Sunday

Zikrullah;kepentingan ISTIQAMAH dengannya.




Sabda Rasulullah S.A.W :
“ Sukakah kamu akan diberitahu sebaik-baik amalan kamu dan sebersih-bersihnya di sisi Tuhan kamu, paling tinggi darjat kamu, lebih baik dari mendermakan emas dan perak,lebih baik dari kamu menetak leher musuh dan mereka menetak leher kamu ? 
Para sahabat menjawab : Bahkan ( Kami mahu mendengarnya ).Baginda bersabda: Zikrullah. 
( HR Tarmizi dan Ibn Majah )

Allah berfirman :



“ dan sebutlah ( dengan lidah dan hati ) nama Tuhanmu ( terus menerus siang dan malam ) 
dan tumpukanlah ( tabtil amal ibadatmu ) kepadaNya dengan sebaik-baik tumpuan 
( ketekunan ) “. Surah Muzammil : 8


Wirid yang afdal adalah zikrullah.Solat ; meskipun besar, pada waktu-waktu tertentu ia tidak dibolehkan tetapi lain halnya dengan zikir,ia boleh dibuat dalam apa jua keadaan, samada kuat ( jihar ) atau sirr ( dalam hati ).Rasulullah S.A.W berzikrullah di Gua Hira’ terlebih dahulu sebelum diperintahkan untuk mengerjakan solat.






“ Orang-orang yang sentiasa berzikrullah ( dalam semua keadaan ) sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka tafakkur ( terhadap ayat-ayat Allah ) yang ada di langit dan dan di bumi.Mereka ( akhirnya ) berkata: "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini sia-sia ( tetapi penuh makna dan hikmah ), Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka “. Surah Ali-Imran :191

Amalan zikrullah itu hendaklah dibuat dengan tekun dan istiqamah agar tercapai matlamatnya.Antara matlamatnya ialah hilang ghaflah hati, sentiasa khudur ma’allah yakni sentiasa tenggelam dalam mengingati Allah dan sampai kepada hakikat dan makrifah.Maka dengan sebab itu, Allah perintahkan orang-orang mukmin supaya zikrullah itu dilakukan sebanyak-banyaknya,sepanjang masa,siang dan malam,dalam apa jua keadaan,seorang diri atau berjemaah.

Zikrullah itu dilakukan dengan sebenar-benar tabtil ( Menurut tafsir Syeikh Nikmatullah Mahmud al-Nakhjuwani dalam kitab tafsirnya, al-Fawatih al-Ilahiyyah menerangkan maksud sebenar-benar tabtil Surah Muzammil:8 itu ialah mengasingkan dan memutuskan hati seluruhnya untuk Allah sahaja ) benar-benar jauh dari semua perkara dan urusan yang menyibukkan hati.

Rasulullah S.A.W menyediakan zikir dan wirid yang berbagai.Jikalau terasa bosan pada 
satu zikir tertentu,m,aka ia boleh berpindah atau ditambahai dengan zikir yang lain.Tetapi 
adalah lebih baik ia istiqamah pada satu zikir daripada mengamalkan bermacam-macam zikir.
Ali Marsufi r.h berkata,”Bila seorang murid mengingati Tuhannya dengan penuh kesungguhan dan cita-cita,maka dengan cepat akan dibukakan padanya maqam-maqam jalan itu.Mungkin dia dapat melaluinya dalam sesaat perjalanan yang dilalui oleh orang lain berbulan-bulan.”.Dia mengatakan lagi,” Orang yang meniti ( salik ) dari jalan zikir adalah seperti burung yang terbang ke Hadratil Qurbi sedangkan salik dari selain jalan zikir seperti perjalanan orang yang telah lanjut usia; kadang-kadang berjalan,kadang-kadang terhenti,padahal perjalanan masih jauh.Mungkin telah habis usianya,belum sampai juga perjalanan itu.”

Para Sufi berpendapat bahawa zikir adalah kunci untuk membuka sesuatu yang ghaib,pembawa kebaikan dan teman di kala susah.Jadi, tidaklah patut meninggalkan zikir ;tetap dan teruskan berzikir walaupun dalam keadaana lalai.Berzikir dalam keadaan lalai lebih baik dari tidak berzikir.Mudah-0mudahan dengan istiqamahnya berzikir itu,Allah akan pindahkan hati yang ghaflah itu kepada hudhur dan yakhodo.Kerja syaitan ialah 
menganggu fikiran anda dan kerja anda adalah menumpukan fikiran itu.
Hati yang tidak disulami dengan zikir yang banyak,ia akan jadi gelap dan keras.
Sebagaimana firman Allah :



“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu,bahkan lebih keras lagi “ 
Surah Al-Baqarah :74

Sebagaimana batu tidak dapat dipecahkan melainkan dengan kekuatan, begitu juga 
zikir itu tidak dapat memberi kesan kecuali dengan kekuatan , banyak dan istiqamah.
Seseorang yang berzikir ibarat orang itu yang mengosok karat dengan batu tetapi amalan 
ibadah lain seperti orang yang mengosok karat itu dengan sabun.Meski pun bersih dengan sabuntetapi memakan masa yang lama.

Abu Ali Al-Daqaq berkata,”Barangsiapa pada permulaannya tidak mahu berdiri ( yakni 
bersungguh-sungguh ), maka pada akhirnya tidak akan dapat duduk ( berhasil ).




“ dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan 
yang menyebut nama Allah banyak-banyak,Allah menyediakan bagi mereka semuanya
keampunan dan pahala yang besar “ Surah al-Ahzab : 35

Friday

JIN : Di alam ghaib atau di alam nyata ?

Tuan Guru Prof.Dr. Hj Jahid Hj Sidek An-Naqsyabandi Al-Khalidi
menyatakan bahawa salah satu anggapan salah masyarakat kita
berhubung dengan jin dan syaitan ini ialah anggapan bahawa jin
dan syaitan itu berada di satu alam ghaib.

Sebenarnya jin itu berada di alam nyata iaitu di atas muka bumi
ini di mana kita tinggal dan hidup ini.Oleh sebab jin atau syaitan
ini dijadikan dari api maka tubuh atau jasadnya serupa angin.
Bagaimana kita tidak boleh melihat angin maka begitulah kita
tidak boleh melihat jin atau syaitan.

Menurut sebuah Hadis Rasulullah S.A.W menyebutkan ,
"Allah jadikan jin dalam tiga jenis atau rupa seperti anak Adam,
seperti binatang dan seperti angin di ruang udara luas”.

Bagaimana angin boleh masuk meresap ke dalam tubuh manusia
menerusi rongga tubuh badan seperti mulut,hidung,liang-liang
kecil di kulit ( liang roma), maka begitulah jin dan syaitan boleh
masuk ke dalam tubuh manusia.


TIDAK TERLIHAT BUKAN BERERTI TIDAK ADA

Berapa banyak hal yang tidak dapat kita lihat tetapi benda itu
ada. Arus letrik misalnya.Bukti keujudan dan pengaruhnya
yang nampak dalam mentol.Udara yang kita hirup tidak juga
dapat dilihat tetapi kita dapat merasakannya ; begitu juga
dengan roh.

DALIL ADANYA JIN

Tidak terlihat bukan tidak ada contoh arus letrik
- pengaruhnya mentol menyala / udara - rasa

Jadinya dari api tetapi sekarang bukan lagi api seperti kita dari
tanah, bukan lagi tanah.Dibaling dengan tanah pun sakit juga.
Boleh diseksa dengan tanah.

Manusia tidak boleh melihat jin dalam kewujudannya yang
asli, kerana Allah s.w.t. telah memperkenankan permohonan
Jaan (ketika mula diciptakan) agar ia dapat melihat tetapi ia
sendiri tidak
dapat dilihat. (JIN pula tidak boleh melihat malaikat kerana
malaikat diciptakan dari cahaya di mana lebih hebat dari JIN).

Firman Allah (bermaksud): “Sesungguhnya dia dan pengikut-
pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu
tidak boleh melihat mereka.” - (Surah Al-A’raaf: 27).

Maka barang siapa yang mendakwa dia telah melihat jin/
Syaitan (dalam keadaan rupa sebenar) maka dia telah
berdusta, kecuali dia memang seorang nabi. Sebab bagi para
nabi melihat jin adalah suatu mukjizat

SYAITAN SAMPAI IKUT ALIRAN DARAH

Nabi s.a.w bersabda :
“ Sesungguhnya syaitan mengalir pada peredaran darah
manusia “ hr Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat lain disebutkan :
“ Sesungguhnya syaitan mencapai ( masuk kepada ) anak
Adam sampai ke darah ‘ hr Bukahari dan Muslim

JENIS SYAITAN

Firman Allah :
“ dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh,
iaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan ( dari jenis ) jin “
Surah Al-An’am 112

AKIDAH JIN

Jin, sama seperti manusia dalam masalah ini. Ada yang Muslim,
Nasrani , Yahudi , Kristian , Syiah dan sebagainya. Bahkan di
kalangan jin Muslim, sebagai mana manusia Muslim , ada yang
menganut aliran Qadariah, Ahlul Sunnah, ahli bidaah, ada yang
taat, ada yang bermaksiat, ada yang berdosa dan sebagainya

JENIS JIN

Mereka ada beberapa jenis. Jenis tulin berupa angin; tidak
makan, tidak minum,tidak mati dan tidak beranak.
- Luqatul Mirjan

Di antara mereka ada beberapa jenis yang makan , minum ,
mati dan menikah.

MERTABAT JIN

Syeikh Abu Bakar Al-Jaza’iri berkata : Sesungguhnya jin
termasuk yang solleh di antara mereka lebih rendah dari
manusia, kerana Allah telah menetapkan kemuliaan manusia
di dalam firmanNya :
“ Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak keturunan
Adam dan telah Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,
Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna
atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan “
Surah Al-Isra’ 70

MENGENAL UNSUR PENYAKIT ATAU GANGGUAN

a. Saka ( genetic )
b. Silat
c. Sihir
d. Singgah ( macam hysteria )
e. Bomoh / urut
f. Menuntut / khurafat

Firman Allah :
“ Dan ingatlah kamu pada hari ( masa mana ) Allah
menghimpunkan mereka semua lalu Allah berfirman, Hai
Golongan Jin ! Sesungguhnya kamu telah menyesatkan ramai
manusia.Lalu berkatalah penolong- penolong jin itu yang
terdiri dari kalangan manusia ( pawang,dukun,bomoh ) :
Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami
telah mendapatkan kesenangan dari sebahagian yang lain,
dalam keadaan ini ajal kami yang Engkau tentukan telah
sampai ( tanpa dapat bertaubat ).

Allah berfirman :Nerakalah tempat tinggal kamu semua,
sedangkan kamu akan kekal di dalamnya, kecuali apa yang
dikehendaki Allah, sesungguhnya Tuhan kamu amat
Bijaksana lagi Mengetahui “.
Surah al-An’am :128

MINTA TOLONG DARI JIN

Meminta perlindungan kepada jin adalah syirik, dan Allah
telah mengantikannya dengan yang lebih baik daripada itu.
- Riwayat Ibnu Hatim dari Ikrimah

TEMPAT TUMPUAN JIN

Ibnu Abbas berkata : Syaitan bertenggek di hati anak Adam ,
jika ( anak Adam ) lupa dan lalai maka dia membisikkan
( sesuatu ) dan jika ( anak Adam ) mengingati Allah maka dia
pergi.

Di sini jelas bahawa syaitan dapat masuk ke dalam jasad
manusia dan memilih hati sebagai tempatnya kerana hati
merupakan komander. Jika syaitan telah menguasai hati
maka seluruh jasad akan tunduk kepadanya.

Nabi s.a.w bersabda :

“ Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada gumpalan, bila
gumpalan itu baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila
rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah ia itu adalah
hati “ hr Bukhari / Muslim

JIN MENYAKITI

Syeikh Abu Bakar Al-Jaza’iri berkata : Sesungguhnya gangguan
jin kepada manusia merupakan sesuatu yang terjadi dan tidak
dinafikan, kerana terbukti dengan dalil pendengaran dan
peristiwa nyata.Akalpun tidak memustahilkannya bahkan
membolehkan dan mengakuinya.

Jin berkemampuan untuk berubah bentuk dengan cepat atau
fizikal mereka yang halus sehingga tidak dapat kita rasakan.

Sebabnya : Mereka disakiti / mengalih tempat mereka / atau
mungkin semata-mata kezaliman mereka menyakiti manusia
tanpa sebab sepertimana terjadi sesama manusia.


PENDINDING

Ada hati yang dikelilingi pagar iman dan benteng ketakwaan
serta dijaga oleh zikrullah sehingga syaitan tidak dapat masuk
ke dalamnya kecuali dengan cara mencuri-curi saat kelalaian
dan jika masuk maka zikrullah pun segera mengusirnya keluar
benteng secara terhina.

KAEDAH RAWATAN - PUKUL DADA

Dari Uthman bin Abil Ash r.a ia berkata : “ Wahai Rasulullah,
aku mengalami gangguan sesuatu dalam solatku sehingga aku
tidak tahu solat apa yang aku kerjakan “

Nabi s.a.w bersabda “ Itu adalah syaitan , kemarilah “
Kemudian aku mendekati kepadanya dan duduk di atas
kedua kakiku.Kemudian Nabi s.a.w memukul dadaku
dengan tangannya dan meludah dimulutku seraya
bersabda : Keluarlah musuh Allah “.
Nabi s.a.w melakukan hal tersebut 3 kali.

KEKUATAN PUKULAN

Dari Mathar bin Abdur Rahman Al A’anaq telah menceritakan
kepadanya Ummu Abban dari bapanya bahawa abangnya
Az-Zari’ pergi menemui Rasulullah S.A.W dengan membawa
anaknya / anak saudara perempuannya yang sedang gila.
Abangku berkata : “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku
membawa anakku / anak perempuanku yang sedang gila,
aku bawa dia kepada mu agar engkau mendoakannya kepada
Allah “. Nabi s.a.w bersabda “ Bawalah dia ke mari ‘.

Kemudian aku pergi mengambilnya lalu aku lepaskan ikatan
dan aku tanggalkan pakaian musafir dan aku gantikan dengan
dua pakaian yang baik dan aku pimpin tangannya ke hadapan
Rasulullah.

Lalu Baginda bersabda
“ Dekatkanlah kepadaku dan hadapkan punggungnya
kepadaku “. Ia ( abangku ) berkata, kemudian Nabi S.A.W
mengambil simpul-simpul kainnya dari atas dan bawahnya lalu
memukul punggung hingga aku lihat putih kedua ketiaknya
( ya’ni mengangkat tinggi ) seraya berkata “ Keluarlah musuh
Allah, keluarlah musuh Allah ” - Majma’uz Zawa’id

Tuan Guru Prof. Dr. Hj Jahid , seorang Syeikh dan juga
Pengamal Rawatan Islam yakin terhadap kebenaran pandangan
dua orang ulama’ Mesir iaitu Syeikh Mohd Abduh dan muridnya
Syeikh Sayyid al-Reda bahawa jin yang begitu dikenal dalam
Islam yang hidup dan bertubuh halus itu adalah kuman dan
virus seperti yang dikenali dalam perubatan Barat.

Syeikh Sayyid al-Reda menyebutkan pandangannya mengenai
jin dalam kitab tafsirnya,Al-Manar yang bermaksud,
“ Dan Ahli Ilmu Kalam ( Tauhid ) berkata, sesungguhnya jin
itu adalah ( kejadian Allah ) yang bertubuh halus dan hidup
yang tidak boleh dilihat.

Sesungguhnya telah pun kita katakan berkali-kali dalam Kitab
Tafsir al-Manar bahawa boleh disebutkan ( kejadian Allah )
yang hidup,bertubuh halus yang dapat dipastikan dan dikenal
di zaman ini menerusi mikroskop sebagai virus itu adalah
sebenarnya sejenis jin.Dan telah diketahui secara pasti ianya
adalah merupakan punca bagi kebanyakan penyakit “.
( Rujuk halaman 585, al-Tafsir wa al-Mufassirun )

Thursday

Ya Rasulullah



Pusaka Nabi

Suatu hari Abu Hurairah pergi ke pasar kerana suatu urusan.
Di sana beliau melihat orang ramai sibuk dengan urusan
duniawi sehingga kesibukan mereka itu melalaikan mereka
terhadap hari akhirat.Kelihatan di sana sini manusia yang leka
berjual beli, berbual kosong dan duduk di tepi-tepi jalan bagi
menghabiskan waktu.Suasana demikian amat memilukan hatinya.

Tetiba Abu Hurairah berseru dengan suara yang nyaring
sehingga suaranya mengatasi pelbagai suara yang hangar
bingar itu," Wahai kamu semua ! Mengapakah kamu berada
di sini sedangkan di masjid orang-orang Muslimin sedang sibuk
membahagi-bahagikan harta pusaka peninggalan Rasulullah ? "

Suasana hiruk pikuk di pasar tersebut berubah serta merta
menjadi tenang dan hening.Mereka terpegun seketika.
Masing-masing teringat Rasulullah yang pergi buat selama-l
amanya.Sebahagian dari mereka terkenang kembali perihal
hidup di zaman Rasulullah yang serba zuhud dan kekurangan
harta benda kecuali iman dan taqwa.Sebahagian dari mereka
pula tercengang apabila mereka mendengar cerita bahawa Nabi
sempat mengumpul harta untuk ditinggalkan kepada umat
yang kemudian.

Salah seorang dari mereka maju ke hadapan untuk mendapatkan
kepastian dari Abu Hurairah," Apakah benar ucapan yang
dilafazkan oleh lidah mu ? " Setahu kami Baginda Rasulullah
tidak meninggalkan sebarang harta untuk diagih-agihkan kepada
umatnya ".Dengan penuh yakin Abu Hurairah membenarkannya.

Apabila mendengar kata-kata Abu Hurairah yang cukup
menyakinkan itu, ramailah di kalangan mereka berlumba-lumba
menuju ke masjid dengan harapan untuk mendapatkan harta
pusaka peninggalan Rasulullah.Tetapi alangkah hampanya apabila
mereka tidak menjumpai walau selonggok harta , di dalam maupun
di luar masjid.Apa yang ada hanyalah orang-orang yang asyik beribadah,
bersembahyang,membaca Al-Quran dan berzikir.

Dengan penuh hampa ,sebahagian dari mereka pergi mendapatkan
Abu Hurairah untuk mendapatkan penjelasan.Mereka menduga
Abu Hurairah cuba mempermain-mainkan mereka.Dengan nada
suara yang meninggi,salah seorang dari mereka bersuara,
" Wahai Abu Hurairah ! Kami tidak mendapati walau satu pun
harta Rasulullah yang dibahagi-bahagikan di masjid.Mengapakah
engkau cuba memperbodoh-bodohkan kami semua sedangkan
engkau sahabat terbilang di zaman Rasulullah ?"

" Apakah yang kamu lihat di sana sebentar tadi ? " Tanya Abu
Hurairah dengan suara yang lembut dan tenang.

Mereka menjawab keras," Tidak ada suatu apa pun yang kami
lihat kecuali sebilangan manusia sedang leka dengan ibadah mereka ".

Dengan tegas Abu Hurairah bersuara,
" Sesungguhnya mereka sedang asyik mengumpul pusaka yang
ditinggalkan oleh Rasulullah.Mengapa kalian tidak turut serta
bersama mereka tetapi asyik berleka-leka di pasar yang menjadi
tempat syaitan bersuka ria ? ".

ZIKRULLAH : Perjalanan menuju keredhaanNya

Firman Allah :
" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang menyampaikan diri kepadaNya " Al-Maidah ayat 35

Tariqat adalah jalan yang paling dekat dan yang paling senang bagi seseorang ( murid ) itu untuk sampai ke beberapa darjat tauhid sekali pun seseorang murid itu ada sifat-sifat kekurangan dan tidak cukup persediaan bagi menerima darjat itu.

Firman Allah :
" Kami tidak memikulkan kewajipan kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya ".
Al-A’raf ayat 42

Guru ( yakni Syeikh ) murid itulah yang akan memimpin usaha-usaha zikrullah dan mendapatkan jazbah.
( Jazbah dari segi bahasa bererti tarikan atau dorongan.Istilah dalam amalan tariqah pula bermaksud satu hal yang dirasakan oleh seorang murid atau salik ketika dibukakan hijab hatinya untuk mengenal Allah atau ketika dikurniakan sebahagian dari makrifatullah ).

Firman Allah : " dan berzikirlah dengan menyebut nama Allah sebagaimana yang ditunjukkannya kepada kamu "Al-Baqarah 198

Saidina Ali bertanya kepada Rasulullah S.A.W dengan katanya :
" Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku ( satu ) tareqat yang paling dekat ( untuk sampai ) kepada Allah ( hakikat dan makrifahNya ) dan yang paling mudah ( untuk diamalkan ) oleh para hamba Allah dan yang paling afdal di sisi Allah. "Saidina Ali bermaksud agar Rasulullah S.A.W mengajar satu tareqat yang paling dekat untuk sampai pada hakikat makrifah.

Rasulullah SA.W menjawab permintaan Saidina Ali itu dengan Sabdanya:
" Ya 'Ali ( jika engkau mahu satu tareqat seperti yang engkau maksudkan itu ) maka wajiblah di atas engkau sentiasa kekal berzikrullah secara sirr ( dalam hati tanpa suara ) dan secara jihar ( bersuara ) "

Dari pertanyaan Saidina 'Ali dan jawapan Rasulullah S.A.W tersebut, jelas sekali wujudnya istilah at-toriq dan konsepnya iaitu sentiasa berzikirullah samada secara sirr atau jihar.

Asas amalan tariqat yang ujud di kalangan umat Islam di seluruh dunia adalah sentiasa berzikrullah seperti itu.Bila Saidina 'Ali mendengar jawapan Rasulullah S.A.W itu,maka beliau seolah-olah kurang yakin.

Oleh sebab itu beliau segera berkata :" Orang ramai telah berzikrullah Ya Rasulullah , ( ajarkan aku ) sesuatu ( amalan ) secara khusus ".

Rasulullah S.A.W segera bersabda :" Perkara yang paling afdal yang aku ucapkan dan para Nabi sebelumku ialah LA ILA HA ILLALLAH.

Sekiranya semua langit dan bumi ini berada di sebelah dacing dan ( kalimah ) LA ILA HA ILLALLAH itu di sebelah dacing ( yang satu lagi ) nescaya LA ILA HA ILLALLAH itu lebih berat. Dan hari kiamat tidak berlaku sedang di atas muka bumi ini ada orang yang menyebut LA ILA HA ILLALLAH.

Saidina Ali menjadi begitu yakin lalu berkata :" Maka bagaimanakah ( caranya ) aku hendak berzikir ? "

Rasulullah S.A.W bersabda :" Maka hendaklah engkau pejamkan kedua-dua matamu dan dengarlah ( baik-baik ketika ) aku menyebut Kalimah LA ILA HA ILLALLAH sebanyak tiga ( 3 ) kali. Kemudian
engkau sebutlah LA ILA HA ILLALLAH tiga kali dan aku akan menyemaknya."

Kemudian Rasulullah S.A.W melakukan ( sebutan ) LA ILA HA ILLALLAH itu dengan menguatkan suara.( Hadis Musalsal ini diriwayatkan dari Saidina Ali, diriwayatkan oleh Al-Tibrani dan A-Bazzar dengan para sanadnya yang hasan ) . Haqaiq 'An al-Tasawwuf , H 84-85.

Zikrullah yang dibaiahkan atau ditalqinkan seperti inilah yang diistilahkan sebagai zikir darajat iaitu dipelajari secara tertentu,diamalkan dengan cara tertentu, dilengkapkan dengan pelbagai adab sebelum berzikir, sedang berzikir, sesudah berzikir dan sebagainya.Zikrullah yang tidak dibai'ahkan secara khusus
sepertimana pertanyaan Saidina Ali " orang ramai telah berzikrullah " itulah dinamakan zikir hasanat.Ia tidak terikat dengan adab dan peraturan tertentu.

Ini adalah salah satu contoh zikir yang dibaiahkan atau ditalqin kan secara khusus oleh Rasulullah.Zikir ini secara adabnya diambil baiah daripada Guru ( Syeikh ).Begitu juga dengan zikir-zikir khusus yang lain, yang tidak diajar secara umum ( kepada orang awam ).

Makrifah bukan boleh dicapai atas usaha manusia tetapi ia adalah anugerah Allah apabila hati seseorang itu hidup dan sedar (yakodho) melalui zikrullah.Meskipun begitu , niat dan keazaman mestilah ada dalam hati untuk mencapai makrifah itu.

Makrifah itu hendaklah dicari dan diusahakan cara ke arahnya.Bak kata,kita sering sebut untuk pergi ke suatu destinasi yang amat kita impikan ; kita bayangkan dan andai-andaikan keindahan
tempat-tempat tersebut.Itulah yang sering kita ulang dan sebut bertahun tahun lamanya namun kita tidak pernah membeli pun tiket untuk ke sana ! Begitu jugalah dengan perjalanan menuju Allah Azzawajalla ini; jika tidak membeli tiket ( istiqamah hati berzikrullah seperti yang diajarkan Rasulullah), maka sampai
mati pun kita tidak akan kenal Tuhan Sekalian Alam..sampai mati pun kita tak dapat menikmati hebatnyanya makrifatullah.

Dan bagaimanakah kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan diredhai.

Firman Allah :

" Wahai jiwa yang tenang ! Kembalilah kepada Tuhan mu dalam keadaan redha dan diredhai.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.Dan masuklah ke dalam syurgaKu ".
Surah Al-Fajr ayat 27-30

Monday

Huruf Muqatha'ah - Bhgn 4


SURAH SOD

Isyarat kepada angka 90 iaitu 90 tahun selepas kenabian Nabi S.A.W ( 610 M ). Maka di akhir tempoh itu,tamatlah penentangan daripada pihak Khawarij.Pada masa itu munculnya seorang raja; Abdullah bin Marwan yang menentang kaum Khawarij habis-habisan.

Surah ini menerangkan di antara fitnah-fitnah yang menentang Kerajaan Islam adalah datangnya dari Golongan Khawarij.Maka di dalam surah ini, Allah S.W.T menerangkan bagaimana cara untuk
menegakkan ajaran dan pemerintahan Islam di dalam gelombang perubahan tersebut.

Antara peristiwa yang berlaku dalam tempoh ini ialah :

- Tahun Nabi bertabligh ke Mekah.
- Pergolakan selepas wafatnya Baginda
- Pergerakan Baginda berpindah ke Madinah.

SURAH KHAF

Isyarat kepada angka 20.Ia menerangkan pergolakan yang berlaku dalam tempoh itu selepas tahun kenabian Nabi S.A.W iaitu pada zaman keemasan pemerintan Islam.

Sumber-sumber Hadis Rasulullah S.A.W telah dibukukan dalam tempoh ini.

Umar Abd Aziz , khalifah Bani Umaiyyah telah disifatkan oleh ulama’ sebagai Mujaddid yang mana pada masa pemerintahan beliau, lahirlah Sunah Nabi S.A.W dan fuqaha yang menjadi sumber perundangan Negara.

Di dalam surah ini menyatakan kelebihan zaman pemerintahan Islam yang berasaskan kepada Al-Quran yang tulin.

HURUF NUN ( SURAH AL-QALAM )

Huruf Nun pula menerangkan tempoh 50 dari masa selepas kenabian Nabi S.A.W hingga sampai kepada masa tahkim Sayidina Ali k.w.j.Tahkim ini bererti Sayidina Ali menyerahkan pemerintahan ( Khalifah ) kepada Muawaiyah dengan tujuan hendak menjauhi peperangan saudara yang memakan kurban berpuloh-puloh ribu jiwa kedua-dua belah pihak.

Dengan tamatnya pemerintahan Sayidina Ali, maka tamatlah tempoh 50 tahun sejarah khalifah 
( Sayidina Abu Bakar,Sayidina Umar,Sayidina Osman ) yang bersifat adil,ihsan dan taqwa.

RAHSIA HURUF MUQATHA'AH Bahagian III

HURUF KETIGA ( Tho Sin )


( tho sin ) mempunyai nilai 69

( Tho ) – isyarat kepada angka 9
( Sin ) – isyarat kepada angka 60

Ia mengisyaratkan kepada 69 tahun daripada
kebangkitan Nabi S.A.W menerima wahyu.

Pemerintahan Islam akan berakhir daripada sistem
khalifah yang memegang amanah kepada sistem
pemerintahan beraja iaitu bermula dari Muawaiyyah
yang digantikan dengan anaknya Yazid.

Yazid Bin Muawiyyah secara peribadi dan pimpinannya
mengambarkan dirinya sebagai seorang raja yang bersifat
dictator (istibdad).

Yazid diangkat menjadi raja pada tahun 56 Hijrah
berikutan terjadinya peristiwa hitam dalam sejarah
pemerintahan Islam.Teragidi ini membawa kepada satu
fitnah dan huruhara.

Surah ini menerangkan peringkat pemerintahan Islam yang
terbahagi kepada dua bentuk iaitu yang pertamanya
khilafiah khalifah.Khalifah adalah pemegang amanah Allah.
Mereka tidak berkuasa melakukan sebarang tindakan
melainkan dipersetujui ramai mengikut hukum-hukum Allah.

Pemerintahan kedua adalah berbentuk kulukiah atau beraja.
Yazid Bin Muawaiyyah telah mengakui dirinya berkuasa dan
berdaulat.Dia juga mewariskan tahta kerajaan kepada anaknya.
Perbuatan Yazid itu dianggap bertentangan dengan khalifah
yang terdahulu darinya. ..tbc Bhgn 4.

Friday

Tokoh Mujaddid : Shah Waliyullah ad-Dahlavi




RIWAYAT

Imam Al-Kabir Sheikh Ahmad Abdur Rahim Ibn As-Shahid Wajihuddin Ibn Mu’azzam
Ibn Mansur Ibn Ahmad Ibn Mahmud Dahlawi adalah nama sebenarnya tetapi beliau 
lebih dikenali dengan gelaran Shah Waliyullah.Shah Waliyullah adalah tokoh ulama’ 
yang mahir dalam ilmu failosof,pujangga,seorang sufi ,Muhaddis dan juga Guru Tariqat. 
Digelar juga sebagai seorang mujaddid ( reformis atau pembawa pembaharuan ) oleh Syeikh 
Rashid Redha.
Lahirnya pada 21 Febuari di sebuah kampong kecil bernama Pulth,daerah Muzaffaragh,
dekat Delhi,India bersamaan, 4hb.Syawal 1114 H / 1702 Masihi 4 tahun sebelum 
kematian Sultan Aurangzeb.Salasilah keturunannya di sebelah ayahnya sampai kepada 
Sayyidina Umar Al-Faruq dan di sebelah ibunya sampaikepada Imam Musa Khazim r.a.
Datuknya,Syeikh Wajihuddin al-Amri as-syahid adalah cucu kepada Sayyid Nur al-Mashadi,
keturunan Sayyid Nasaruddin as-syahid bersambung dengan keturunan Al-Imam Musa al-Khazim.

Bapanya Syeikh Abdul Rahim merupakan seorang Pegawai penting dalam angkatan tentera Shah Jahan.Bapanya juga dikenali sebagai seorang yang wara’,tawaddu’,terhormat dan alim yang 
menjadi tempat ruju’ kepada orang Islam di India.Malah dia salah seorang yang menyumbang 
kepada penghasilan Fatawaa Alamgiriyah iaitu satu kod hukum syara’.Shah Waliyullah telah dapat menghafaz al-Quran ketika berumur 7 tahun lagi. Semasa umurnya 15 tahun,beliau telah dapat
menguasai banyak cabang ilmu seperti ilmu bahasa ( Arab dan Parsi),Tafsir,Hadis,Feqah,
Usul Fiqh,Tauhid,Tasauf,Hisab,Perubatan dan Falsafah.Beliau belajar dibawah asuhan ayahnya 
kemudian menjelang umurnya 17 tahun,ayahnya meninggal dunia pada Tahun 1131 H / 1719 M 
dan beliau mengambil alih Madrasah Rahimiyah dan mengajar di situ selama 12 tahun.

India suatu masa dulu merupakan Negara yang melahirkan beberapa ugama besar dunia seperti Hindu,
Budha,Jai dan Sikh.Pada permulaan kurun ke 16, sebuah empayar besar dikenali sebagai Empayar Moghul 
telah menguasai India tetapi pada kurun ke 18,India mula dikuasai oleh Kompeni Hindia Timur Inggeris.
Shah Abdur Rahim,bapanya hidup di zaman puncakkegemilangan pemerintahan Aurangzeb Alamghir.Maharaja itu sendiri seorang yang alim dan wara’.Empayar ini sangat kuat tetapi orang-orang Hindu dan Syiah selalu membuat kacau dan huru-hara.

Dasar kerajaan selepas itu menjadi sebab kejatuhan kerajaan Moghul sehinggalah itu Aurangzeb meninggal 
dunia,keadaan empayar itu bertambah hancur.Shah Waliyullah seorang tokoh yang hidup berlatar 
belakangkan keruntuhan empayar Islam dan permulaan pendudukan Inggeris.Zaman itu adalah zaman kejatuhanpolitik.Kejatuhan politik adalah gejala keruntuhan akhlak yang membawa kepada keruntuhan ekonomi dan keruntuhan moral.

PENDIDIKAN

Shah Waliyullah memerhati dengan teliti keruntuhan empayar yang beransur-ansur itu dan memerhatikan 
perpecahan umat Islam di mana-mana.Ini menyebabkan beliau berfikir untuk melakukan sesuatu bagi 
menggelakkan kehancuran terus berlaku. Sebelum mempraktikkan renungan dan pendapat beliau,adalah
lebih baik baginya mendalami dan menyempurnakan ilmu hadis terlebih dahulu.

Oleh itu, pada Tahun 1143 H, Shah Waliyullah telah melanjutkan pelajaran ke Hijaz di Tanah Haram dan 
berguru dengan Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim Al-Kurdi Al-Madani,seorang ahli hadis dan beberapa orang lagi.Dalam masa 2 tahun sahaja,beliau telah dapat menguasai banyak cabang ilmu dan dapat bergaul dengan ulama’-ulama’ di Mekah dan Madinah serta menunaikan haji.Ketika di Mekah, beliau bermimpi bertemu Rasulullah yang berpesan agar beliau mendamaikan kelompok Ibnu Arabi 
yang berfahaman Wahdatul Wujud dan kelompok Ahmad Sirhindi yang berfahaman Wahdah al-Shuhud.

SUMBANGAN

Beliau kembali semula ke India dan meneruskan meneruskan kegiatan dan gerakannya di Madrasah Rahimiyyah.Apabila bertambah maju,beliau membuka pusat pengajian baru yang dikenali sebagai Darul Ulum.Shah Waliyullah berjuang memperkenalkan Islam sebagaimana sebenarnya dan menyerang bidaah dan 
pendapat yang menyeleweng yang dikemukakan oleh ulama’ yang sempit fikiran dan orang-orang sufi yang palsu.Shah Waliyullah membuktikan sesuatu pandangan dan pendapat itu bersesuaian dengan logik ddan akal fikiran tetapi tidak sesekali menundukkan ugama kepada akal sahaja sehingga agama tertakluk kepada akal semata-mata.

Shah Waliyullah berjasa besar kepada umat Islam dalam bidang pembaharuan ilmu dan pemikiran Islam.As-Sayyid Sabak menyifatkan beliau setanding dengan Imam Ghazali dan Ibn Taimiyyah.Ini adalah disebabkan beliau terkenal sebagai mujaddid yang gigih,tekun dan sabar dalam perjuangan.Di zaman Shah Waliyullah,bahasa resmi di Benua Indo-Pakistan ialah Bahasa Parsi.Sebilangan besar orang mengetahui bahasa ini dan ia lebih popular dari bahasa lain.Oleh itu beliau merasakan perlunya dibuat terjemahan 
Al-Quran dan tafsirannya ke dalam Bahasa Parsi itu.

Dalam bidang Ulum al-Quran,beliau telah memperkenalkan beberapa jenis ilmu yang diterangkan dalam nas-nas al-Quran dengan begitu jelas iaitu :

a. Ilmu al-Mukhaasamah
b. Ilmu al-Tazkir bi Aalillah
c. Ilmu al-Tazkir bi Ayyamillah
d. Ilmu a—Tazkir bi al-Maut wa Ba’dahu

Ada banyak kitab-kitab karangan beliau termasuklah beberapa Risalah yang mana Kitab Hujjatullah al-Balighah adalah antara yang masyhur sekali.Setakat yang dapat dikesan,karya Shah Waliyullah semuanya berjumlah 71 dan berikut ini adalah diantaranya :

1. Al-Fauzul Kabir – Tafsir Al-Quran
2. Fathurrahman fi tarjamtil Quran – Tafsir ( Parsi )
3. Az-Zahrawain – Tafsir Surah Al-Baqarah dan Ali-Imran
4. Takwilul Hadis – Tafsir yang menumpukan kepada kisah Nabi
5. Al-Musoffa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Parsi )
6. Al-Musawwa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Arab )
7. Syarhu tarjumil abwabi Bukhari – Hadis ( Arab )
8. An-nuwadiru min ahadithsi sayyidil awwali wal akhir –Hadis ( Arab )
9. Addurussaminu fi mubasyirotin nabiyyil amin –Hadis ( Arab )
10. Al-Irsyadu fi muhammatil istinad – Hadis ( Arab )
11. Insanu aini fi masyaeikhi haramain – Hadis ( Parsi )
12. Hujjatul al-Balighah – Hikmah-hikmah Syariat ( Arab )
13. Izalatul khafa i an khilafatil khulafa i – Akidah ( Parsi )
14. Qurrotulainaini fi tafdhi lis syaikhain – Akidah ( Parsi )
15. Husnul akidah – Akidah ( Arab )
16. Al-Insofu fi bayani asbabil ikhtilafi bainal fuqoha i wal mujtahidin – Syariat ( Arab )
17. Al-Budurul bazirah – Akidah ( Arab )
18. Al-Thoful qudsi fi lathoifin nafsi – Tasauf ( Parsi )
19. Al-Qaulu jamilu fi bayani sawa issabil – Tasauf ( Arab )
20. Al-Intibahu fi salasili aulia illah – Tasauf ( Parsi )
21. Suru rul mahzun – Tasauf ( Parsi )
22. Anfasul ‘ariffin – Sejarah Keturunannya ( Parsi )
23. Athyabunnaghom fi madhi sayyidil arabil wal ‘ajam – Syair memuji Rasulullah S.A.W ( Parsi )
24. Syifa’ul qulub – Tasauf
25. Muqaddimah dar fann i tarjimah I Quran –( Parsi )
26. Al-Khair ul kathir – ( Arab )
27. Al-Tafhimat ul ilahiyyah – ( Arab / Parsi )
28. Al-Fadlul mubin fil musalsa min hadis min naiyyil amin – ( Arab )
29. Arba’una hadisan musalsalatan bil israffi ghalib sanadiha - ( Arab )
30. Hama’at – ( Parsi )
31. Sata’at – ( Parsi )
32. Lamahat – ( Arab )
33. Altaful quds – ( Parsi )
34. Maktubat ma’hu manaqib Abi Abdullah Muhammad b. Ismail al-Bukhari wa fadhilat ibn Taimiyyah –
( Parsi )
35. Maktub-i-madani – ( Arab )
36. Maktubul ma’arif ma’damimah maktub thalathah – ( Parsi )
37. Kalimat-i-taiyyibat / Maktubat – ( Parsi )
38. Maktubat ( terkandung dalam “Hayat-i-wali” ) –( Arab )
39. Maktubat ( terkandung dalam “waliyullah dehlawi keysiyasi maktubat ) – ( Parsi )
40. Imdad fi ma’athir-il ajdad – ( Parsi )
41.‘Athiyat-us-Samadiyyahfil anfasil Muhammadiyyah – ( Parsi )
42. Hawami ( Syarh-i-hizb-ul Bahr ) – ( Parsi )
43. Al-Juz ul latif – ( Parsi )
44. Wasiyat Namah – ( Parsi )
45. Husnul ‘aqidah – ( Arab )
46. Risalah-i-Danishmandi – ( Parsi )
47. Kashful ghain fi syarh-ir-ruba’iyatain – ( Parsi )
48. Sarf-i-mir – ( Parsi )
49. As-Sirrul maktum fi asbab tadwinil ulum – ( Arab )
50. Al-Intibahu fi salasili aulia Illah wa asanid warithi Rasulillah– Tasauf ( Parsi )

PERANAN DALAM GERAKAN TAJDID WAL ISLAH

Pada awal abad ke 12 Hijrah,Shah Waliyullah telah mempelopori gerakan Tajdid wal Islah, iaitu gerakan 
pembaharuan dalam kesedaran dan pembangunan semula masyarakat Islam yang dipergiatkan lagi oleh Al-Sayyid Jamaluddin Afghani al Husaini dalam abad ke 13 Hijrah.Pada zaman permulaan abad ini,orang-orang yang dianggap ulama’ pada masa itu pula menjadi penganjur kepada amalan-amalan bidaah dan khurafat.

Perbincangan-perbincangan tentang masalah khilafiah baik yang berpunca dari Al-Quran atau Hadis atau Feqah seringkali berakhir dengan pergaduhan dan masam muka.Apa yang pasti, ulama’-ulama’ itu bersependapat di dalam mengekalkan orang-orang awam dalam kejahilan.Demikianlah keadaan umat Islam pada awal abad ke 12 Hijrah atau permulaan abad ke 18 Masihi.Keadaan seperti itulah selalunya menghendaki kedatangan seorang tokoh mujaddid seperti Shah Waliyullah.

Rasulullah pernah menyebutkan,
“Sesungguhnya Allah menghantar untuk umat ini dipermulaan 100 tahun orang-orang yang memperbaharui 
untuknya agamanya” ( HR Abu Daud ).

Beliau memperjuangkan pemikiran pembaharuan dalam beberapa aspek iaitu :

1.Akidah – Beliau menjelaskan betapa pentingnya akidah untuk membetulkan cara berfikir,beramal dan 
bertindak.Banyak kesilapan berlaku di kalangan umat Islam kerana salah faham dalam akidah.

2.Berpegang kepada Al-Quran dan Sunah – Beliau menganjurkan supaya ilmu Al-Quran dan Sunah dipelajari secara mendalam supaya umat Islam dapat memahami rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah dalam syariat Allah Ta’ala ,seperti yang difahami oleh umat Islam terdahulu.Orang Islam hendaklah mengutamakan Al-Quran dan Sunah sebagai panduan hidup,serta meninggalkan taklid kepada pendapat-pendapat fuqaha melainkan setelah dibahas,dihalusi dan difahami hujah-hujah mereka.

3.Siasah dan pemerintahan – Beliau mengajak umat Islam mencontohi khulafa ar-rasyidin dalam menegakkan syariat Allah melalui pemerintahan Negara Islam.Kitab beliau,”Khilafatul khafa-i-an tarikhil khulafa-i” antaranya menjelaskan tentang cirri-ciri Negara Islam,kewajipan dan tanggungjawab menegak dan memeliharanya.

4.Bahasa Arab – Kebanyakan orang Islam tidak memahami Bahasa Arab,ini menyebabkan mereka tidak 
memahami Al-Quran dan Sunah secara langsung.Setiap orang Islam sepatutnya tahu Bahasa Arab dan dapat memahami makna Al-Quran sekurang-kurangnya secara umum apabila membacanya.

5.Masa depan Dunia Islam – Dalam perjuangan gerakan Islam, Shah Waliyullah melihat umat Islam perlu bersedia dengan kemampuan akal yang tinggi bagi menghadapi kemajuan dunia.Mereka perlu dibekalkan dengan ilmu dan kefahaman tentang hikmah-hikmah ajaran Islam dan syariat Allah.Beliau menganjurkan, sekiranya sesebuah negara itu tidak dapat dibaiki lagi kerana terlalu rosak, satu angkatan jihad 
bagi menumbangkan pemerintahan itu hendaklah diujudkan supaya dapat dibentuk sebuah Negara Islam baru yang dapat melaksanakan syariat Allah.

KEJAYAAN SHAH WALIYULLAH

Usaha beliau dalam gerakan Tajdid wal Islah, penyebaran ilmu pengetahuan yang benar dan membentuk syakhsiah Islamiah telah melahirkan satu angkatan ulama’ yang dapat meneruskan perjuangannya.Begitu juga institusi pengajian yang terus berkembang.Boleh dikatakan seluruh umat Islam India terhutang budi kepada Shah Waliyullah kerana ilmu pengetahuan,gerakan dan contoh perjuangan yang ditunjukkan di abad 
ke 12 Hijrah.

Beliau ada 6 orang anak.Antara anaknya yang masyhur yang menuruti perjuangannya ialah Shah Abdul Aziz
( 1159-1239 H ),Shah Rafi’uddin ( 1163-1233 H ),Shah Abdul Kadir ( meninggal pada 1230 H ) dan Shah Abdul Ghani ( meninggal pada 1230 H ) serta cucu-cucunya Shah Muhammad Ishak ( meninggal pada 12227 H ) dan Shah Ismail Hunaid ( meninggal pada 1246 H ).

Mereka telah mengarang beberapa kitab dan meneruskan perjuangan Shah Waliyullah.Selepas beliau meninggaldunia,anaknya Shah Abdul Aziz mengantikan tempatnya.Cucu Shah Waliyullah iaitu Al-Imam Muslih Sheikh Ismail bin Shah Abdul Ghani telah memainkan perananbesar dalam perjuangan Islam di India.

SUMBANGAN SHAH WALIYULLAH DALAM ILMU KALAM

Ilmu Kalam sebenarnya dimaksudkan untuk membuktikan agama Islam itu benar-benar datang dari Allah.Agama Islam yang datangnya dari Allah itu pada umumnya terbahagi kepada 2 iaitu :
a. ‘Aqaid b. Ahkam

Kitab-kitab Ilmu Kalam yang ditulis sebelum Shah Waliyullah pada keseluruhannya hanya memperkatakan 
tentang ‘aqaid sahaja.Tidak ada sesiapa pun menyentuh bahagian keduanya.Shah Waliyullah lah orang yang mula-mula menulis di bahagian kedua untuk membuktikan Islam itu benar-benar datang dari Allah.

Satu perkara besar yang langsung tidak disentuh ahli-ahli Ilmu Kalam dahulu dan hanya diutarakan oleh 
Shah Waliyullah ialah mereka menonjolkan mukjizat Al-Quran disudut fashahah dan balaghahnya sahaja 
sedangkan mukjizat Al-Quran yang paling besar terletak pada prinsip-prinsip akhlak dan cara-cara 
tazkiatu an-nasf,konsep tauhid,risalah dan ma’ad yang tersebut di dalamnya.Semua perkara-perkara tersebut adalah terletak di luar kemampuan manusia.

Shah Waliyullah menjauhi diri dari berat sebelah dan beliau sentiasa menyembelahi kebenaran dan keadilan dalam membuat kesimpulan dan pendapat.Shah Waliyullah adalah seorang yang alim yang sebenarnya dalam bidang hadis dan feqah.Benarlah pendapat Maulana Ubaidillah Sindhi yang menyamakan peringkatnya sama taraf dengan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah.

Beliau mempelajari sistem kesufian dari bapanya dan mengamalkan Tariqat Naqsyabandi.Beliau diberi gelaran Waliullah bersempena gambaran daripada nama Allah, Al-Wali.

Shah Waliyullah juga adalah orang yang menerangkan mengenai Rahsia Huruf Muqattaat ( Ayat-ayat 
Mutasyabihat ) atau juga dikenali sebagai Huruf Potong / Huruf Ringkas .

Beliau meninggal dunia pada 29hb.Muharram 1176 H / 1763 M iaitu ketika berumur 61 tahun 4 bulan.
Dalam tahun 1383 H/1963 M, Akademi Shah Waliyullah telah didirikan secara resmi di Hyderabad oleh Jabatan Auqaf,Pakistan.

Bibliografi : Buku Ajaran Shah Waliyullah
Buku Pendidikan Islam Ting. 5 DBP
Tokoh Mujaddid Islam,prosiding seminar BPPI
Kitab Iktisar Hujjatullah Al-Balighah
Risalah Pengajian Almarhum Ust.Nik Salleh
Jurnal KIPSAS,As-Sirat Jilid III,bil.7
Seminar IKIM

Monday

RAHSIA HURUF MUQATHA'AH Bahagian II

HURUF MUQATHA'AH

Huruf-huruf ringkas yang digunakan dalam Al-Quran.

Ada 28 huruf di dalam abjad Arab iaitu :

14 abjad dari jumlah 28 abjad Arab digunakan :

Menurut istilah dalam ilmu sains “gametria” abjad silam,
rujuk buku "Arabic Grammar" oleh G.W. Thatcher. Berikut
adalah nilaian angka ( nombor ) bagi setiap abjad ( huruf )
Arab iaitu :


HURUF PERTAMA

Huruf ini terkandung daripada angka :

Angka 1 bagi Huruf Alif
Angka 30 bagi Huruf Lam
Angka 40 bagi Huruf Mim

Huruf itu telah digunakan oleh Allah SWT untuk menjadi
pembukaan bagi 6 Surah iaitu :

permulaan Surah Al-Baqarah (2:1)
permulaan Surah Ali Imran (3:1)
permulaan Surah Al-'Ankabut (29:1)
permulaan Surah Al-Rom (30:1)
permulaan Surah Luqman (31:1)
permulaan Surah Al-Sajdah (32:1)

Apabila dicampurkan ketiga-tiga huruf ini ( 1 + 30 + 40 ) ,
maka jumlahnya tujoh puloh satu ( 71 ).

Maksudnya 71 tahun selepas daripada perlantikan Nabi
S.A.W ( 6 Ogos 610M) hingga sampai kepada zaman
pemerintahan Muawiyyah di Negeri Syam.

Zaman yang dijanjikan Tuhan kepada Nabi dan para sahabat
akan datang, penguasaan tampuk khilafah yang besar dari
tangan Yahudi dan Nasoro.

Bermula dari situ ,hilanglah kekuasaan mereka yang mana
janji itu terkandung dalam 3 peringkat :

a.Zaman Alif
Iaitu isyarat kepada Zaman perlantikan Nabi S.A.W

b.Zaman Lam
Iaitu peringkat 30 tahun selepas kenabian Nabi S.A.W
setelah jatuh Baitulmaqdis,pusat pemerintahan Kerajaan
Rom ke tangan umat Islam. Muawiyyah telah menawan
Negeri Syam dan bertapak di situ.

c.Zaman Mim
Iaitu isyarat selepas kejatuhan Baitulmaqdis.

Dalam 3 peringkat ini,berpindahlah kekuasaan Kaum Yahudi dan
Nasoro kepada pemerintahan Negara Islam oleh para sahabat-
sahabat Nabi S.A.W.


Ini adalah penyataan yang terkandung dalam rangkaian
Huruf-huruf Potong ( Huruf Singkat ) Alif,Lam,Mim


Alif Lam Mim pada Surah Al-Baqarah
- Ia menunjukkan khilafah Islam yang diberikan kepada
Nabi S.A.W telah sempurna dalam tempoh 71 tahun.

Alif Lam Mim pada Surah Al-Imran
- Ia menyatakan bahawa kekuasaan Kerajaan Islam diambil
dengan kekerasan (peperangan) daripada Kaum Yahudi /
Nasoro dalam tempoh 71 tahun.

Alif Lam Mim pada Surah Al-Rum
- Menyatakan bahawa kemenangan yang dicapai oleh Umat
Islam dan keteguhan khilafah dalam tempoh 71 tahun ini
menjadi asas bagi mengembangkan ajaran Islam dan khilafah
Islam ke seluruh dunia.

Alif Lam Mim pada Surah Lukman
- Menyatakan bahawa Quraish ialah satu umat yang mulai
membentuk satu sejarah Islam yang tinggi hasil dari perjuangan
dalam tempoh 71 tahun itu.

Alif Lam Mim pada Surah Sajdah
- Menerangkan contoh keyakinan dan kejayaan.Sebagaimana
umat yang  terdahulu setelah pengukuhan Islam untuk
dikembangkan sehingga beroleh kejayaan yang dapat di
lihat dalam tempoh 71 tahun itu.

Alif Lam Mim pada Surah 'Ankabut
- Menerangkan bahawa kekuasaan pemerintahan Islam yang
dipimpin oleh Arab Quraish dalam tempoh 71 tahun itu
menjadi sebab bagi mereka untuk menjadi contoh bagi
mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.



HURUF KEDUA

Huruf ini mempunyai nilai 14

Tho – isyarat kepada angka 9
Ha – isyarat kepada angka 5.

Adapun Huruf ( Tho) mengikut kiraan abjad iaitu 9 yakni
isyarat bagi Tahun ke 9 selepas kenabian Nabi S.A.W telah
berlaku suatu peristiwa yang besar iaitu peristiwa
Israk dan Mikraj.

Ada perselisihan ulama’ mengenai tahun sebenar peristiwa
Mikraj Nabi S.A.W tetapi setelah diselidiki dan dihalusi mengikut
tawarikh, maka Syeikh Mahmud ( Mesir ) telah memutuskan
bahawa mikraj Nabi berlaku pada Tahun ke 9 selepas kenabian
Baginda S.A.W seperti yang dimaksudkan dengan Huruf (Tho) itu.


Huruf (Ha) mengisyaratkan kepada angka 5 iaitu 5 tahun
selepas Huruf Tho ( Tahun Mikraj ) berlakunya peperangan
Badar.

Apa yang dimaksudkan (ThoHa) ini ialah menyatakan
persamaan di mana dua orang Nabi iaitu Nabi Allah Musa a.s
dan Nabi Muhamad S.A.W dalam Tahun yang ke 9 dan
berikutnya yakni 5 tahun selepas itu semasa ditaklifkan
solat .


Berikutan dari itu, berdirilah khilafah Islamiyah
bermula dari peristiwa Peperangan Badar sehinggalah
menguasai seluruh Semenanjung Hijaz.
Di dalam surah ini difahamkan bahawa Huruf (Tho) dan
(Ha) itu terbukti ada peristiwa di antara dua Nabi
(Nabi Musa a.s dan Nabi Muhamad S.A.W) di dalam
menerima taklif sembahyang dan kejadian Mikraj
pada tahun ke 9.
Keterangan ini adalah dari ayat Al-Quran yang menyebut
cerita tentang Nabi Musa a.s yang menjadi anak angkat
kepada Firaun.
Pada suatu hari,Nabi Musa a.s telah membunuh seseorang
di dalam istana Firaun kerana hendak menyelamatkan
kaumnya Bani Israel.
Firaun telah menghalau Nabi Musa a.s dari istana lalu
menuju ia ke Mada’en.Baginda bertemu dengan anak
Nabi Syuib a.s yang sedang mengembala kambing.

Setelah diceritakan kebaikan Nabi Musa a.s kepada
ayahnya,lalu Nabi Syuib a.s pun menjemput Nabi Musa
a. ke rumahnya dan dipelawa berkahwin dengan anaknya
itu.Mas kawinnya ialah Nabi Musa a.s perlu memelihara
kambing selama 8 tahun dan boleh meneruskan
nya beberapa tahun lagi jika beliau mahu.
Tetapi Nabi Musa a.s hanya mahu berkhidmat selama
8 tahun sahaja.Apabila masuk Tahun yang ke 9,
Nabi Musa a.s kembali ke Mesir
Didalam perjalanan disebuah lembah,Nabi Musa a.s
Nampak ada sepohon kayu yang menyala lalu Baginda
pergi ke sana bertujuan untuk mendapatkan api.
Apabila tiba,Baginda terdengar satu suara berkata,
”Hai Musa,Aku lah Tuhanmu.Hendaklah engkau
sembahyang dan mengingati Aku.

Maka nyatalah bahawa perintah sembahyang kepada
Nabi Musa itu berlaku pada tahun ke 9.Hal ini
bersamaan dengan Nabi Muhamad S.A.W berikutan
kembalinya ke Mesir kerana menyampaikan suruhan
Allah kepada Firaun dan Bani Israel.

( bersambung Bahagian III )