Monday

Almarhum Ustaz Hj Mokhtar Yaakob


Allahyarham adalah orang kuat No.2 Al-Arqam pada suatu ketika dulu kemudian beliau diarahkan
meninggalkan Al-Arqam oleh Tuan Guru beliau, Syeikh Imam Ishak.

Saya sempat menimba ilmu dengan almarhum ketika beliau mengadakan kuliah bulanan setiap hari Sabtu
( kalau tak silap ) di Beserah,Kuantan sekitar tahun 1980/81.Ketika itu saya tinggal di asrama yang tidak beberapa jauh dari situ.Disamping mendengar kuliah, kami akan membeli barang-barang keluaran Al-Arqam seperti kicap dan membawanya pulang ke asrama.Kami masa tu dalam batch yang condong ke arah keagamaan dan bersedia menghapuskan aktiviti ragging oleh senior yang sudah menjadi adat tahun bertahun.

Kami ke sana dengan menyewa bas dan mengumpulkan duit tambang sesama sendiri setiap bulan.Malah di minggu yang lain pula,beberapa pelajar lelaki termasuk saya akan mengikuti program Jamaah Tabligh di sebuah markas berhampiran kawasan yang sama.

Saya masih menyimpan beberapa catatan ilmu yang saya catit ketika mendengar kuliah almarhum sebagai satu ilmu yang tidak pernah padam.Malahan,ketika cuti sekolah hujung tahun,saya dan beberapa orang kawan telah pergi mengikuti program Al-Arqam di Sg Penchala kalau tak silap selama seminggu.Masa tu,Ustaz Ashaari masih ada dan saya diletakkan dalam grup Laksamana Abdul Aziz.Saya masih ingat lagi ;cita-cita besar saya ingin menjadi tentera, amat berkobar-kobar.Tatkala saya mendengar kuliah dari Laksamana Abd Aziz; dia menceritakan kehidupan tentera yang banyak bergelumang dengan minuman keras; satu letupan nukliar bagai meletupkan hasrat dan cita-cita saya..Boooommm !! Habis..hilang lenyap..tengelam terus segala-galanya..tiada lagi terlintas..tiada lagi terdetik untuk memasuki alam ketenteraan..saya ingat ; itu jasa Laksamana pada saya.
Saya pernah jumpa beliau sekali selepas itu dalam tahun 2002 atau 2003 ( tak beberapa ingat ) di rumah beliau di Batu Pahat,pertemuan singkat sahaja diluar rumah kebetulan kami dibawa melalui jalan ke rumahnya..dimaklumkan dia juga mengajar tariqat.

Ketika di Sg Penchala juga,saya mencatit beberapa catatan dari kuliah Almarhum Ustaz Mokhtar.Saya akan berkongsi di sini sebagai arkib peribadi saya yang saya akan ulangbaca beberapa kali.

PETIKAN KULIAH ALMARHUM USTAZ HJ MOKHTAR.

Bagaimana nak tundukkan hati ? Kata Ustaz Mokhtar; Anggota manusia itu tentera hati;khadam hati;berbuat mengikut kehendak hati;terhenti berbuat sesuatu apabila hati tidak mahu.

Buang segala sampah kekotoran itu dengan Zikir Maut, zikir yang menjadi pendahuluan zikir yang dinamakan Rabitah Kubur.

Kata beliau ketika mengupas Kitab Tanwirul Qulub :

"Jangan kamu tinggalkan zikrullah ketika kamu tidak dapat hadir berserta Allah Taala".

"Mudah-mudahan Allah memberi kamu bahagia dengan taufik dan kemanisan dengan tasrif Tariqat Naqsyabandiah adalah semudah-mudah jalan dan sehampir-hampir pada pelajar untuk ke darjat tauhid".
                ( Petikan Muqaddimah dari salinan Kupasan Tanwirul Qulub – armarhum Ustaz Mokhtar )

"Sama sahaja limpahan Tariqat ini kepada orang-orang tua, kanak-kanak, orang hidup dan orang mati. Hendaklah kamu ambil dan hisap baunya yang harum itu, mudah-mudahan kamu berjaya menjadi salah seorang dari golongan mereka. Hingga kamu memperoleh permata yang berharga dan mencium bau jalan yang tidak pernah terlintas di hatimu dan boleh menghilangkan kesamaran dan keraguan di dalam hati. mereka itu adalah orang-orang yang suci dari kekerohan".

' Tidak boleh seseorang itu sampai kepada maqam yang tinggi ini dengan diri sendiri. Bahkan mesti ada pemandu yang sempurna yang telah sampai kepada maqam musyahadah dan tahkik dengan sifat Tuhan '

      (Kupasan Tanwirul Qulub – almarhum Ustaz Mokhtar )

Saya diberi kesempatan menziarahi maqam beliau ( dengan izin anakanda beliau ) setelah mengetahui beliau dikebumikan di Pekan..itu pun setelah beberapa lama baru tahu.Apa yang mengejut pabila melihat maqamnya buat pertama kali yang ditunjukkan oeh anakanda beliau; ia tidaklah seperti apa yang dibayangkan didalam kepala; kubur atau saya suka gunakan perkataan maqam bagi orang -orang 'alim itu hanya berdindingkan papan yang usang..tidak ada dapur atau binaan batu diatasnya (ketika itu) walau pun almarhum seorang yang dikenali ramai.Mungkin itu kehendak arwah ataupun mungkin itu kehendak keluarganya.Walau apapun; almarhum menampakkan kerendahan diri hingga akhir hayatnya...Al-Fatihah..

Subhanallah !

QS : Ad-Dukhan 56 : " Mereka tidak akan merasakan mati di sana kecuali mati di dunia.Dan Allah memelihara mereka dari azab neraka ".

Allah SWT telah tunjukkan kelebihan kepada mereka yang berzikir walaupun mereka telah kembali lebih awal daripada kita.Ia adalah sebaik-baik pengajaran bagi yang masih hidup; yakni JANGAN TINGGALKAN ZIKRULLAH !

Wallahu a'lam.




2 comments:

zz saujana said...

Terbaik...saya sangat kagum dengan Almarhum Ustaz Mokhtar Yaacob

Acit Acitbudi said...

InsyaAllah,semoga Almarhum ditempatkan bersama golongan mukmin dan mukhsin.