Thursday

ZIKRULLAH : Perjalanan menuju keredhaanNya

Firman Allah :
" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang menyampaikan diri kepadaNya " Al-Maidah ayat 35

Tariqat adalah jalan yang paling dekat dan yang paling senang bagi seseorang ( murid ) itu untuk sampai ke beberapa darjat tauhid sekali pun seseorang murid itu ada sifat-sifat kekurangan dan tidak cukup persediaan bagi menerima darjat itu.

Firman Allah :
" Kami tidak memikulkan kewajipan kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya ".
Al-A’raf ayat 42

Guru ( yakni Syeikh ) murid itulah yang akan memimpin usaha-usaha zikrullah dan mendapatkan jazbah.
( Jazbah dari segi bahasa bererti tarikan atau dorongan.Istilah dalam amalan tariqah pula bermaksud satu hal yang dirasakan oleh seorang murid atau salik ketika dibukakan hijab hatinya untuk mengenal Allah atau ketika dikurniakan sebahagian dari makrifatullah ).

Firman Allah : " dan berzikirlah dengan menyebut nama Allah sebagaimana yang ditunjukkannya kepada kamu "Al-Baqarah 198

Saidina Ali bertanya kepada Rasulullah S.A.W dengan katanya :
" Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku ( satu ) tareqat yang paling dekat ( untuk sampai ) kepada Allah ( hakikat dan makrifahNya ) dan yang paling mudah ( untuk diamalkan ) oleh para hamba Allah dan yang paling afdal di sisi Allah. "Saidina Ali bermaksud agar Rasulullah S.A.W mengajar satu tareqat yang paling dekat untuk sampai pada hakikat makrifah.

Rasulullah SA.W menjawab permintaan Saidina Ali itu dengan Sabdanya:
" Ya 'Ali ( jika engkau mahu satu tareqat seperti yang engkau maksudkan itu ) maka wajiblah di atas engkau sentiasa kekal berzikrullah secara sirr ( dalam hati tanpa suara ) dan secara jihar ( bersuara ) "

Dari pertanyaan Saidina 'Ali dan jawapan Rasulullah S.A.W tersebut, jelas sekali wujudnya istilah at-toriq dan konsepnya iaitu sentiasa berzikirullah samada secara sirr atau jihar.

Asas amalan tariqat yang ujud di kalangan umat Islam di seluruh dunia adalah sentiasa berzikrullah seperti itu.Bila Saidina 'Ali mendengar jawapan Rasulullah S.A.W itu,maka beliau seolah-olah kurang yakin.

Oleh sebab itu beliau segera berkata :" Orang ramai telah berzikrullah Ya Rasulullah , ( ajarkan aku ) sesuatu ( amalan ) secara khusus ".

Rasulullah S.A.W segera bersabda :" Perkara yang paling afdal yang aku ucapkan dan para Nabi sebelumku ialah LA ILA HA ILLALLAH.

Sekiranya semua langit dan bumi ini berada di sebelah dacing dan ( kalimah ) LA ILA HA ILLALLAH itu di sebelah dacing ( yang satu lagi ) nescaya LA ILA HA ILLALLAH itu lebih berat. Dan hari kiamat tidak berlaku sedang di atas muka bumi ini ada orang yang menyebut LA ILA HA ILLALLAH.

Saidina Ali menjadi begitu yakin lalu berkata :" Maka bagaimanakah ( caranya ) aku hendak berzikir ? "

Rasulullah S.A.W bersabda :" Maka hendaklah engkau pejamkan kedua-dua matamu dan dengarlah ( baik-baik ketika ) aku menyebut Kalimah LA ILA HA ILLALLAH sebanyak tiga ( 3 ) kali. Kemudian
engkau sebutlah LA ILA HA ILLALLAH tiga kali dan aku akan menyemaknya."

Kemudian Rasulullah S.A.W melakukan ( sebutan ) LA ILA HA ILLALLAH itu dengan menguatkan suara.( Hadis Musalsal ini diriwayatkan dari Saidina Ali, diriwayatkan oleh Al-Tibrani dan A-Bazzar dengan para sanadnya yang hasan ) . Haqaiq 'An al-Tasawwuf , H 84-85.

Zikrullah yang dibaiahkan atau ditalqinkan seperti inilah yang diistilahkan sebagai zikir darajat iaitu dipelajari secara tertentu,diamalkan dengan cara tertentu, dilengkapkan dengan pelbagai adab sebelum berzikir, sedang berzikir, sesudah berzikir dan sebagainya.Zikrullah yang tidak dibai'ahkan secara khusus
sepertimana pertanyaan Saidina Ali " orang ramai telah berzikrullah " itulah dinamakan zikir hasanat.Ia tidak terikat dengan adab dan peraturan tertentu.

Ini adalah salah satu contoh zikir yang dibaiahkan atau ditalqin kan secara khusus oleh Rasulullah.Zikir ini secara adabnya diambil baiah daripada Guru ( Syeikh ).Begitu juga dengan zikir-zikir khusus yang lain, yang tidak diajar secara umum ( kepada orang awam ).

Makrifah bukan boleh dicapai atas usaha manusia tetapi ia adalah anugerah Allah apabila hati seseorang itu hidup dan sedar (yakodho) melalui zikrullah.Meskipun begitu , niat dan keazaman mestilah ada dalam hati untuk mencapai makrifah itu.

Makrifah itu hendaklah dicari dan diusahakan cara ke arahnya.Bak kata,kita sering sebut untuk pergi ke suatu destinasi yang amat kita impikan ; kita bayangkan dan andai-andaikan keindahan
tempat-tempat tersebut.Itulah yang sering kita ulang dan sebut bertahun tahun lamanya namun kita tidak pernah membeli pun tiket untuk ke sana ! Begitu jugalah dengan perjalanan menuju Allah Azzawajalla ini; jika tidak membeli tiket ( istiqamah hati berzikrullah seperti yang diajarkan Rasulullah), maka sampai
mati pun kita tidak akan kenal Tuhan Sekalian Alam..sampai mati pun kita tak dapat menikmati hebatnyanya makrifatullah.

Dan bagaimanakah kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan diredhai.

Firman Allah :

" Wahai jiwa yang tenang ! Kembalilah kepada Tuhan mu dalam keadaan redha dan diredhai.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.Dan masuklah ke dalam syurgaKu ".
Surah Al-Fajr ayat 27-30

No comments: