktu Mikraj, apa salahnya jika kita berwasilah pada Guru atau pengajaran guru di waktu kita beribadat kepada Allah S.W.T.

Matlamat ke alam makrifah itu mudah;dekat dan tidak jauh untuk dicapai tetapi ianya memerlukan kesungguhan hati,himah dan kekuatan rasa kehambaan pada diri seseorang itu.Untuk sampai ke tahap atau maqam itu kenalah mulakan dengan kebersihan hati dari dosa zahir dan dosa batin dan berkekalan berzikrullah.

Kaedah untuk berkekalan berzikrullah juga adalah dengan istiqamah beramal atas apa yang dibaiahkan oleh guru dari amalan Rasulullah S.A.W. Istiqamah ini hanya dapat berlaku apabila seseorang itu jauh dari gangguan suasana persekitaran. Maka dengan sebab itu bagi mempercepatkan proses ke alam makrifatullah,si salik itu perlu menjalani khalwah;barulah ia dapat menumpukan kepada zikrullah ,dibuat secara terusan dan istiqamah.Nanti mudah ia melalui jalan fana' untuk menuju ke alam makrifah.
 
Dalam Hadis Qudsi,Allah Ta’ala menyebut :
“ Ana jalisu man zakaroni ” Maksudnya “Aku seolah-olah duduk dengan orang-orang yang menyebutKu ‘

Firman Allah dalam Hadis Qudsi :
" Wahai hambaKu ! Aku adalah di sisi sangkaan engkau dan Aku berserta engkau apabila engkau ingat kepadaKu “.

Apabila berlakunya perkara ini,maka terpandanglah hati sanubari itu kepadaNya di alam makrifah itu.Makrifah itu berkuasa pada hati.Ingatlah Aku (Allah) dalam lupa kamu.

No comments: