Sunday

Perkara yang merosakkan KEROHANIAN

1. Terasa Ada Amalan


Maksudnya seseorang itu merasakan bahawa dirinya itu telah
banyak berbuat amal soleh; banyak sembahyang, puasa, zikir,
banyak sedekah dan sebagainya lagi. Jika ada rasa demikian maka
rosaklah perjalanan keruhaniannya. Rasa yang demikian itu
bukan sahaja akan menimbulkan sifat riak, ujub dan sebagainya
tetapi ianya boleh menyebabkan syirik atau menyegutukan Allah.
Oleh kerana itu seseorang salik itu dikehendaki merasa-rasakan
secara bersungguh-sungguh bahawa segala amalnya yang soleh itu
adalah kurnia Allah semata-mata, hal Allah semata-mata, dari
Allah semata-mata.


Setelah rasa begitu dapat dihayati sebenar-benarnya , maka
InsyaAllah ia akan dikurniakan oleh Allah Tauhid Af’al atau tauhid
pada perbuatan Allah, di mana seorang itu pada peringkat
tersebut dapat melihat keesaan perbuatan Allah semata-mata
akan tercapailah ketiga-tiga syarat bagi penerimaan amal iaitu
ikhlas, fana’ (amalan diri dalam perbuatan Allah) dan benar-benar
berasa bahawa tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah semata
-mata.Kesimpulannya: Bila terasa ada amal maka Tauhid Af’al
tidak akan tercapai.


2. Panjang Angan-angan Nafsu Keduniaannya


Khalifah Ali ( r.a ) pernah menyebutkan bahawa panjang angan-
angan nafsu keduniaan itu adalah punca segala kesalahan atau
dosa. Orang yang panjang angan-angan nafsu keduniaannya itu
sentiasa lena dihayun oleh berbagai jenis angan-angannya itu.
Pada setiap saat hatinya berkata-kata: “Aku akan buat ini, buat itu.
Kalau aku buat ini akan jadi begini dan kalau aku buat yang
lain akan jadi begitu…”

Tegasnya ia akan dilamun oleh berbagai fikiran dan rancangannya
sendiri yang tidak akan ada titik perhentiannya sama sekali.
Hal demikian adalah mengambarkan bahawa orang tersebut
jahil terhadap Tauhid, sebab orang yang jahil Tauhid itu menurut
Ibn Ata’illah hatinya sentiasa berkata: “Apakah yang akan aku buat”.


Orang yang benar Tauhidnya pula menurut beliau, hatinya sentiasa
berkata:”Apakah yang Allah akan buat terhadap dirinya itu”.
Di samping itu orang yang panjang angan-angan keduniaan itu
hatinya akan menjadi gelap disebabkan berbagai gambaran
kebendaan sentiasa memenuhi ruang di hatinya sehingga Allah
tidak akan mendapat ruang di hati lagi, pada hal hati itu untuk
Allah. Nabi bersabda, ertinya:”Hati itu rumah Allah”Maksudnya
hati itulah tempat yang dipilih dan dibersihkan oleh Allah dan
dimuliakan sebagai jalan perhubungan antara Allah dengan
hambaNya. Oleh itu hati itu tidak boleh dimasuki sesuatu yang
lain dari Allah.


Samalah keadaan hati itu seperti Kaabah, kerana Kaabah itu
adalah dikatakan sebagai Rumah Allah. Kalau Kaabah itu mesti

bersih dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kesuciannya,
maka begitu jugalah dengan hati, ia mesti bersih dari sesuatu
yang mengotori ruang hati serta mengelapkannya.


Dari angan-angan keduniaan itu maka akan timbullah berbagai
sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, gemar kemasyhuran dan
sebagainya. Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada angan-
angan keduniaan itu ialah angan-angan seorang itu mengenai akhirat,
tetapi cita-cita dan angan-angan itu telah dikotori oleh berbagai
kehendak nafsunya.

Ramai orang terjerat di dalam perangkap ini tidak dapat menyedari
dirinya itu sendiri. Misalnya, seorang itu membanyakkan usahanya
berzikir siang dan malam, tetapi hati kecilnya terlintas bahawa
dengan berbuat demikan maka ia akan cepat menjadi wali atau
menjadi seorang Syeikh atau lekas fana’ dan sebagainya.
Sepatutnya ia bercita-cita supaya dapat ma’rifatullah dan
keredhaanNya.

Demikian juga seorang salik yang berhenti dari kerja mencari
rezeki atau berhenti dari belajar Ilmu Islam kerana didorong
supaya cepat naik maqam atau cepat mencapai matlamat
perjalanannya; kononnya jika ia menumpukan zikir dan beramal
ibadat sahaja maka cepatlah sampai kepada matlamat yang dituju.
Sebenarnya hal demikian itu masih dipenuhi nafsu keduniaan
yang pada zahirnya macam cita-cita akhirat.


3. Hati berkata atau terlintas bahawa dirinya telah mencapai
taraf wali atau mencapai sifat-sifat kewalian


Sifat demikian adalah berlawanan dengan kehendak Allah,
kerana Allah melarang seseorang itu dari perbuatan mengaku diri
sendiri itu suci dan bersih. Allah berfirman, maksudnya :“Maka
janganlah kamu mengaku bahawa diri kamu itu suci. Dialah (Allah)
yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa”.


Nabi bersabda yang bermaksud: “ Tanda kecelakaan (masuk neraka)
itu empat perkara :


(Pertama), lupakan dosa-dosa yang dilakukan, pada hal dosa-dosa itu
masih utuh di sisi Allah.
(Kedua), ingatkan berbagai kebaikan yang dilakukan, pada hal ia tidak
tahu samada kebaikan itu diterima atau ditolak oleh Allah.
(Ketiga), memandang orang yang di atas mengenai hal keduniaan.
(Keempat), memandang orang yang di bawah (lebih rendah) mengenai
hal-hal ugama.


maka Allah berfirman (kepada orang ini):
" Aku mahukan orang ini, tetapi ia tidak mahukan Aku, maka Aku
pun tinggalkan sahaja”


Sebenarnya, bila seseorang itu tinggi darjatnya di sisi Allah, maka ia
akan terasa rendah; bila ruhaninya bersih, maka ia terasa kotor dan
banyak dosa; bila telah menjadi wali, maka terasa dirinya masih jauh
dari kecintaan Allah. Sebaliknya, orang yang masih bergelumang
dengan dosa itu biasanya merasakan dirinya sudah bersih, sudah
menjadi wali Allah. Oleh yang demikian seseorang itu yang terasa
telah menjadi wali itu telah tersimpang jauh dari arah perjalanannya
yang sebenar. Ia tidak akan sampai ke matlamat yang dituju dan ia
tetap jatuh tersungkur yang sukar untuk bangun semula.


4. Suka dan senang hati bila dikerumuni oleh orang ramai.


Bila ramai orang berada di sekelilingnya, kerana menyokong dan
menyukainya maka ia berasa seronok, suka dan senang hati.

Sebaliknya, bila orang ramai menjauhkan diri daripadanya maka
ia berasa susah hati. Sifat demikian boleh merosakkan keruhanian
seseorang salik, kerana pada hakikatnya ia masih memandang
makhluk dan tidak memandang Allah. Di samping itu, sifat demikian
itu menunjukkan bahawa ia masih sukakan kemasyhuran, kemuliaan,
keagungan dan sifat-sifat lain yang seumpamanya.


Semua sifat tersebut adalah pakaian Allah bukan pakaian makhluk
atau manusia. Ibrahim bin Adham berkata:”Seseorang yang tidak
meninggalkan kemuliaan kepada kehinaan, ia tidak akan sampai ke
darjat orang yang solihin”. Seorang murid Syeikh Abu Yazid Al-
Bustami pernah mengadu kepadanya bahawa ia telah beramal di
bawah pimpinan Syeikh Abu Yazid selama 30 tahun, tetapi ia terasa
tidak mendapat apa-apa perubahan, masih tetap di tahap dahulu juga,
maka apakah yang menyebabkan jadi begitu? Syeikh Abu Yazid Al-
Bustami menjelaskan bahawa jika muridnya itu beramal selama 1,000
tahun lagi pun, tetap tidak akan berubah keadaan dirinya itu, kecuali ia
membuang semua sifat berasa mulia dan tinggi di mata masyarakat itu.


Seorang itu dikehendaki menjadi hamba Allah, bukan hamba manusia.
Bila seseorang itu suka kepada manusia, maka ia jadi hamba manusia,
bukan hamba Allah. Seorang hamba Allah hanya sibuk dengan Allah,
senang dengan Allah, cinta hanya terhadap Allah, harapannya hanya
pada Allah dan tidak kepada yang lain.


5. Berasa puas hati dengan berbagai bayangan mimpi Sifat hati yang
sangat tertarik dengan mimpi-mimpi yang dialami adalah
membahayakan keruhanian seseorang itu.


Sifat tersebut akan mendorongkannya untuk berpegang terhadap
berbagai tafsiran mimpi yang dialaminya itu. Lama kelamaan ia akan
disesatkan oleh syaitan menerusi tafsiran-tafsiran mimpi itu sendiri,
tanpa dapat menyedari kesalahan dirinya itu sampai bila-bila. Malahan
setiap ia beramal, maka ia mengharapkan untuk mendapat mimpi yang
baik-baik atau yang ia anggap dapat menguntungkan dirinya.


Bagaimana akibatnya nanti bila dia itu bermimpi bahawa si pulan itu
berzina, si pulan bin pulan itu mesti dibunuh dan sebagainya lagi?
Tentu akan menimbulkan fitnah besar di dalam masyarakat. Ternyata
orang yang berpegang terhadap mimpi itu telah hanyut dari tujuan
perjalanannya yang dirumuskan dalam doa munajatnya sendiri.


6. Berasa jinak, seronok terhadap wirid atau zikir yang dilakukan


Sifat ini juga dilarang, kerana ianya boleh melalaikan seseorang itu
dari mengingati Allah yang sebenar. Apa yang disuruh oleh Allah
ketika berzikir atau berwirid itu ialah mengingati Allah, seronok
dan senang hati terhadap Allah, bukan terhadap wirid dan zikir
yang dibaca itu. Jika seronok dan senang hati dengan wirid dan
zikir yang dibacakan itu, maka samalah juga ia seronok mendengar
lagu atau nyanyian dari penyanyi.


Sifat tersebut akan menjadi hijab, kerana seseorang akan terhenti
di tahap wirid dan zikirnya itu sahaja, sedang perjalanannya yang
sebenar masih jauh lagi.


Bagaimana jika seseorang itu mendapat mimpi ? Jika mimpi itu
baik maka hendaklah ia bersyukur dan jika sebaliknya maka
hendaklah ia berlindung dengan Allah, jalan terus, jangan
dihiraukan sangat mimpi itu.


7. Berasa lazat dan puas hati terhadap natijah-natijah zikir Al-
Waridat bererti berbagai hal yang bersifat dzauqiyah yang Allah
kurniakan di dalam ruang hati atau ruh orang yang berzikir.


Demikian juga berbagai pemandangan ruh atau mata hati terhadap
rahsia-rahsia perjalanan menuju Allah itu adalah juga termasuk di
dalam makna al-waridat itu.


Di kalangan ahli Tariqat di Malaysia ini, al-waridat itu di istilahkan
sebagai natijah-natijah zikir. Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan
orang yang berasa seronok dan lazat dengan al-waridat itu seperti
anak-anak kecil yang menanggis, lalu diberikan gula-gula atau anak
-anak patung, maka iapun merasa seronok lalu diam dan berhenti
dari menanggis, kerana ia puas hati dengan gula-gula atau anak-anak
patung itu.


Al-Imam Al-Ghazali juga mengambarkan bahawa perjalanan ruhani
seseorang menuju Allah itu dapat disamakan dengan perjalanan
seseorang menemui raja yang bersemayam di atas singgahsana di
dalam istananya; bila seseorang yang mahu menemuinya maka keluar
dari rumahnya untuk menemui raja itu, sudah tentu akan mengambil
masa yang lama disebabkan perjalanannya yang jauh itu; dalam
perjalanannya itu tentu ada kampung, kebun, ladang, dan berbagai
pemandangan lagi; bila sampai di kawasan istana pula tentulah
pemandangan lebih menarik dan indah. Jika seseorang salik itu
tertarik dengan pemandangan-pemandangan itu semua dan berasa
seronok, sudah tentulah ia akan terlupa tujuan asal untuk menemui
raja itu.


Apa yang paling membahayakan ialah seseorang itu berasa telah
sampai kepada raja yang dituju, pada hal ia masih jauh lagi dari
istana atau mungkin juga ia masih berlegar-legar di halaman
istana. Oleh yang demikian, maka sifat berasa lazat, seronok
dengan al-waridat itu menjadi hijab hati atau ruhani yang
merosakkan perjalanannya. Lebih hebat lagi bila seseorang itu
telah dihantui dan dicandui oleh perasaan seronok dan lazat
dengan al-waridat tersebut.


Di tahap tersebut, orang tersebut akan dihanyutkan oleh al-
waridat itu sendiri, sehingga bila satu masa nanti al-waridat
terasa tidak ada maka hati kecilnya mula berperangsangka
buruk terhadap Allah, dirinya sendiri, terhadap gurunya dan
para sahabatnya.


Bagaimana mahu menerima al-waridat itu ? Terimalah dengan
bersyukur kepada Allah, jika ianya tidak berlawanan dengan Al-
Quran dan sunnah Nabi dan jika tidak berlawanan dengan kata-
kata ulama yang arif billah. Tetapi janganlah dihiraukan sangat al-
waridat tersebut. Jika al-waridat tersebut berlawanan dengan Al-
Quran dan Sunnah Nabi atau pandangan ulama arif billah, maka
hendaklah ianya kita sisihkan sahaja, jangan pandang langsung.


Di sinilah letaknya bahawa seseorang itu mesti terus menimba
ilmu, tauhid, feqah dan tasauf, kerana tanpa ilmu sukar untuk
menentukan al-waridat itu hak atau batil.Seorang yang tidak mahu
mengerjakan sembahyang, tidak mahu menceburkan diri dalam
masyarakat atau sebagainya, pada hal gurunya tidak ada
mengajarkan demikian adalah berpunca dari kesilapannya sendiri
iaitu terlalu berpegang terhadap al-waridat, walaupun ia jahil
mengenai Al-Quran, Sunnah Nabi dan pandangan para ulama
yang sebenarnya.


8. Diam, negatif tidak positif terhadap janji-janji baik Allah
Allah menyuruh hamba-hambaNya untuk berbuat baik, malahan
Allah menyuruh supaya para hambaNya itu berlumba-lumba untuk
berbuat berbagai kebaikan.
Allah berfirman, maksudnya:
“Hendaklah kamu berlumba-lumba untuk membuat berbagai
kebaikan”. Al-Anbia 90
Kebaikan yang Allah perintahkan untuk dilakukan selain daripada
perkara-perkara yang difardhukan adalah terlalu banyak. Oleh itu
seseorang itu, setelah menunaikan yang difardhukan, maka
hendaklah ia aktif, cergas dan bersegera berbuat kebaikan itu.

Ingatlah bahawa orang yang berhenti (waqif) itu adalah orang
yang masih mula berjalan, seorang salik pula adalah berjalan terus
(sair) sedang seorang yang telah sampai kepada hakikat (wasil)
pula adalah sentiasa terbang, bukan hanya ruhaniyahnya tetapi
juga aspek zahirnya.

Contoh kita ialah Nabi Muhammad S.A.W. Tidaklah Baginda itu
sentiasa aktif, cergas dalam hidupnya untuk berbuat kebaikan
yang sebaik-baiknya. Sebab itulah Allah menyatakan bahawa
hamba - hamba Allah yang sebenarnya itu ialah mereka yang
mendengar ajaran Allah lalu melakukan yang terbaik sekali.

Maksudnya: “Hamba-hamba Allah yang sebenar itu ialah mereka
yang mendengar ajaran Allah lalu diikuti (dibuat) yang lebih dalam
lagi dalam perkara-perkara yang membantu menyempurnakan
amalan salik”.

9. Berpada dengan berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja

Perjalanan ruhaniyah adalah amat sulit dan banyak liku-likunya
yang mudah menyesatkan, lebih sulit dan lebih bahaya lagi jika
dibandingkan dengan perjalanan di dalam hutan dara yang terlalu
tebal. Oleh itu ia perlukan ilmu yang tepat dan benar sebagaimana
yang ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi serta yang terdapat
di dalam kitab-kitab yang mu’tabat.

Jika seseorang hanya berpandu kepada sangkaan-sangkaannya
sahaja, sudah tentulah ia akan sesat. Dari sudut yang lain pula
dapat kita gambarkan bahawa jalan keruhanian itu seperti sebuah
cermin yang bersih, tetapi ada garis pembahagi sebelah kiri dan
kanan; sebelah kiri adalah iblis dan kesesatan sedang sebelah kanan
adalah yang hak atau yang benar yang dikehendaki oleh Allah.
Tetapi garis pembahagi di cermin yang memisahkan kiri dan
kanan itu tidak nampak dan terlalu sukar untuk dilihat sehingga
orang yang berjalan di atasnya telah jauh terseleweng ke kiri,
tetapi ia masih yakin berada di sebelah kanan (Ia telah sesat,
tetapi ia merasakan masih berada di dalam kebenaran).

Hanya bila kita berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah serta
pandangan ulama yang arif billah sahajalah yang dapat
menyedarkan diri samada kita telah sesat atau berada di dalam
kebenaran Allah.Kebanyakan kesesatan dan tindakan serta
tingkah laku pengamal-pengamal ilmu tasauf yang menyalahi
syariat Islam adalah berpunca dari sangkaan-sangkaan mereka
sendiri seperti yang disebutkan itu.

10. Menipu Allah

Perbuatan menipu Allah ini banyak berlaku di kalangan orang-
orang yang jahil, terutamanya seseorang yang jahil murakkab
iaitu ia jahil dan tidak mahu belajar serta tidak mahu mendengar
kebenaran yang disampaikan kepadanya, malahan ia bersikap
bodoh sombong dengan sifat kejahilan dirinya itu.

Contoh - contoh perbuatan menipu Allah itu ialah seperti tidak
mahu sembahyang kononnya ia telah melakukan sembahyang
daim (hatinya terus sembahyang tanpa putus) , berjudi itu
rezeki yang Allah beri juga seperti sumber-sumber rezeki
lainnya, kerana hakikat rezeki itu datangnya dari Allah belaka;
berdoa itu syirik kerana bila berdoa bererti menuduh Allah
tidak tahu untuk mengurus diri para makhluknya, sembahyang
itu syirik kerana ada niat sengaja aku sembahayang, tidak
sembahyang dosa besar, dosa besar diampunkan, tetapi syirik
tidak diampunkan.

Oleh itu tidak buat sembahyang adalah lebih baik daripada
melakukannya. Kata-kata si jahil seperti itu adalah merupakan
kata-kata loyar buruk semata-mata. Mereka akan dimasukkan
ke neraka oleh Allah dengan cara yang amat menyakitkan
hatinya. Tegasnya Allah akan berloyar buruk terhadap mereka.
Misalnya, orang itu akan dimasukkan di dalam satu bekas dan
bekas itu dimasukkan ke neraka; bila mereka bertanya mengapa
mereka dimasukkan ke neraka, maka Allah menjawab bahawa
Allah tidak membakar mereka tetapi hanya mahu membakar
bekas itu sahaja ! Wallahu a'lam.

No comments: