Wednesday

As Subhu Bada Lyrics

-::acitbudi-tujohbintang::-


Nota :

Qasidah atau nasyid As Subhu Bada ini ada pelbagai versi dan ada pendapat yang 
mengatakan ia berasal dari syair Hassan Bin Tsabit r.a ; ada yang kata dari Jalaluddin
 Rumi malah ada yang kata dari Imam Bushiri.Dari mana asalnya pun tidak mengapa
 asalkan bait-bait syair atau liriknya atau ungkapan kata-katanya itu memberi kesan
 mahabbah yang mendalam kepada Junjungan Besar Saiyyidina Muhammad S.A.W.


Link Video

Link Qasidah Burdah

Link Qasidah Istiqfar

Link Nasheed Ana al-abd

Tuesday

Tidak terkalung mutiara dileher kambing


Menurut Ahli Sufi; Ilmu Tasawuf tidak patut dibicarakan melainkan oleh orang yang melafazkan
 wajd ( cinta mendalam terhadap Allah ) dan berkata apa yang dia amalkan.

Tariqat merupakan satu perjalanan dilaluan yang luas.Keluasannya sukar diukur dan diberikan sempadan sehingga ada yang mengharunginya tidak sampai ke destinasi tujuan.Kecuali mereka itu dipandu oleh orang yang sangat mahir dan pakar yang telahpun mempunyai pengalaman dan telahpun sampai ke destiknasi itu.
Samaada salik itu berjalan bersendirian atau berkumpulan menuju Allah SWT ia sangat-sangat memerlukan bimbingan orang yang telah terlebih dahulu menerima pimpinan dari seorang Guru zahir dan batin secara sempurna.


Monday

Almarhum Ustaz Hj Mokhtar Yaakob


Allahyarham adalah orang kuat No.2 Al-Arqam pada suatu ketika dulu kemudian beliau diarahkan
meninggalkan Al-Arqam oleh Tuan Guru beliau, Syeikh Imam Ishak.

Saya sempat menimba ilmu dengan almarhum ketika beliau mengadakan kuliah bulanan setiap hari Sabtu
( kalau tak silap ) di Beserah,Kuantan sekitar tahun 1980/81.Ketika itu saya tinggal di asrama yang tidak beberapa jauh dari situ.Disamping mendengar kuliah, kami akan membeli barang-barang keluaran Al-Arqam seperti kicap dan membawanya pulang ke asrama.Kami masa tu dalam batch yang condong ke arah keagamaan dan bersedia menghapuskan aktiviti ragging oleh senior yang sudah menjadi adat tahun bertahun.

Kami ke sana dengan menyewa bas dan mengumpulkan duit tambang sesama sendiri setiap bulan.Malah di minggu yang lain pula,beberapa pelajar lelaki termasuk saya akan mengikuti program Jamaah Tabligh di sebuah markas berhampiran kawasan yang sama.

Saya masih menyimpan beberapa catatan ilmu yang saya catit ketika mendengar kuliah almarhum sebagai satu ilmu yang tidak pernah padam.Malahan,ketika cuti sekolah hujung tahun,saya dan beberapa orang kawan telah pergi mengikuti program Al-Arqam di Sg Penchala kalau tak silap selama seminggu.Masa tu,Ustaz Ashaari masih ada dan saya diletakkan dalam grup Laksamana Abdul Aziz.Saya masih ingat lagi ;cita-cita besar saya ingin menjadi tentera, amat berkobar-kobar.Tatkala saya mendengar kuliah dari Laksamana Abd Aziz; dia menceritakan kehidupan tentera yang banyak bergelumang dengan minuman keras; satu letupan nukliar bagai meletupkan hasrat dan cita-cita saya..Boooommm !! Habis..hilang lenyap..tengelam terus segala-galanya..tiada lagi terlintas..tiada lagi terdetik untuk memasuki alam ketenteraan..saya ingat ; itu jasa Laksamana pada saya.
Saya pernah jumpa beliau sekali selepas itu dalam tahun 2002 atau 2003 ( tak beberapa ingat ) di rumah beliau di Batu Pahat,pertemuan singkat sahaja diluar rumah kebetulan kami dibawa melalui jalan ke rumahnya..dimaklumkan dia juga mengajar tariqat.

Ketika di Sg Penchala juga,saya mencatit beberapa catatan dari kuliah Almarhum Ustaz Mokhtar.Saya akan berkongsi di sini sebagai arkib peribadi saya yang saya akan ulangbaca beberapa kali.

PETIKAN KULIAH ALMARHUM USTAZ HJ MOKHTAR.

Bagaimana nak tundukkan hati ? Kata Ustaz Mokhtar; Anggota manusia itu tentera hati;khadam hati;berbuat mengikut kehendak hati;terhenti berbuat sesuatu apabila hati tidak mahu.

Buang segala sampah kekotoran itu dengan Zikir Maut, zikir yang menjadi pendahuluan zikir yang dinamakan Rabitah Kubur.

Kata beliau ketika mengupas Kitab Tanwirul Qulub :

"Jangan kamu tinggalkan zikrullah ketika kamu tidak dapat hadir berserta Allah Taala".

"Mudah-mudahan Allah memberi kamu bahagia dengan taufik dan kemanisan dengan tasrif Tariqat Naqsyabandiah adalah semudah-mudah jalan dan sehampir-hampir pada pelajar untuk ke darjat tauhid".
                ( Petikan Muqaddimah dari salinan Kupasan Tanwirul Qulub – armarhum Ustaz Mokhtar )

"Sama sahaja limpahan Tariqat ini kepada orang-orang tua, kanak-kanak, orang hidup dan orang mati. Hendaklah kamu ambil dan hisap baunya yang harum itu, mudah-mudahan kamu berjaya menjadi salah seorang dari golongan mereka. Hingga kamu memperoleh permata yang berharga dan mencium bau jalan yang tidak pernah terlintas di hatimu dan boleh menghilangkan kesamaran dan keraguan di dalam hati. mereka itu adalah orang-orang yang suci dari kekerohan".

' Tidak boleh seseorang itu sampai kepada maqam yang tinggi ini dengan diri sendiri. Bahkan mesti ada pemandu yang sempurna yang telah sampai kepada maqam musyahadah dan tahkik dengan sifat Tuhan '

      (Kupasan Tanwirul Qulub – almarhum Ustaz Mokhtar )

Saya diberi kesempatan menziarahi maqam beliau ( dengan izin anakanda beliau ) setelah mengetahui beliau dikebumikan di Pekan..itu pun setelah beberapa lama baru tahu.Apa yang mengejut pabila melihat maqamnya buat pertama kali yang ditunjukkan oeh anakanda beliau; ia tidaklah seperti apa yang dibayangkan didalam kepala; kubur atau saya suka gunakan perkataan maqam bagi orang -orang 'alim itu hanya berdindingkan papan yang usang..tidak ada dapur atau binaan batu diatasnya (ketika itu) walau pun almarhum seorang yang dikenali ramai.Mungkin itu kehendak arwah ataupun mungkin itu kehendak keluarganya.Walau apapun; almarhum menampakkan kerendahan diri hingga akhir hayatnya...Al-Fatihah..

Subhanallah !

QS : Ad-Dukhan 56 : " Mereka tidak akan merasakan mati di sana kecuali mati di dunia.Dan Allah memelihara mereka dari azab neraka ".

Allah SWT telah tunjukkan kelebihan kepada mereka yang berzikir walaupun mereka telah kembali lebih awal daripada kita.Ia adalah sebaik-baik pengajaran bagi yang masih hidup; yakni JANGAN TINGGALKAN ZIKRULLAH !

Wallahu a'lam.




Perbezaan Tauhid Usuluddin dan Tauhid Mukasyafah

Apa perbezaan Tauhid Ussuluddin dengan Tauhid Mukasyafah.Ussuluddin itu suatu ilmu  pengetahuan
yang dipelajari dengan mendengar dan menjadi murid/tholib sedangkan Mukasyafah itu bukan dari
kumpulan Ilmu Tauhid tetapi ia adalah Ilmu tasauf.


Mukasyafah itu didapati hanya oleh seorang salik dengan cara dzauqi.Selagi tidak melalui jalan dzauqi ini,seseorang itu akan gagal untuk mencapai maqam mukasyafah dan gagal mengenali Allah Azzawajalla dengan rasa yang Allah itu ada.Malah penerangannya juga telah banyak cuma atas tajuk yang berlainan.Walau bagaimana pun saya menyantuni persoalan ini yang dilihat dari sudut yang lain walaupun
pada dasarnya ia adalah cerita yang sama.

Kita semak semula hadis ini : 
“Anil ehsaanu anta’budallaaha ka annaka taroohu faillam takunn tarohu fainnahu yarooka” .

Hadis yang terkenal dengan panggilan Hadis Jibrail ini amat jelas meminta setiap orang Islam
mempertingkatkan amalan bukan sekadar menjadi mukmin tetapi berusaha sehingga ke
darjat mukhsin malah mukhlis.Peringkat inilah yang dinamakan peringkat ehsan.


Di dalam hadis ini kalau kita telitikan ada 3 asas utama iaitu ISLAM , IMAN dan EHSAN.

Islam itu diasaskan kepada 5 Rukun sepertimana yang kita pelajari dalam ILMU FEQAH dan IMAN
itu ada 6 Rukun yang wajib kita imami dalam pelajaran Ilmu Tauhid. Manakala EHSAN
itu pula mengandungi 1 Rukun dalam Ilmu Tasauf.


Ilmu Feqah dan Ilmu Tauhid itu mengajar kita perkara-perkara mengenai solat,halal,haram,haji dan
seumpamanya.Ilmu ini tertentu pada waktu-waktunya sahaja seperti pelajaran haji,digunakan ia apabila
mengerjakan haji.Begitu juga dengan solat,ia dipelajari bagaimana untuk kita mendirikan solat.

Manakala Ilmu Tasauf itu mengajar kita untuk berzikrullah,siang malam,duduk ,baring malah ia dikatakan
“ilmu orang yang nak mati”,kerana apa ; kerana apabila orang sudah nazak,dia dah tak mampu solat lagi,
puasa pun dah tak boleh tetapi ia masih mampu berzikrullah di dalam hati, secara sirr.

Ilmu Tasauf ini dengan jalan zikrullah yang istiqamah dan dipimpin akan membawa seorang salik ke hadrat
Allah dengan cara dzauqi,kenal Allah dengan Allah.Maka berlakulah semasa didalam perjalanan ini makrifatullah dan mukasyafah.Dengan itu,sampailah salik ini kepada sasaaran hadis Jibrail ini iaitu ke darjat ehsan.

Bagaimana jalan ini ( Ilmu Tasauf ) boleh membawa seseorang itu kenal Allah begini cepat ?
Ya , jalan ini yang dikenali sebagai tariqat itu adalah jalan rentas ( ekspres ) untuk sampai ke hadratullah tetapi ia bukanlah laluan yang payah ; tak payah tetapi susah.Macam kita nak makan ; tak payah tapi kena juga suap,kunyah dan telan.

Susah yang macamana ; iaitu susah kena meninggalkan segala kesukaan dunia untuk pergi beruzlah dan tinggal di suatu tempat itu untuk berkhalwat ( terpisah dari orang awam ) untuk beberapa tempoh waktu.Yang inilah yang dikatakan susahnya ; kena tinggalkan anak isteri ( kalau pergi berkhalwat sekeluarga lagi bagus ) ,kena tinggalkan FB , kena tinggalkan kerja,perniagaan,kena tinggalkan nonton bola , kena tinggalkan main futsal,jahit menjahit,masak memasak,kena tinggalkan teh tarik ,tinggalkan wasap,
telegram,dan pelbagai kesukaan nafsu…tinggalkan sekejap sahaja untuk pergi beruzlah.

Orang yang belajar Ilmu Tauhid tu tak boleh ke sampai pada peringkat mukasyafah ini ?
Boleh tetapi jarang-jarang , seperti jarang-jarang orang yang menjadi kaya dengan sebab terjumpa harta qorun.
Malah Ilmu ini dikatakan perjalanan menuju Allah itu ibarat mengesot-ensot sedangkan perjalanan melalui jalan Ilmu Tasauf itu seolah-olah berlari atau terbang.


Inilah apa yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali , bukannya Imam Ghazali sahaja yang tahu maksud kata-kata beliau tetapi beliau pada masa sebelum mendalami pengajian Tasauf ; beliau adalah seorang ulama’ tersohor dan dijoloki dengan panggilan Hujjatul Islam.Beliau berkata mengikut pengalaman kerohanian beliau semasa berkhalwat ( bersuluk ).

Setelah Imam Ghazali pergi mengasingkan diri untuk berkhalwat selama hampir sebelas tahun ,barulah Allah
Taala kurniakan kefahaman dan Ilmu untuk menulis Kitab Ihya’ Ulumuddin. Kitab Ihya' ini adalah syarah bagi Al-Quran.Sebab itu lah,sekembalinya beliau dari berkhalwat , beliau nukilkan bahawa hampir-hampir ilmu kalam itu menjadi hijab untuk mengenal Allah kerana selama ini ( sebelum pergi berkhalwat ) , sangkaan dengan segala keilmuan yang ada padanya beliau rasa sudah cukup mengenali Allah Taala sedangkan ia berbeza dengan pengalaman mengenali Allah secara dzauqi.

Jadi apa yang dikatakan oleh para ulama’ yang ariffbillah mengenai agama adalah melalui pengalaman rohani
mereka sendiri.Begitu jugalah kalau kita rujuk balik kepada pemahaman atau doktrin wahdatul wujud Ibn Arabi dengan fahaman wahdatul syuhud Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi.Ibn Arabi berpegang kepada dalil-dalil aqli sedangkan Syeikh Sirhindi memahami ketuhanan itu melalui pengalaman dzauqi.

Perhatikan contoh pada Nabi kita yang berzikrullah dan berkhalwat selama 12 tahun, selepas itulah baru
Baginda di israkkan ( inilah yang dalam Ilmu Tasauf itu dikata perjalanan menuju Allah ) .

Kesimpulannya,letaklah sesuatu benda itu pada tempatnya.Itulah yang dipraktiskan oleh para syeikh dan guru kita seperti diibaratkan pisau jilid kita buat bercukur ; bukannya pisau jilid itu kita buat tebang pokok kelapa atau pun gunakan kapak untuk bercukur .

Sebenarnya , terpulanglah kepada kita sendiri samada mahu terus bercerita-bercerita atau ghalib pada
perkara-perkara yang pelik dan ajaib malah kebanyakan dari kita masih asyik dan khayal pada perkara-perkara yang maknawi serta  istilah-istilah ketuhanan seperti mukasyafah,makrifah,haqiqat,kenal Allah,Tahu Allah,Diri Terperi,Diri Terdiri dan pelbagai istilah lagi kesukaan pengamal Ilmu Batin sehinggalah saat kematian menghampiri sedangkan kita tidak pernah pun memulakan langkah pertama ke arah itu ! Masih asyik dengan diri punya diri sampai tak sedar diri..

Ibarat kita bertanya mengenai perkahwinan pada Ustaz yang belum pernah berkahwin ; kita tidak akan dapat suatu jawapan jitu dan pasti.Begitu juga kalau kita menitip Kitab Hikam yang banyak menerangkan mengenai Ilmu Ketuhanan nescaya kita tidak akan dapat kefahaman sebenar apa yang disampaikan oleh Syeikh Atho’illah jika kita sendiri belum sampai ke peringkat itu atau orang yang mengajar atau mensyarahkannya juga belum terjun ke dalam dunia ketuhanan itu sendiri.

Maka jadilah ia seperti satu sketsa mengenai dua orang kawan ; Seorang kita namakan Mat Jawa dan seorang lagi adalah budak dari Kelantan yang kita namakan dia sebagai Awea .Melintaslah seekur ular berhampiran mereka,lalu kata Mat Jawa ,” Jaga Awea ULAR tuuu ?.Terkejutlah budak Kelantan si Awea dan berkata, “ Mano ? Katok ! Katok !.Terpingga-pinggalah si Mat Jawa ; “Bukan KATAK , Uulaar !. Balas si Awea , “ Doh katoklah ! “. ( 'Katok' dalam loghat Kelantan adalah pukul ).

Begitulah jugalah situasi begini akan berlaku jika kita tidak serius memahami dan menyelami dan mendalami ilmu ketuhanan kerana sebenarnya memberi impak yang besar kepada diri kita sendiri dari pelbagai segi zahir dan rohaniah..banyak kita akan temui nanti salah faham dan salah tanggapan.

Alangkah baiknya kalau kita terjah masuk menyelami dengan hati sanubari ke dunia ketuhanan itu sendiri ;
merasai dan menyaksikan.Kita terjun ke dalam rahsia ketuhanan itu agar ia tidak lagi menjadi rahsia bagi kita
sebab Allah itu mahu dikenali.

Imam Ghazali mengatakan  bahawa Ilmu Mantiq atau ilmu logik akal adalah pengenalan kepada ilmu Sains dan tidak  ia mencangkupi kepercayaan kepada  maklumat atau pengetahuan yang lebih awal.Menurut Imam Ghazali dalam Kitabnya ‘al-Mustafa min ‘ilm al-usul’ ,ilmu mantiq   atau ilmu logik akal ini diletakkan dalam dua katagori iaitu teologi atau teori ilmu itu sendiri dan ilmu ketuhanan.

Kata beliau lagi,’Sekiranya salah satu syarat seorang alim yang mujtahid,haruslah mendalami ilmu mantiq,perlu membawa bukti dan menampilkan qias atau perbandingan.

Ia bertujuan untuk menilai dan mempertimbangkan bahawa ilmu logik itu diterima akal atau tidak.

Ulama’ tasauf menyebutkan,” an aqlu lil maqkuulat “ , yakni  akal itu untuk menerima perkara yang masuk akal.Maqkuulat itu pada syariat dan memberi kefahaman seperti pemahaman dalam pembacaan.Kitab Tauhid,Kitab Tafsir dan seumpamanya.Jadi penerimaan akal itu kita beriman dan kita dapat kefahaman.Ia lebih kepada perkara yang zahir.

Apabila sampai bab hakikat dan makrifat,akal tidak boleh memainkan peranannya.Masa itulah gunanya hati,roh dan sirr.Tetapi kita masih tidak dapat membezakan antara  peranan akal,hati, roh dan sirr itu.Kita hanya tahu dan fikir tentang akal sahaja kerana hati,roh dan sirr itu sangat rahsia dalam tubuh kita.

Anggota jasad kita seperti mata itu untuk melihat, telinga itu untuk mendengar, kaki itu untuk berjalan atau lidah itu untuk bertutur ; kita boleh terima dengan mudah.

Berbeza dengan anggota yang batin itu kerana diri kita mempunyai dua lapisan iaitu ruhhun dan jasadun.Kata ulama’ tasauf,”Hati itu lil maqluumat”; yang akal tidak boleh masuk akal itu tetapi hati boleh terima.Contohnya seperti peristiwa Israk dan Mikraj;dari segi akalnya tidak boleh terima Nabi S.A.W naik ke langit tetapi peristiwa itu hanya boleh difahami oleh hati.Orang-orang yang beriman sahaja yang gunakan hati boleh menerima dan faham.

Roh itu pula ”Lil Musyahadah”, untuk menyaksikan perkara-perkara yang maknawi.Kisah Imam Abu Hanifah ketika mahu menyelesaikan satu permasaalahan mengenai jenis air basuhan pertama dari wudu’ seseorang itu samada ia dikatagorikan sebagai air mutannajis atau sebagainya.Dibukakan hijab oleh Allah Ta’ala ,beliau dapat melihat ketika seorang sedang mengambil wudu’; ia nampak kotornya air itu dan berbau busuk.Maka dia terus tuliskan bahawa air itu mutannajis.Begitulah roh beliau dapat memandang perkara yang maknawi.

Sirr itu pula adalah lubuk hati,”wa sirr lil tajalliyat”.Tempat simpanan ilmu,kefahaman,iman dan apa yang di
musyahadahkan.Terbit niat itu dari sirr,sampai ke otak (akal) kemudian barulah ke hati.Hatilah yang membuat keputusannya.Semua itu adalah roh sepertimana tangan,kaki,mata itu sebagai jasad.

Kata Imam Ghazali,”nurrun latifatun robbaniyyun”, inilah roh yang mana akal itu menerima, hati itu memahami,roh itu menyaksikan perkara yang maknawi dan sirrun itu menyimpan rahsia.

Bagaimana jasad itu ada berbagai nama berdasarkan kegunaannya, maka begitu jugalah dengan roh yang dinamakan dengan pelbagai nama berdasarkan kegunaannya.

Jadi,Imam Ghazali memang sebenar-benar layak bergelar Hujjatul Islam kerana beliau mendalami kedua-dua aliran ilmu iaitu usul fikh dan tasawuf walaupun beberapa orang telah memberi kritikan kepada pegangan dan tulisan dari kitabnya.

Khalifah : Masih adakah di zaman ini ?

Orang yang menjadi Khalifah Rasulullah S.A.W itu masih ada mereka itu sampai
bila-bila selagi berkekalan syariat Nabi Muhammad S.A.W.Khalifah itu bererti ganti,
maka Khalifah Rasulullah itu adalah sebagai ganti bagi Rasulullah S.A.W menyampaikan
dan menunjuki apa-apa ajaran yang di dalam syariat Nabi samada syariat zahir ataupun
syariat batin.

Maka kita patut view skop khalifah ini dari sudut yang lebih luas,bukan tertumpu kepada
empat orang khulafa ar-rasyidin itu sahaja.Selagi masih ada orang Islam yang menyebut
kalimah Allah di atas muka bumi ini,selagi itu bumi tidak akan kiamat.

Maka sesiapa juga di kalangan orang Islam yang mengajar dan menunjuki apa-apa
perkara syariat Nabi kepada manusia,dia adalah sebagai Khalifah Rasulullah S.A.W selagi
dia kekal berpegang atas syariat walaupun dia tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W
walaupun dia hanya menerima khabar atau mendapat bimbingan perantara sehingga 70 bilangan
perantara daripada Khalifah-khalifah Rasulullah S.A.W sebagaimana Sabda Baginda :
" Tidak masuk neraka orang Islam yang memandang aku dan tidak masuk neraka orang Islam
yang memandang ia akan orang yang TELAH memandang aku walaupun dengan tujoh puloh
wasithoh ( yakni 70 perhubungan pandang memandang kepada mereka yang TELAH memandang)
sekalipun  " HR Khatib Bin Abdul Rahman Bin Uqbah Bin Abih.Ini lah juga yang dikatakan salsilah
Masyaeikh.

Sabda Nabi lagi:
" Wahai Tuhanku,berilah rahmat olehMu akan segala khalifahku yang datang ia kemudian daripadaku
yang meriwayatkan ia hadisku dan sunnahku dan mengajar ia akan manusia" HR Thibrani dan Ali.

Sabda Nabi :
"Barangsiapa menyuruh-nyuruh ia akan kebajikan dan menegah ia daripada mungkar,maka adalah orang itu khalifah Allah pada buminya dan khalifah bagi RasulNya dan juga khalifah bagi KitabNya"

Firman Allah,Surah An-Nur ayat 55 :
" Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman yang beramal dengan amal soleh,maka nescaya dijadikan Allah akan mereka khalifah di muka bumi sebagaimana Allah telah menjadikan khalifah mereka
yang terdahulu daripada mereka itu".

Ini adalah penjelasan dan keterangan mengenai fungsi dan status khalifah bagi Allah,khalifah bagi Rasulullah
dan khalifah bagi kitab Allah.Maka dapatlah kita faham dari ayat dan hadis ini, mereka yang dikatakan khalifah itu masih ada dan masih wujud hingga sekarang.

Fidyah dan Kifarah


Kaedah membuat fidyah dan Kifarah mengikut Mazhab Imam Hanafi rahimahullahu Taalamerujuk kepada sebuah Kitab yang bernama ‘Irsyadul ‘ibaadi ila sabilirrasyad”yang disusun oleh
As-Syeikh Zainal Abidin Al-Fatani pada mukasurat 18 dan diambil dari Kitab ‘Royatuttaqrib’
yang disusun oleh As-Syeikh Muhamad Daud Al-Fatani padamukasurat 21.


Termuat juga pada susunan yang dikasihi Tuan Guru Imam Hj Ishak Bin Muhammad Arif yang bernama ‘Tanbihul Muriidiin’ pada mukasurat 15.Bayaran fidyah itu dengan harga beras.


Fidyah dan Kifarah ini dilaksanakan merangkumi :
1. Fidyah bagi Solat Fardu
2. Fidyah Bagi Puasa Fardu
3. Fidyah Nazar
4. Kifarah Puasa Fardu
5. Kifarah Zihar
6. Kifarah Sumpah
7. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap Allah SWT.
8. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap sesama manusia.
9. Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap binatang-binatang.
10.Kifarah dosa besar dan dosa kecil terhadap segala tumbuhan dan segala makhluk.

Kaedah ini dilakukan dengan merujuk kepada kepada Kitab " Irsyadul 'ibadi ila sabilirrasyad "
yang disusun oleh As-Syeikh Zainal Abidin Al-Fatani pada mukasurat 18.Juga diambil dari Kitab
' Qroyattutaqrib ' yang disusun oleh As-Syeikh Mohd Daud Al-Fatani pada mukasurat 21.
Kaedah ini juga termuat dalam Kitab susunan yang dikasihi TG Hj Imam Ishak Bin Muhammad Arif
An-Naqsyabandi Al-Khalidi yaitu ' Tunbihul muriidiin' . Kaedah ini dilakukan dengan taklik Imam Hanafi dan niat menghadiahkan pahala kepada si mati.

Kaedah ini perlu bilangan pelaku yang ramai dan memerlukan emas yang banyak bagi memudah dan mempercepatkan perjalanan.Kaedah ini dijalankan dan dilaksanakan oleh mereka yang telah mendapat
baiah sahaja.

Jenis-jenis Emas yang digunakan dalam menjalankan kaedah ini iaitu :

1. Emas 999 ( Emas Tulin 99.9% atau Emas 10 ( 24K )
2. Emas 950 ( Emas Kelantan atau Emas 9 1/2 )
3. Emas 916 ( Emas Singapura ( 22K )
4. Emas 875
5. Emas 835 ( Emas Paun )
6. Emas 750 ( 18K )
7. Emas 585 ( 14K)
8. Emas 375
9. Dinar Emas

Friday

Bersih Rumah vs Pulih Rumah


Sapu sampah , cuci longkang atau lap kipas ke..itu yang mungkin kita bayangkan 
apabila disebut bersih rumah manakala kita akan terbayang menukar papan dinding 
atau tukar atap apabila dikaitkan dengan pulih rumah.

Pulih Rumah’ atau ‘Bersih Rumah’ yang dimaksudkan disini adalah satu kaedah yang 
dibuat dengan cara yang sama tetapi panggilannya sahaja yang berbeza.

Pulih Rumah@Bersih Rumah adalah satu kaedah untuk memulihkan sesuatu tempat,
sesuatu kediaman atau sesebuah bangunan atau kedai yang terdapat gangguan 
dari makhluk ghaib disitu samada ia terjadi akibat perbuatan sihir atau pernah 
diadakan acara perbomohan,pemujaan,pagar rumah atau tapak kediaman atau 
bangunan itu dibina atas kawasan yang kurang baik seperti ia dibina atas bekas
tanah perkuburan atau dikawasan paya tempat orang-orang yang berpawang 
membuang ancak ( barang-barang hasil pebomohan ).

Kenapa perlu melakukan ‘Bersih@Pulih Rumah itu ? . Kediaman yang baru siap 
dibina mau pun yang telah lama dibina tetapi baru mahu didiami sangat elok dan 
dituntut untuk mengadakan pembersihannya dahulu dari makhluk-mahkluk halus,jin 
atau syaitan yang berada disitu samada yang baru datang atau yang sudah lama 
berada disitu yakni tempat tinggalnya sebelum dibina penempatan atau bangunan.

Rumah tinggal atau rumah terbengkalai atau rumah yang ditinggalkan tanpa 
penghuni lebih dari 40 hari sudah diduduki atau disinggahi oleh makhluk lain.
Jika tuan rumah tidak menghalau mereka keluar maka mereka berkongsi kediaman 
dengan makhluk-makhluk halus itu.Amat dikhuatiri makhluk tersebut menganggu 
kehidupan penghuninya seperti membuatkan anak kecil sering menanggis, anak 
kecil mata terbeliak seperti memandang sesuatu, ternampak kelibat atau lintasan-
lintasan,ada mendengar bunyi seperti orang bermain guli,ada yang mendengar 
seperti orang menarik kerusi,ada yang ditarik rambut,ada yang nampak kesan 
seperti ada bekas orang duduk diatas katil,ada yang mendengar bunyi orang mandi 
dibilik air dan berbagai perkara yang pelik-pelik dan misteri terjadi.

Rumah yang dirasakan terkena sihir juga perlu dibuat ‘pulih rumah’. Tanda lazimnya 
ialah rumah tersebut terdapat anak dara lama ( andarla) ; yang belum dipinang 
orang atau pun sering terjadi gangguan ketika dalam proses peminangan sehingga 
menyebabkan peminangan itu batal atau terputus.

Ada juga kes anak lelaki yang bujang terlajak ( bukan yang terlajak laris ! ) di rumah 
tersebut malah ada diantara mereka mengalami penyakit yang tidak dapat dikesan 
oleh perubatan moden. Ada juga barang-barang milik andarla ini yang ditinggalkan di 
tempat lain dijaga oleh makhluk yang menjaga mereka samada mereka sedar atau
tidak. Maka orang yang menggunakan barang itu atau orang yang tinggal ditempat 
barang itu berada tanpa sedar turut tinggal bersama dengan makhluk dampingan itu.

Pagar rumah yang sering dibuat oleh orang tua dulu-dulu ketika membina rumah 
malah diikuti oleh mereka yang percaya dengan perbuatan itu memakan tuannya 
sendiri.Ini akibat dari jin atau hantu atau makhluk yang menjaga rumah itu memerlukan
upah; mereka tidak berkhidmat secara percuma.Pada permulaannya mereka 
berkhidmat dengan baik tetapi selepas setahun,selepas 2 tahun,selepas 5 tahun,10 
tahun,20 tahun atau selepas makanan yang disediakan kepada mereka habis maka 
makhluk itu akan menganggu tuan rumah atau keluarga mereka dengan menjadikan 
mereka mangsa dengan menyebabkan gangguan kepada isi rumah atau 
mendatangkan penyakit-penyakit ganjil dan misteri.


Kesan gigitan misteri pada pesakit

Kaedah ‘Pagar Rumah’ ini yang sering penulis temui ketika menjalankan proses
‘pulih rumah’ seingat-ingat dah lebih dari 40 buah kediaman setakat artikel ini ditulis,
sekolah,tapak rumah,restoran warong dan pusat latihan malah tak ketinggalan 
Mahaad Tahfiz  dibuat dalam bentuk seperti menanam atau menyimpan tahi bijih@tahi besi,meletakkan kain kuning atau putih dihujung tiang-tiang seri,menanam paku didalam 
rumah dan diluar pagar,melukis rajah dibawah lantai,menabur beras kunyit disekeliling 
rumah,menanam telor angsa yang ditebuk dengan paku dan ditanam didalam pasu-pasu 
bunga dan diletakkan di empat penjuru rumah.Telor angsa yang telah ditebuk ini 
bertujuan agar isi telor itu keluar sedikit demi sedikit sebagai makanan ‘Jaga’,
Apabila semua isi telor angsa itu telah habis atau telah kering maka nanti ‘jaga’ 
tadi akan ‘ngap’ tuan rumah itu pula.Kekadang kita nampak mereka mengantung
sarang Burung Tempua ; itu pun sebahgian amalan 'pagar rumah'.

Ada juga ‘pagar rumah’ ini dibuat diletakkan tangkal-tangkal atau rajah-rajah
atau bangkai kuda laut atau limau nipis diatas muka pintu,menabur berteh 
dikeliling rumah,melempar garam dan pelbagai-bagai cara lagi.Kalau kita perasan
apabila melihat pada pintu rumah orang India , orang Cina dan orang asli ada 
digantung pelbagai barang yang pelbagai bentuk; ada yang seperti buah,ada yang
seperti sangkar,ada yang meletakkan cermin,ada yang macam bubu kecil dan lain-lain 
menurut kepercayaan mereka ia sebagai satu cara ‘memagar’ rumah.

Kredit kepada pemilik gambar

Rumah yang banyak menyimpan barang-barang lama atau barang-barang 
purba seperti keris,lembing,kain kuning,tangkal,barang-barang mistik seperti 
bangkai burung kasawari yang diawet,buntat ,gendang-gendang dan 
seumpamanya juga selalu terjadi gangguan disana. Kayu koka juga didapati 
boleh mendatang kesukaan kepada makhluk halus juga.Barang-barang 
kegunaan untuk aktiviti pendukunan atau barang pusaka juga ada penjaganya.

Barang-barang milik si mati juga mesti diambil untuk dibuang jika masalah 
gangguan itu ada hubung kait dengan amalan si mati seperti dia seorang ahli 
silat,tukang urut,bidan kampong atau pengamal sesuatu ilmu.
Barang-barang kegunaan atau kesayangan si mati seperti sanggul rambut,
batu cincin,gobek sireh,sikat,parang,baju silat,bengkong silat dan sebagainya 
perlu dibuang,dibakar atau dipulihkan.




Barang-barang yang disihir yang dibawa dan disimpan di situ juga akan 
mendatang peristiwa misteri kepada penghuni rumah itu seperti barang-
barang yang disihir oleh salah seorang madu dalam keluarga yang 
berpoligami seperti kasut,pakaian,beg tangan dan kain langsir.
Ada juga yang melakukan sihir kepada rantai kunci sebagai hadiah supaya 
penerima itu akan mengikut kata si pemberinya.Ada juga yang menyihir kain 
pelikat yang dijadikan hadiah dibawa pulang agar belaan si bomoh itu senang
mencari tempat untuk mendapatkan makanannya iaitu menghisap darah 
keluarga penerima barang-barang itu.


Kerap terjadi restoran atau warong atau kedai runcit yang terpaksa ditutup 
kerana kurang laris. Ia terjadi kerana cemburu sesama peniaga dan pesaing 
atau kerana balas dendam .Akibatnya restoran atau warong itu kekurangan 
pelanggan dan akhirnya ditutup. Sihir begini biasanya dilakukan dengan cara 
melekatkan gula-gula getah yang sudah dikunyah dan telah pun dibacakan 
menteranya dibawah meja atau dibawah kerusi atau dicelah-celah dinding
 tanpa disangka oleh sesiapa.

Orang yang melakukannya adalah orang yang pernah datang makan ke 
tempat itu. Oleh kerana gula-gula getah biasa dibuang budak-budak di
merata-rata, pemilik restoran atau warong atau kedai runcit itu tidak 
mengesyaki bahawa itulah bahan utama yang dijadikan alat untuk meletak 
dan mengekalkan sihir di situ.

Pemilik restoran atau warong yang terkena sihir begini,cuba lihatlah dibawah
meja atau bangku yang ada didalam kedai itu atau terdapat dicelah-celah 
dinding atau rak tertampalnya gula-gula getah. Terbalikkan meja dan kerusi
ke atas bagi mudahkan melihatnya.Kaedah ini amat mudah dibuat sambil 
duduk-duduk minum disiang hari sahaja tanpa perlu memanjat bumbung,tanpa 
perlu melempar dari jauh atau tanpa perlu datang ditengah-tengah malam. 
Harus diingat bahawa gula-gula getah itu telah disihir ; jadi elakkan dari 
dipegang dengan tangan.




Perawat yang menjalankan ikhtiar ‘bersih@pulih rumah’ ini perlulah bersedia 
dari segi kekuatan zahir dan rohaniah kerana proses ini memerlukan kedua-
dua keupayaan itu.Perawat yang lemah yakni dalam keadaan sakit atau 
demam tidak digalakkan untuk melakukan kerja atau proses ini.


Perawat itu diumpamakan sebagai Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah 
atau Bandaraya manakala makhluk yang hendak dihalau itu diibaratkan 
seperti setinggan. Setinggan itu pula sudah tinggal ditempat itu mungkin 
setahun,mungkin 5 tahun,mungkin sudah 10 tahun dan mungkin lebih lama 
dari itu.


Dikalangan makhluk itu ada yang gemuk,ada yang kurus,ada yang tinggi,ada yang 
berat,ada yang besar,ada yang keras kepala malah ada yang ‘gedebe’. Juga 
terdapat mungkin sekelompok,mungkin sekeluarga,mungkin sekawan dan mungkin
ramai mereka disitu.Jikalau perawat tidak bersedia dari segi fizikal,mental dan 
rohaniah dibimbangi ia mendatangkan mudarat kepada beliau atau orang yang 
turut bersama beliau.


Proses bersih@pulih rumah boleh dilakukan disebelah malam atau siang dan 
dimulakan dengan Azan Tawasul sebagai langkah pertama memberi amaran 
kepada makhluk-makhluk disitu.Selepas solat dibacakan Tahlil diikuti dengan Solat 
Sunat Taubat bersama-sama dengan tuan rumah sekeluarganya dan diikuti dengan
Solat Hajat bagi memohon pengampunan Allah atas dosa pernah menggunakan khidmat 
perawat yang tidak patuh syariah dan memohon perlindungan serta pertunjuk Allah SWT.

Perawat akan meminta tuan rumah secara sukarela menyerahkan barang-barang
yang disyaki menjadi punca atau penyebab berlakunya gangguan disitu seperti 
apa yang telah diceritakan sebelum ini bagi memudahkan proses tersebut dilakukan.
Barang-barang tersebut jika tidak dibuangkan atau ‘dimatikan’ ia boleh berfungsi 
sebagai antenna pemanggil dan pemberi kekuatan kepada makhluk-makhluk halus 
untuk datang semula ke situ dan masaalah gangguan yang lama akan berulang lagi.


Setelah itu,perawat akan melakukan proses ‘pulih rumah’ sehingga selesai diikuti 
dengan rawatan kepada pesakit jika pesakit ada disitu.




Toriq..uslub dakwah.

Jalan mengenal Allah dengan dzauqi ; 
jalan ni tak jauh namun banyak juga yang gagal ke sana .



Monday

Renungan dari Al Hikam


KEBATILAN SENI BELADIRI : Jin sebagai teman hidup

Suatu ketika dulu,saya juga seperti kebanyakan orang lain ingin mencari sesuatu
yang istimewa dalam Seni Beladiri terutamanya Seni Silat.Walau pun pada masa 
yang sama saya baru berjinak-jinak juga dalam pengajian tasauf.

Saya telah belajar seni silat dari 2 buah perguruan silat yang terkenal pada masa itu 
disamping juga belajar Ilmu Perubatan dengan Guru yang sama.Saya telah ditetak
dengan parang bertubi-tubi,ditetak dengan pedang,dibakar dengan api,makan kaca 
macam makan kacang goreng dan bermacam-macam lagi latihan yang ektrim 
namun semua itu tidak memberi bekas atau kesan pada saya pada masa itu..kebal.
Saya belajar sehingga sampai ke peringkat mengeluarkan roh dari badan,namun pada
peringkat ini saya telah mengesan beberapa kesangsian ( cenderung ke arah bukan
amalan Islam ) seperti seruan dan bacaan mentera yang meragukan namun perkara
itu didiamkan sahaja.

Saya telah memaksa anak-anak lelaki saya pada masa itu ( Darjah 6 dan Darjah 4 ) 
untuk melakukan senaman gerak sebelum tidur dan sebelum pergi ke sekolah.Namun 
senaman itu saya tidak sertakan dengan ayat atau jurus,cuma senaman lembut yang biasa 
seperti gerakan Tai Chi. 

Setelah seminggu mereka melakukan senaman itu pagi dan malam: sudu,garfu,pisau,stepler
dan alatan yang dibuat daripada besi sudah melekat pada badan mereka seperti magnet.
Itupun belum diajarkan sebarang ayat lagi.Tidak selesai di rumah,saya meminta pihak
sekolah menubuhkan Kumpulan Silat di sekolah ( ketika itu saya sebagai YDP ) dan 
saya sering melihat dan memantau latihan mereka.

Apa yang mengejutkan saya apabila diberitahu oleh isteri yang anak-anak berubah jadi
pemarah malah ada yang berani menumbuk almari sehingga pecah.Saya sudah mula risau
akan keadaan dan perubahan yang berlaku itu dan mula mencari jawapan-jawapan kepada
persoalan saya ketika belajar ilmu persilatan ini.Alhamdulillah,saya menemui jawapan
mengenai kebatilan yang terdapat dalam Ilmu Persilatan dan kemasukan jin dalam tubuh
bagi memperkuatkan fizikal.

Ketika itu saya telah pun lama mengikuti kelas-kelas pengajian tasauf dan telah membuang 
segala amalan,baju,benkung silat yang ada pada saya dan melarang anak-anak belajar Ilmu
Persilatan atau Ilmu Beladiri seumur hidup.Malah saya telah membakar semua peralatan silat
anak saya dan membaiahkan mereka ke jalan pengajian tasauf. 

Saya doakan kawan-kawan saya dan anak-anak didik saya dan kakitangan saya yang telah 
saya bawa belajar dulu diberikan kesedaran oleh Allah SWT untuk meninggalkan segala amalan
yang menyalahi akidah.Kita kena berhati-hati apabila mahu belajar sesuatu ilmu atau diajar
sesuatu ilmu kerana kita mungkin tidak sedar ilmu itu lama-kelamaan akan memesongkan akidah
kita.
Suatu ketika dulu,seorang jiran sebelah rumah yang saya baru kenal telah membawa saya 
berjumpa dengan seorang pengamal perubatan@Tok Bomoh yang terkenal dikawasan itu.
Ketika itu saya terlibat dalam kerja-kerja perhutanan ; jadi Tok Bomoh itu memberi kan 
amalan jauh dari gajah.
Dia menghulurkan sekeping kertas yang apabila saya baca pada perenggan atas sangat 
elok dimulakan dengan Bismillah dan pujian tetapi apabila sampai diperenggan tengah; 
mata saya tertumpu pada ayat "Hai mambang  putih mambang...( ada pelbagai mambang lagi ) 
saya terkejut dan mata meleret pada perenggan akhir tertera ayat " dengan berkat 
Kalimah La ila haillallah".Barulah saya faham patutlah selalu kita dengan Tok Bomoh@
Pawang baca ayat mula-mula dan akhirnya saja yang bunyi kuat yakni boleh didengar 
sedang semasa menyebut ayat-ayat ditengah-tengah itu hanya nampak mulut mereka 
sahaja yang terkumat-kamit..haa inilah rahsianya ! 
Saya menolak pemberian itu dengan baik agar tidak mengecilkan hati mereka.

Begitu juga ketika saya berkunjung di Pulau Tinggi,Johor ...nak ke sana menaiki bot dari Jeti 
Mersing dan bermalam dirumah ayah angkat kawan saya yang tinggal dipuncak bukit.
Mereka ini keturunan ke 7 Laksamana Bentan.Saya ingat lagi,bila berada dirumahnya ; 
saya terpaksa menjawab pantun-pantun.

Kawan saya suruh saya minta diajarkan ilmu kerana beliau sendiri takut nak minta.
Jadi saya selamba jer minta Atok ajarkan apa-apa ilmu yang dia rasa sesuai lalu si Atok
ambil dua bungkusan kuning dan berikan kepada saya dan suruh saya buka.Apabila saya
buka,didapati kedua-duanya ada buku bertulisan tangan yang kandungannya berisi pelbagai 
kategori ilmu,macam resepi masakan je..

Saya minta izin salin beberapa ilmu yang kaw-kaw seperti kehendak kawan saya tadi yang sedikit romeo.Sambil menyalinnya,orang tua itu  berceritalah mengenai ilmu-ilmu itu dan keberkesanannya,maklumlah senjata orang dulu-dulu.

Sekembalinya kami dari sana,semua ilmu yang disalinkan itu saya berikan kepada kawan 
saya itu dan saya hanya ambil satu yaitu kalau tak salah ingat,ilmu yang berkaitan untuk
jumpa seseorang..simpan tak guna sekali pun..dah lama dah tak ingat.Kawan saya memang
macam orang mengantuk disorongkan bantal dapat ilmu-ilmu itu dan diagunakan betul-betul 
dan nampaknya menjadi namun dia menggunakannya kepada perkara yang tidak memberi
manafaat dunia akhirat.Maka janganlah dicari atau dipelajari ilmu yang sebegini nanti akibatnya keburukan,penyakit dan petaka akan kembali kepada pengamalnya.

Kesimpulan dari pengalaman saya ini,apa yang saya nak kongsikan ialah Ilmu Beladiri ini kita
tidak dapat kesan penyelewengan atau keraguannya diperingkat rendah.Kita hanya akan
terperasan setelah berada diperingkat yang lebih tinggi.Ditahap ini samada ada kita sayangkan 
ilmu ini kerana sudah merasakan kehebatannya atau kita sayangkan akidah kita.Pilih antara dua,
tepuklah dada.Janganlah dikira guru silat itu dinamakan atau dipanggil Ustaz atau Mahaguru 
ataupun Tok Guru sekalipun,yang salah dari akidah tetap perlu ditolak.Apa yang saya masukkan
( dgn qasad) dalam tubuh saya ketika mula-mula menjalani ritual perguruan silat itu; 'benda' yang
kita rupakan atau bayangkan itu jugalah yang yang saya nampak keluar dari tubuh saya setelah saya istiqamah berzikrullah dan membuang segala jin silat dari dalam tubuh.
Malah sekarang ini ramai Ustaz-ustaz yang mengajar silat di surau-surau termasuk di surau qariah 
saya tetapi kini telah tiada lagi.Dengar-dengar cerita,ustaz yang mengajar silat ini telah menemui 
sesuatu perkara yang meragukan ketika berkunjung ke rumah Tuan Gurunya,seorang Guru silat 
terkenal di Malaysia. Wallahu a'lam.

Alhamdulillah setelah sekian lama meneruskan pengajian tasauf dan diberi kalam oleh Ybhg 
Tuan Guru untuk mendalami bidang perubatan,saya dapati banyak pesakit-pesakit yang belajar
atau pernah belajar silat atau Seni beladiri yang lain akan mengalami masaalah kesihatan dengan 
sympton atau tanda-tanda yang hampir sama pada fizikalnya dan pada keluarga atau rumahtangga
mereka.Kalau suami isteri dua-duanya belajar silat,rumahtangga mereka akan bercakaran,
berpenyakit misteri,sakit yang tidak sembuh-sembuh dan pelbagai lagi.Segalanya itu akan kembali 
sediakala apabila jin silat itu dikeluarkan.Semuanya telah berlalu tetapi saya sering bertemu dengan
mereka yang pernah belajar persilatan yang mengalami pelbagai masaalah pelik.Walaupun mereka 
kata sudah tidak beramal atau belajar lagi tetapi perjanjian mengambil ilmu itu telah termetri antara
murid dan guru.Selagi tidak putuskan perjanjian itu,selagi itu jin silat atau jin beladiri itu akan tetap 
menjadi teman hidup sejati; tidak beramal lagi bukan bererti jin itu tidak ada.